KUALA LUMPUR: Pelakon Erin Malek dan pasangannya Redha diumumkan sebagai juara program Fear Factor Malaysia 2 (FFM2) selepas berjaya menewaskan tiga lagi kumpulan pada peringkat akhir program itu.
Kemenangan itu melayakkan Erin dan Redha membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200,000.
Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad di Restoran Picknik, Publika di sini seiring dengan Majlis Tayangan Episod Kemuncak Fear Factor Malaysia 2 yang turut dapat disaksikan menerusi saluran Astro Ria (saluran 104) dan Astro Maya HD (saluran 135) pada malam Ahad.
Erin ketika ditemui berkata, sokongan ibu bapa dan rakan-rakan merupakan pencetus kepada kejayaannya ketika menepuh pelbagai dugaan sepanjang berada dalam pertandingan ini.
Jelasnya, cabaran, dugaan dan kesakitan yang dilalui membuatkan mereka lebih yakin dan tahan lasak dari segi fizikal dan mental.
"Jujurnya saya merasakan akan tersingkir di peringkat awal tetapi apabila program itu memasuki fasa selanjutnya, kekuatan itu datang dan pasangan saya banyak memberikan sokongan dan dorongan sepanjang ujian yang kami lalui," katanya.
Sementara itu, Redha berkata, kekuatan kumpulannya adalah persefahaman dan komunikasi antara ahli yang membuatkan mereka sentiasa fokus dalam pertandingan.
"Semua cabaran yang diberikan nampak mudah tetapi sebenarnya susah dan meskipun Erin nampak lemah tetapi sebenarnya dia kuat semangat dan mampu melepasi semua cabaran, ujarnya.
Ketika ditanya mengenai perancangan terhadap wang kemenangan, kedua-dua mereka berhasrat membantu keluarga masing-masing.
Pada peringkat akhir itu, turut menyaksikan persaingan hebat di antara kumpulan A iaitu Nas-T dan Khairul manakala kumpulan B disertai oleh Azura-Rachel serta Shuib-Zakaria.
Fear Factor Malaysia bersiaran secara eksklusif pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) serta siaran serentak di Astro Maya HD (saluran 135).
Manakala Akses Fear Factor Malaysia pula akan bersiaran setiap Isnin, pukul 9.00 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: