Sunday, February 16, 2014

'Flamingo' cantik dari Venezuela


ISLER (kiri) bersama Ratu Cantik Indonesia, Elvira Devinamira di Jakarta, 29 Januari lalu.


TIARA berkilau di rambut coklat keemasan Gabriela Isler, 25, mengesahkannya sebagai perempuan tercantik di dunia dengan menyandang gelaran Miss Universe. Bersama mahkota itu Isler terbang mengelilingi dunia. Tetapi, 'flamingo' cantik dari Venezuela itu tidak ingin kakinya lupa menjejak bumi.
Menurut Kompas.com, siling penthouse Hotel Sahid Jaya di Jakarta, Indonesia terasa rendah dengan kehadiran wanita setinggi 178 sentimeter itu. Tubuh tinggi lampainya ditopang kaki panjang dengan badan tegak berhias leher jenjang bagaikan burung flamingo yang anggun.
Dikatakan, daripada postur badan flamingo nama tarian flamenco diambil. Tarian penuh emosi itu biasa ditarikan oleh gadis Latin berpakaian merah dan berkasut tumit tinggi. Isler melawat Indonesia selama 10 hari yang berakhir 5 Februari lalu.
Tarian
"Saya pernah belajar tarian flamenco, tetapi itu sewaktu kecil. Saya hanya ingat beberapa langkah," ujarnya sambil ketawa. Bibirnya yang merah menyebarkan senyuman penuh kehangatan.
Seperti flamingo bermigrasi pada musim tertentu, begitu juga hidup Isler. Dari kota Maracay dekat pesisiran Laut Caribbean, Isler terbang mendiami apartmen di New York, salah sebuah kota terbesar di dunia yang menjadi pangkalannya selama menjadi Miss Universe.
"Untuk pertama kalinya saya jauh dari rumah dan keluarga," ujar wanita yang mesra disapa Molly itu.
Pada 4 Februari lalu, dia ada di tingkat 21 Hotel Sahid Jaya sambil memandang hamparan kota Jakarta yang padat dengan bangunan pencakar langit.
Tubuhnya berbalut gaun panjang tenunan Bali rekaan pereka fesyen Indonesia, Didiet Maulana. Kata Isler, dia sukakan fabrik batik malah dia sempat melihat batik di Yogyakarta.
Dia juga menyatakan bahawa cendol dan bakpia merupakan makanan Indonesia yang menjadi kegemarannya. Bakpia diperbuat daripada campuran kacang hijau dengan gula yang dibungkus dengan tepung lalu dipanggang. Dia juga dilaporkan menyukai makanan kampung semasa berkunjung ke Jakarta, Bogor dan Surabaya.
SEJAK kecil tubuh Isler tinggi dan besar.


Tiba-tiba dia menanggalkan mahkota Miss Universe yang dipakainya. "Ia berat sekali," ujarnya.
Kata Isler, berat mahkota itu 1.5 kilogram. Tidak mudah mendapat mahkota itu. Dia bertarung dengan 85 perempuan cantik dari sejumlah negara di Moscow, Rusia pada 9 November lalu. Isler berjaya menjadi wanita Venezuela ketujuh yang memenangi pertandingan itu. Selepas Amerika Syarikat, Venezuela menjadi penyumbang terbesar pemenang Miss Universe.
Rangkaian tugas yang mengiringi mahkota itu telah menunggu. Selama setahun, Isler akan mengelilingi dunia sebagai duta Miss Universe Organization dan menjadi jurucakap kempen melawan HIV dan AIDS. Dia juga bekerjasama dengan pertubuhan sosial yang memberi tumpuan kepada kesihatan wanita dan isu reproduksi.
"Saya suka bercakap dengan orang ramai tentang hal-hal penting untuk diperjuangkan," ujarnya.
Isler tidak menganggap gelaran Miss Universe sebagai satu-satunya pencapaian kemuncak dalam hidupnya. "Pencapaian terbesar saya ialah menamatkan pengajian saya," bicara graduan sarjana dalam bidang pengurusan dan pemasaran itu dengan mata bercahaya.
Pelajaran
Pendidikan bagi Isler sangat penting dan membuka banyak peluang dalam hidup. Setelah menyelesaikan tugas sebagai Miss Universe, dia bercadang untuk menyambung kembali pelajaran bagi memperoleh ijazah kedoktoran pula sebelum membuka perniagaan sendiri.
Bagi Isler, kecantikan bukan sekadar kulit tubuhnya yang putih itu. "Kecantikan merupakan karisma dan kebaikan yang memancar dari dalam tubuh," tuturnya berfalsafah. Itulah juga sebabnya Isler percaya kepada prinsip baik dibalas baik.
"Saya seboleh-bolehnya mahu melakukan sebanyak mungkin kebaikan agar kebaikan pula yang datang ke dalam hidup saya," katanya bersungguh-sungguh.
Walaupun telah dinobatkan sebagai Miss Universe, Isler tetap merasakan dirinya tidak sempurna. "Saya kurang menyukai kaki saya yang besar. Saiz kasut saya 41," ujarnya.
Ketika berusia 14 tahun, Isler terjun ke dunia peragaan. "Ibu yang mendorong saya masuk ke dalam bidang ini," katanya.
Sejak kecil, tubuh Isler tinggi dan besar. Keluarganya suka memanggil Isler dengan nama Molly, seperti patung boneka Molly yang tembam dalam siri filem American Girl.
Pada mulanya dia enggan menjadi model. Tetapi selepas kematian mak ciknya, dia bersetuju kerana mahu menggembirakan hati ibu dan neneknya. Selepas itu, ibunya, Emperatiz menyuruh pula Isler bertanding merebut gelaran Ratu Cantik Venezuela.
ISLER anggun dalam persalinan batik Indonesia.


"Banyak perkara yang harus dilakukan. Malah, setelah menjadi Ratu Cantik Venezuela, saya bekerja sebagai penyampai di sebuah stesen televisyen bagi membiasakan diri berhadapan dengan kamera," ujarnya.
Ibu bapanya bercerai sewaktu Isler masih kecil dan dia tinggal bersama ibunya.
"Ibu selalu memberikan yang terbaik dan mendahulukan anak-anaknya. Dia selalu membelikan kasut untuk saya terlebih dahulu, bukan untuk dirinya," katanya.
Didikan Emperatiz membentuk Isler menjadi gadis berdikari.
"Ibu selalu mengajarkan agar kami percaya kepada diri sendiri. Kata ibu, jika kamu tidak percaya diri kamu sendiri, orang lain juga tidak akan percaya kepada kamu," ujar Isler menirukan kata-kata ibunya.
Karakter dan pesanan ibunya itulah yang akan diteruskan Isler jika dia memiliki anak perempuan nanti.
"Kekuatan seseorang wanita itu dilihat daripada karakternya, bukan hanya penampilan," tuturnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: