|
PROGRAM bual bicara, Assalamualaikum yang ditayangkan di TV Alhijrah kembali dengan wajah baharu serta pengisian santai berunsur Islamik yang lebih padat.
Menariknya, program yang dahulunya bersiaran pada hari Khamis hingga Ahad ini telah ditambah penerbitannya kepada tujuh kali seminggu bermula semalam.
Menurut penerbit hal ehwal semasa TV Alhijrah, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin, penambahan slot bagi program Assalamualaikum dilihat sejajar dengan perkembangan produksi stesen televisyen berkenaan sepanjang empat tahun beroperasi.
"Tidak dinafikan, program Assalamualaikum diterbitkan pada awal penubuhan stesen TV Alhijrah kira-kira tiga tahun yang lalu. Ketika itu, kepakaran yang ada pada kami masih di peringkat asas.
"Namun, dalam tempoh tiga tahun itu, banyak perkara yang telah kami perbaiki seiring dengan perkembangan tenaga produksi yang kami ada.
"Perkembangan itu turut menjamin mutu penyampaian Assalamualaikum supaya sentiasa berada pada tahap yang memberangsangkan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran wajah baharu program Assalamualaikum di Serambi Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur baru-baru ini.
Melanjutkan perbualan, Syirfan memberitahu, gaya penyampaian yang lebih santai digunakan agar penonton yang mengikuti rancangan tersebut boleh mendengar perbincangan yang disampaikan tanpa berada di hadapan kaca televisyen.
"Seperti yang kita semua sedia maklum, rancangan ini bersiaran pada waktu pagi. Pada waktu sebegini, ramai orang sedang sibuk untuk bersiap-siap ke tempat kerja dan ada juga antara suri rumah yang sudah mula melakukan aktiviti mengemas dan memasak.
"Jadi, menerusi pendekatan ini, mereka mampu melakukan tugasan harian sambil mendengar isu-isu yang dibincangkan oleh pengacara Assalamualaikum," katanya lagi.
Menerusi penambahan slot siaran Assalamualaikum, terdapat juga segmen-segmen baharu yang menarik disediakan bagi membentuk struktur kandungan program itu menjadi lebih segar dan interaktif.
Antaranya ialah slot Evolusi Y yang memaparkan aktiviti yang dapat dilakukan oleh golongan muda pada masa lapang.
Pengendali slot tersebut, Raja Noor Anis Suefia Raja Arif Shah berkata, aktiviti-aktiviti yang dipaparkan dapat memberikan inspirasi terhadap golongan remaja dan dewasa untuk melakukan riadah mengikut cara Islam.
"Agama Islam sering menekankan tentang kepentingan sukan serta aktiviti riadah untuk kesihatan tubuh. Kita juga turut digalakkan untuk mempelajari cara untuk menunggang kuda, memanah serta berenang.
"Justeru, dengan adanya slot seperti Evolusi Y, penonton boleh mengadaptasi aktiviti yang dipaparkan sebagai rutin untuk beriadah, sekali gus mendapatkan tubuh badan yang sihat," katanya.
Bekas pengacara bagi rancangan Man Jadda Wajada itu menambah, selain golongan muda, slot kendaliannya turut boleh ditonton oleh segenap lapisan masyarakat.
"Aktiviti riadah tidak terhad pada golongan muda sahaja. Golongan dewasa yang gemarkan cabaran juga digalakkan menonton," katanya lagi.
Selain Evolusi Y, slot-slot lain yang bakal menemui penonton adalah Magnet Diri, Kuliah Pondok, Inspirasi Wanita, Interaktif Al-Quran dan Ejen Halal.
Antara pengacara yang turut terlibat termasuklah Amin Idris, Farrah Deeba, Shahrul Faizie dan Irma Hasmie.
Assalamulaikum yang berwajah baharu bakal bersiaran pada pukul 8.30 hingga 10.30 pagi setiap hari Isnin hingga Ahad. Siaran pertamanya bermula semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: