|
"WALAUPUN rupamu tidak ku kenal, tapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku." Demikian dialog popular yang mengiringi perjalanan anak seni bernama Datuk Aziz Sattar sepanjang hayatnya dalam dunia lakonan.
Ungkapan itu dipetik daripada filem lakonan beliau bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan S. Shamsuddin, Seniman Bujang Lapok (1961), yang merupakan antara wadah seni terkenal selepas Bujang Lapok (1957), Pendekar Bujang Lapok (1959) dan Ali Baba Bujang Lapok (1960).
Les Trois Mousquetaires
Naskhah yang asalnya mengambil inspirasi daripada filem pendek dan novel terkenal Perancis, Les Trois Mousquetaires (The Three Musketeers), kisah tiga lelaki bujang terlajak itu dijelmakan dalam versi bahasa Melayu yang berjaya menambat hati pelbagai generasi penonton.
Ikonik wataknya, Ajis bersama Sudin dan Ramlee dalam siri filem Bujang Lapok itu menjadi signatur pelakon itu hingga panggilan Pak Ajis melekat di bibir peminatnya hingga kini.
Dua teman karibnya, S. Shamsuddin terlebih dulu pergi meninggalkan Pak Ajis pada 4 Jun tahun lalu manakala P. Ramlee telah meninggal dunia pada 28 Mei 1973.
Semalam, 6 Mei, Pak Ajis pergi meninggalkan semua yang masih hidup. Itu bermakna berakhirnya legasi terakhir yang tinggal daripada naskhah agung Bujang Lapok.
Keakraban Aziz dan P. Ramlee seperti tarikan magnet yang sama-sama memacu kerjaya kedua-dua bintang legenda itu untuk mencoret kenangan dan kejayaan bersama.
Teriakan siri filem Bujang Lapok membikin selaut ingatan buat penggemar filem hitam putih hingga mencetuskan fenomena sekitar tahun 1950-an.
Siapa tidak tahu antara lagu popular yang turut menjadi signatur siri filem Bujang Lapok seperti Menceceh, Tunggu Sekejap, Nak Dara Rindu dan Resam Dunia masih menjadi siulan hingga kini.
Ada yang menyifatkan pangkal huruf P pada nama P. Ramlee sebenarnya merujuk kepada tiga tunjang utama kariernya - pelakon, pengarah dan penyanyi.
Begitu juga Aziz yang memiliki bakat nyanyian dan pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan pop Pancasitara yang pernah ditubuhkan oleh P. Ramlee.
Umpama sebutir permata yang sentiasa berkilau walau dipanah perit mentari mahupun dimamah dingin salju, Aziz barangkali rujukan paling tepat.
Selamat tinggal Ajis
Tanpa sebarang tanda, tiada selembar kisah sakitnya yang ditanggung, Aziz atau nama sebenarnya, Abdul Azez Satta yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Pekalongan, Jawa Tengah, Indonesia, meninggalkan peminatnya tepat pukul 2 pagi 6 Mei 2014.
Aziz dikejarkan ke Pusat Perubatan KPJ Kajang pada malam Ahad lalu akibat serangan jantung di rumahnya di Ampang, Selangor.
Bertemankan dua anaknya, Dahlia dan Sandakiah Aziz, pelakon filem Nujum Pak Belalang itu menghembuskan nafas terakhirnya sambil ditemani seorang cucunya, Abu Ubaidah A. Ishak.
"Ayah mengadu sakit dada pada pagi Ahad lalu dan kami membawanya ke hospital pada sebelah malam. Selepas melalui siri ujian darah dan electrocardiogram (ECG), ayah kembali sedar dan boleh bercakap walaupun masih lemah.
"Tiada pesanan terakhir yang disampaikan arwah ayah melainkan seleranya sudah semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini.
"Bapa seorang yang bersemangat tinggi untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni terutamanya sepanjang menjadi Presiden Persatuan Artis Veteran Malaysia," ujar Sandakiah yang ditemui pada majlis pengebumian Allahyarham di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.
|
Sumbangan
Selain berpuluh-puluh filem lakonannya, Allahyarham juga berpengalaman sebagai pengarah filem.
Antara produksi filem arahannya termasuklah Keluarga Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982), Perawan Malam (1986) dan Darah Satria (1993).
Pada tahun 2007, Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.
Antara kisah menarik Allahyarham pada zaman silamnya, beliau pernah diseksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950-an.
Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga, bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat, bercerai).
Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak iaitu Ruzaiman, Ruzaidah, Ruzainah, Zainuddin, Dahlia, Dalina dan Sandakiah, 20 orang cucu serta 10 orang cicit.
Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor dengan mas kahwin RM100.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: