Friday, May 16, 2014

Suri rumah rugi RM3,000 ditipu melalui SMS


  • Suri rumah rugi RM3,000 ditipu melalui SMSIta menunjukkan beberapa resit bank yang menunjukkan dia memasukkan wang ke dalam akaun berkenaan

SEGAMAT - Seorang suri rumah mendakwa kerugian RM3,000 selepas terperdaya dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan dirinya memenangi hadiah wang tunai.

Mangsa yang ingin dikenali Ita, 40, berkata, dia menerima SMS daripada sebuah syarikat minyak yang mengatakan dirinya menang cabutan bertuah wang tunai sebanyak RM19,000 pada 12 Mei lalu.

“Selepas menerima SMS tersebut, saya terus menghubungi nombor tertera dan disambut seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Nizam dan dia mendakwa mempunyai beberapa syarikat menggali minyak di Asia Barat dan Laut China Selatan.

“Nizam kemudian meminta nombor akaun bank saya untuk memasukkan wang tunai yang dimenangi saya dan dia kata syarikatnya juga berdaftar dan mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ita berkata, Nizam turut mengarahkannya supaya memasukkan wang sebanyak RM3,000 ke dalam akaun miliknya sebagai salah satu syarat mengaktifkan keahliannya dan wang tersebut juga akan digunakan untuk pelepasan cukai pendapatan.

Menurutnya, tanpa sebarang keraguan, Ita mengikut sahaja arahan Nizam dan memasukkan wang tunai sebanyak RM3,000 ke akaun milik Nizam kira-kira jam 4 petang di sebuah bank di sini, pada hari sama.

“Apabila saya pergi ke bank untuk memeriksa akaun, saya dapati tiada penambahan duit di dalamnya. Saya menghubungi Nizam kembali dan dia memberi alasan BNM tidak boleh mengeluarkan cek sebanyak RM22,000.

“Cek yang hanya boleh dikeluarkan adalah sebanyak RM25,000 dan Nizam meminta saya supaya menambah lagi wang ke akaunnya sebanyak RM3,000 dan ketika itu saya mula curiga,” katanya.

Ita kemudian menyuruh anak lelakinya berusia 26 tahun supaya menghubungi BNM sebelum dimaklumkan bahawa BNM boleh mengeluarkan cek sebanyak RM22,000 tanpa sebarang masalah.

Merasakan dirinya tertipu, Ita membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, kelmarin, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sindiket seperti ini.

"siasatan kes ini juga sedang dijalankan bagi mengenal identiti lelaki tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: