|
TUTUR bicara penulis novel bestseller yang mesra dipanggil Shila Alish ini sungguh tertib sesuai dengan penampilan sopan dan elegan yang dikenakannya tatkala bertemu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra minggu lalu.
Siapa sangka guru subjek Kimia ini sebenarnya memiliki bakat menulis yang tidak kurang hebatnya. Walaupun beliau gemar menulis novel yang berkisarkan cinta, Shila Alish cenderung untuk menyelitkan kisah berbentuk pengajaran agar pembaca lebih berhati-hati dengan kehidupan.
Shila Alish atau nama sebenarnya Rosila Rahman, 40, berasal dari Johor Bahru, Johor merupakan guru di Sekolah Menengah Tasik Utara, Johor Bahru.
Minatnya terhadap bidang penulisan bercambah ketika berada di bangku sekolah namun, ketika itu beliau tidak mempunyai medium untuk mengetengahkan bakat yang terpendam. Kebelakangan ini, terdapat banyak penerbit yang berminat menerbitkan karya-karya penulis yang berpotensi sepertinya.
Peluang tersebut membolehkan penulis baharu sepertinya dapat memasuki pasaran dengan lebih mudah. Setakat ini, Shila Alish sudah menghasilkan dua naskhah novel bersama penerbit Love Novel Enterprise yang berjudul Mr. Secret Admirer dan Daripada Sekeping Surat Samanmu.
“Saya suka menulis kerana suka memerhati kelakuan orang dan ia tiada sempadan. Menulis juga membolehkan seseorang itu menjadi apa sahaja.
“Tapi saya cuba untuk tidak menerapkan elemen fantasi dalam novel kerana tidak mahu pembaca terikut-ikut dengan sesuatu yang tidak realistik,” ujarnya yang mula serius menulis sejak tahun 2011.
Kenangan manis
Sepanjang bergelar penulis, kenangan paling manis Shila Alish ialah diundang ke Singapura dan menyaksikan sambutan luar biasa peminat di negara tersebut. Keterujaan peminat seolah-olah mereka berjumpa dengan personaliti bertaraf selebriti.
|
Novel Mr. Secret Admirer yang diterbitkan pada Julai 2013 itu sudah dicetak buat kali kelima dan mencecah jualan 11,000 unit. Ia membakar semangat beliau untuk menghasilkan karya kedua yang ada menyelitkan kisah-kisah tauladan yang diperoleh dalam pengalaman mengerjakan umrah baru-baru ini.
Novel keduanya bertajuk Daripada Sekeping Surat Samanmu mengenai seorang guru wanita, Puteri Salwani yang terpaksa melalui pelbagai dugaan selepas menerima sekeping surat saman daripada Tuan Megat Irfan Wafiy akibat kesalahan jalan raya yang dilakukannya.
Puteri Salwani mula berubah setelah hidup dalam dendam dan benci selama lebih lima tahun akibat dikecewakan oleh lelaki yang dicintainya setengah mati.
Sementara itu, hati Tuan Megat Irfan Wafiy mula terdetik sesuatu selepas menyaman wanita tersebut dan berasa seolah-olah telah lama mengenali Puteri Salwani. Apa yang dirasakannya berasas apabila beliau terjumpa semula gambar Puteri Salwani yang pernah diberikan oleh ibunya setahun yang lalu, namun hanya disimpan kerana tidak berminat untuk dijodohkan.
Sejak hari itu Tuan Megat Irfan Wafiy mula mendekati Puteri Salwani kerana sikap wanita tersebut menarik hatinya. Niat yang pada asalnya sekadar ingin mengacau berubah apabila lama-kelamaan dia mula jatuh hati.
Kemunculan semula lelaki yang pernah dicintai Puteri Salwani iaitu Fauzan yang ingin menagih semula cintanya hanya memporak-perandakan hidupnya apabila kehormatannya telah diragut secara paksa.
Selepas episod hitam itu berlaku, Puteri Salwani cuba menjauhkan diri daripada Tuan Megat Irfan Wafiy kerana merasakan dia sudah tidak layak untuk lelaki sebaik itu.
Wanita itu membawa diri ke Tanah Suci dan tidak menyangka berlaku pertemuan misteri dengan seorang lelaki bernama Izham yang seiras dengan Tuan Megat Irfan Wafiy.
Bagi mengetahui kisah selanjutnya, pembaca boleh mendapatkan novel ini pada harga RM25 di kedai-kedai buku utama negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: