PENG melabuhkan dagunya rapat ke dada tatkala dia dipuji bertalu-talu. Merah mukanya agak ketara namun pemuda berkulit sawo matang itu cepat mencapai telefon pintarnya, mungkin dia mahu memadam sipu.
Pelajar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) itu tidak menduga mentornya, Dr. Lokman Salim akan menembaknya dengan pujian menggunung.
Peng atau Pengiran Muhamamad Adil Awang IPR punya banyak cerita walaupun usianya baru menjengah 24 tahun.
Cerita Lokman, Peng yang dihantar belajar ke sebuah sekolah menengah di Kangar, Perlis, 11 tahun lalu tidak seperti pelajar lain yang pasti ditemani ibu bapa setidak-tidaknya pada hari pertama.
"Saya urus sendiri semuanya, beli baju, kasut dan baldi kerana keluarga ada di Sarawak. Gaya itu agak brutal tapi itu menjadikan saya sangat berdikari," kata Peng.
Pendekatan bapa Peng yang kini bertugas sebagai profesor perubatan di Ipoh, Perak, turut membuatkan dia ligat berfikir untuk terus berdikari termasuk dalam aspek kewangan.
Malah, ketika masih dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrikal di Universiti Teknologi Mara cawangan Sarawak, Peng sudah terlibat dengan pelbagai aktiviti perniagaan.
Cerita Peng, penglibatannya dalam pemasaran berbilang tingkat (MLM) merupakan titik tolak dia berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Ditipu tauke MLM
"Pada masa itu bisnes saya agak luar biasa sehingga saya mampu menyimpan RM40,000 dalam tempoh setahun.
"Malangnya saya dan semua peserta ditipu pengusaha MLM itu. Dia sebenarnya bukan jual produk tapi jual program sistem piramid," kata Peng.
Sistem itu hanya menguntungkan peserta awal tetapi peserta baharu terpaksa berputih mata. Berikutan itu, Peng menggunakan wang simpanannya sehingga hanya berbaki RM5.
Pengalaman pahit itu membawa Peng merantau ke Kuala Lumpur sebelum bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan sebagai pembantu jurutera selama setahun.
"Ikut belayar ke sana sini, lapar masak, makan dan akhirnya saya jadi 'gebu'," katanya berseloroh.
Peng akhirnya memikirkan secara serius arah karier setelah keluarga memintanya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah.
Anak kelima daripada tujuh beradik itu menambah, dia kembali terjebak dalam perniagaan selepas mengikuti program motivasi perniagaan online.
"Ayah turut serta dalam program itu, dia yang asalnya skeptikal kemudian berubah fikiran dan kini menjadi penyokong tegar saya," katanya.
Usai program itu, Peng memilih untuk menjual sabun resdung secara kecil-kecilan. Produk itu dipesan secara online dan dihantar menggunakan pos laju.
"Alhamdulillah, sambutan sungguh menggalakkan. Saya kini mempunyai tujuh pekerja dan 22 pengedar dengan jualan mencecah RM300,000 sebulan," ujarnya.
Jualan tinggi itu membolehkan Peng menikmati pendapatan sehingga RM30,000 sebulan.
Kejayaan Peng membuatkan namanya terus dicalonkan sebagai wakil Unimap dalam pertandingan Anugerah Usahawan Kementerian Pendidikan 2013.
Sabun resdung
Pantas Lokman menyampuk perbualan.
"Saya tak kenal Peng, dia pelajar di Fakulti Kejuruteraan tetapi saya pensyarah di Fakulti Bisnes. Pelajar yang cadangkan nama Peng untuk mewakili Unimap ke program keusahawanan," kata Lokman yang menjadi pegawai penyelaras di Unimap untuk program tersebut.
Cerita Lokman, sikap Peng yang mudah mesra menjadikannya senang bergaul dan dikenali ramai.
"Saya harus puji dia sebab dia layak. Malah, ketika peringkat pemilihan pemenang, juri sudah memperakui Peng bukan pelajar tetapi dia ahli perniagaan," kata Lokman.
Anugerah Usahawan Kementerian Pendidikan 2013 yang disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap di Kuala Lumpur pada September tahun lalu itu melayakkan Peng menerima wang tunai RM15,000 dan trofi.
Menyentuh perancangan masa hadapan, Lokman berkata, dia dan Peng akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menggembleng pelajar di beberapa kolej komuniti terpilih untuk mengulang guna konsep perniagaan Peng.
"Perniagaan online perlu ada sistem dan Peng bersama rakannya ada sistem itu.
"Alhamdulillah pengalaman saya selama lebih 28 tahun dalam industri banyak membantunya sebagai mentor," kata Lokman.
Ketika ditanya apa yang paling ditakuti, Peng menjawab:
"Saya takut jadi riak."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: