Tuesday, May 27, 2014

Serbuk kulit kerang jebak logam berat


CENGKERANG mengandungi kalsium karbonat yang tinggi dan mempunyai manfaat besar dalam industri.



MELALUI bimbingan yang berterusan, Marlina (tengah) berharap para pelajarnya menjadi pereka muda yang berbakat pada masa hadapan.



BEKALAN air menjadi lebih bersih dan selamat apabila epoksi kulit kerang disadur bahagian dalam untuk menyerap bahan asing.


BEBERAPA kepingan besi yang dijadikan sampel kajian menunjukkan perbezaan kesan karat selepas disadur epoksi.


MAKANAN laut seperti kerang, siput dan kepah menjadi kegemaran ramai sejak sekian lama disebabkan rasa yang enak meskipun hanya direbus atau dibakar.
Namun selepas menikmati isi kerang, cengkerang haiwan tersebut akhirnya dibuang ke dalam tong sampah.
Cangkerang atau lazim dipanggil kulit kerang sebenarnya kaya dengan bahan kalsium karbonat yang mempunyai manfaat besar dalam industri.
Malah, sifat alkali yang terdapat pada kulit kerang juga berupaya mengubah kadar keasidan dalam air kepada neutral dan menjadikan ia lebih selamat untuk diminum.
Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang, Selangor, Ahmad Nurdeen Abu, 17, berkata, kalsium karbonat dalam kulit kerang mempunyai fungsi penyerap bahan berbahaya terutama logam berat.
"Kulit kerang boleh dijadikan bahan utama untuk menyediakan persekitaran yang lebih selamat daripada bahaya logam berat seperti tembaga, kadmium dan sebagainya," kata Ahmad Nurdeen.
Sehubungan itu, Ahmad Nurdeen bersama rakan sebayanya di sekolah tampil dengan idea untuk menghasilkan serbuk Penyerap Logam Berat Bukan Organik (INHMA) daripada bahan asas kulit kerang untuk kegunaan industri.
"Cangkerang biasanya dibuang selepas isi kerang dimakan. Melihat situasi itu, saya dan rakan di sekolah terfikir mengenai manfaat kulit kerang yang boleh didapati secara percuma.
"Kami kemudian meneliti jurnal-jurnal kimia dalam internet dan mendapati kulit kerang kaya dengan kalsium karbonat. Kalsium karbonat juga mampu menyerap logam berat dalam air.
"Melalui penemuan ini, kami cuba menggunakan kulit kerang untuk dijadikan bahan penyerap logam. Selama empat bulan usaha itu dibuat, kami akhirnya berjaya memanfaat kulit kerang itu," katanya.
Hasil penemuan tersebut, sekumpulan 15 pelajar di SBPI Rawang berjaya menghasilkan INHMA daripada bahan asas kulit kerang.
Lebih membanggakan, inovasi daripada kulit kerang tersebut melayakkan para pelajar SBPI Rawang itu memenangi pingat emas dalam Pameran Pereka Muda Asia 2014 (AYIE 2014) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
AYIE yang diadakan serentak dengan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (Itex) sejak tahun 1989 merupakan antara platform utama pereka muda di Asia memperkenalkan potensi ciptaan mereka.
Pameran anjuran Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia (Minds) bertujuan mengiktiraf rekaan para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi di Asia yang mempunyai ciri-ciri unik, inovatif dan berdaya maju.
Mengulas kejayaan tersebut, Muhammad Faizal Hamizat, 17, menambah, idea memanfaatkan cangkerang kerang dimaklum kepada pihak sekolah bagi mendapatkan kebenaran menjalankan projek reka cipta di SBPI Rawang.
Cari cangkerang
"Cabaran bermula selepas dapat kebenaran daripada pihak sekolah. Kulit kerang yang kebanyakannya sudah berbau busuk dicari di restoran-restoran makanan laut dan dibawa pulang ke sekolah untuk dibersihkan.
"Selepas dicuci, kami cuba melumatkan kulit kerang, tetapi tidak berhasil kerana lesung batu yang digunakan untuk melumatkan cangkerang terbelah dua," katanya yang berulang alik ke UPM di Serdang, Selangor sepanjang menjalankan projek berkenaan.
Pihak sekolah kemudian bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mendapat bantuan peralatan dan kemudahan makmal serta proses seterusnya jadi lebih lancar.
Serentak penciptaan INHMA, para pelajar tersebut turut menghasilkan Penyadur Epoksi Cangkerang yang bertindak sebagai bahan tahan karat dan ia juga melayakkan mereka memenangi sebutir lagi pingat emas dalam AYIE 2014.
Selain dua pingat emas, mereka turut memenangi sebutir pingat perak dalam pameran yang sama menerusi ciptaan Perangkap Gas Tercemar dan ia juga berasaskan kulit kerang.
Kulit kerang dijadikan serbuk (INHMA), ia juga digunakan untuk menghasilkan produk inovasi kedua iaitu Penyadur Epoksi Cengkerang yang disadur dalam batang paip lalu menjadikan bekalan air bebas logam berat.
"Penyadur epoksi juga bertindak menjadikan permukaan dalaman besi lebih tahan karat dan memanjangkan usia batang paip. Ia juga boleh menjimatkan kos kekerapan penggantian batang paip dalam industri bekalan air.
"Bahan yang sama juga digunakan untuk mencipta Perangkap Gas Tercemar bagi menjadikan asap kilang industri lebih bersih sebelum dibebaskan ke udara," kata Muhammad.
Ujar pelajar itu lagi, kalsium karbonat boleh didapati menerusi proses kimia industri, tetapi bahan yang sama daripada kulit kerang melibatkan kos penghasilan jauh lebih murah, selamat dan mesra alam.
Muhammad Izzan menambah, ujian menerusi mikroskop berkuasa tinggi di makmal turut mendapati serbuk serta epoksi daripada kulit kerang tersebut juga terbukti memerangkap logam berat serta bahan berbahaya yang lain.
Potensi para pelajar tersebut mungkin tidak mampu dikembangkan tanpa galakan daripada guru-guru menerusi program inovasi dan reka cipta yang diadakan di sekolah.
Guru pembimbing reka cipta SBPI Rawang, Marlina Mat Napes berkata, budaya inovasi yang dipupuk di bangku persekolahan menerusi projek sedemikian berupaya mempersiap masa depan lebih cerah kepada pelajar.
Paten produk
Apabila pelajar tamat persekolahan, kemahiran inovasi dan kreativiti itu boleh digunakan untuk mereka mencipta produk atau teknologi yang mempunyai nilai komersial dan seterusnya menjadi pemilik harta intelek.
Ujar beliau, pihak sekolah juga sedang memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai prosedur mempaten produk inovasi di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi setiap ciptaan mereka.
"Sekiranya sesebuah ciptaan itu berjaya menarik minat pemain industri atau pengilang dan dipasarkan sebagai produk pengguna, ia memberi jaminan masa depan yang lebih cerah," kata Marlina.
Sejak bulan April lalu, para pelajar SBPI Rawang memenangi enam pingat emas, lima perak, satu gangsa dan anugerah khas dalam pertandingan reka cipta yang disertai di dalam serta luar negara.
Semua pingat dimenangi menerusi AYIE 2014, Olimpiad Pereka Muda Malaysia (MIYIO) serta Pameran Reka Cipta Kejuruteraan dan Inovasi Antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain itu, ciptaan penyadur epoksi kulit kerang turut meraih Anugerah Khas Juri Antarabangsa daripada Persatuan Pereka Muda dan Saintis Indonesia pada April lalu.
Sejak tahun 2011, sebanyak 22 hadiah termasuk pingat emas, perak, gangsa dan anugerah khas berjaya dimenangi menerusi pameran reka cipta di Korea Selatan, Croatia, Jepun dan Indonesia.
Para pelajar berkenaan turut terlibat dalam Pameran Pereka Muda Eropah di Lassi, Romania menerusi ketiga-tiga produk berasaskan cangkerang kerang pada 21 hingga 25 Mei lalu.
Marlina menambah, SBPI Rawang mula terlibat dalam reka cipta dan inovasi sejak 2011 bagi memenuhi skop kegiatan pembelajaran di sekolah berprestasi tinggi.
"Sekolah-sekolah berprestasi tinggi seperti SBPI mempunyai kegiatan yang melibatkan semua pelajar seperti sukan dan sebagainya. Di SBPI Rawang, kita fokus kepada bidang reka cipta dan inovasi.
"Program ini (reka cipta) menjadi lebih aktif bermula tahun 2013 selepas mendapat sokongan dan dorongan idea daripada Pengetua SBPI Rawang (Addenan Osman) dalam usaha mempelbagai daya inovasi pelajar," katanya.
Sementara itu, Guru Kanan Sains dan Matematik SBPI Rawang, Shajaratudduur Hussin pula berkata, tahap keyakinan dan daya fikir pelajar terlibat turut melonjak menerusi program reka cipta.
Jelas beliau, kumpulan pelajar terlibat tidak menghadapi kesulitan ketika membuat pembentangan mengenai hasil ciptaan mereka di hadapan para juri.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: