Sunday, February 16, 2014

Temberang si tukang kebun


KEHIDUPAN di banglo mewah bertukar kepada rumah kongsi selepas Yanti bertekad mengahwini Budi. - Gambar hiasan


LIMA belas tahun yang lalu, kehidupan Yanti bersama suaminya di tengah-tengah bandar raya Jakarta, Indonesia boleh dikatakan serba sempurna.
Menetap di rumah banglo dua tingkat dan mempunyai sebuah kereta mewah jenama Mercedez Benz sudah cukup membuatkan kehidupan mereka suami isteri dicemburui oleh teman-teman.
Katakan apa sahaja yang dihajati, baik pakaian berjenama, perhiasan mewah, mahupun melancong di tempat-tempat peranginan terkemuka sekitar Indonesia, semuanya mampu Yanti peroleh dengan mudah.
Bagaimanapun, kebahagiaan serta kemewahan yang dikecapi wanita berumur 30 tahun itu bersama suaminya tidak berpanjangan selepas dia mengenali Budi ketika usia perkahwinan Yanti menjangkau tiga tahun.
Mengimbau kembali kisah lalu, cerita Yanti, dia mula berkenalan dengan lelaki tersebut ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang kenalan terdekat bersama tiga orang rakan yang lain.
“Masih segar di ingatan saya, sewaktu pertama kali bertemu, dia memakai baju kemeja rona hitam dan berseluar jean lusuh.
“Penampilan yang bergaya dan keramahan yang dipamerkan Budi sedikit sebanyak berjaya mencuit hati saya. Lebih-lebih lagi apabila saya diberitahu bahawa dia merupakan seorang ahli perniagaan di Malaysia,” katanya ketika ditemui kru Jurnal baru-baru ini.
Pertemuan Yanti dan Budi pada petang itu tidak berakhir di situ sahaja apabila kedua-dua mereka secara sukarela bertukar-tukar nombor telefon masing-masing supaya perhubungan tidak terputus di situ.
“Walaupun Budi menjalankan perniagaan di Malaysia, tetapi dia tidak pernah gagal menghubungi saya setiap hari untuk bertanyakan khabar.
“Sehingga satu tahap, dia sanggup datang ke Indonesia semata-mata mahu berjumpa dengan saya,” tambahnya.
Dari saat itu, bermulalah bibit-bibit percintaan antara Yanti dan Budi.
Berpisah
Walaupun Budi tahu status Yanti yang sudah bersuami, namun itu tidak menghalang Budi daripada terus mendekati Yanti.
“Apa yang membuatkan saya tertarik dengan Budi ialah sikapnya yang romantis dan lucu. Berbeza dengan karakter suami saya ketika itu,” jelasnya.
Disebabkan perasaan cinta yang sedang membuak-buak, Yanti nekad meminta cerai daripada suaminya.
Selepas berlaku sedikit perbalahan, Yanti akhirnya diceraikan dengan talak tiga.
“Mujur pada masa itu saya dan bekas suami belum dikurniakan zuriat.
YANTI kini terpaksa bekerja keras membantu Budi di bumi Malaysia demi sesuap nasi. - Gambar hiasan


“Jika tidak, keadaan pasti menjadi lebih rumit,” katanya.
Mereka kemudian segera melangsungkan pernikahan secara kecil-kecilan dan Budi segera membawa Yanti ke Malaysia untuk tinggal bersama dengannya.
Bagaimanapun, episod kebahagiaan merpati dua sejoli ini berakhir apabila Yanti tiba di Malaysia.
Yanti mendakwa dia seakan-akan bermimpi apabila mengetahui temberang sebenar Budi.
“Terkejut apabila saya dibawa ke rumah kongsi dan bukannya banglo mewah seperti yang dijanjikan oleh Budi sebelum ini.
“Lebih mengecewakan apabila mendapati Budi sebenarnya seorang tukang kebun dan bukan ahli perniagaan seperti yang diceritakan pada saya sebelum ini,” jelasnya.
Dari waktu itu, kehidupan Yanti dan Budi tidak pernah aman dan mereka kerap bertengkar.
Menurut Yanti, walaupun begitu, tiada gunanya untuk dia menyesal kerana nasi sudah menjadi bubur.
Walaupun perit untuk menerima kenyataan, tetapi Yanti terpaksa akur kerana itu merupakan keputusan yang telah dibuatnya.
“Bayangkan, daripada kehidupan selesa di rumah banglo dua tingkat bersama suami saya yang dahulu, kini saya terpaksa hidup merempat di rumah kongsi bersama Budi dan dua orang anak kami.
“Nasihat saya kepada wanita terutamanya bagi mereka yang sudah bergelar isteri, jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang ditaburkan lelaki. Ambillah kisah hidup saya ini sebagai iktibar,” katanya dengan pandangan hampa.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: