|
MENYUSURI laluan Hulu Langat dari Batu 9 hingga ke pekan Batu 14 terasa bagaikan sedang pulang ke kampung. Apa tidaknya, di sepanjang bahu jalan ada sahaja gerai-gerai yang menjual kuih-muih Melayu dan buah-buahan tempatan.
Suasana akan lebih meriah pada hujung minggu tatkala ramai warga kota berpusu-pusu menuju ke lokasi perkelahan di daerah di negeri Selangor ini seperti Air Terjun Sungai Congkak dan Sungai Gabai.
Tiba-tiba tumpuan mata tertampan oleh pemandangan itik salai yang digantung berderet di samping ikan keli, ayam dan daging batang pinang.
Sememangnya produk yang diketengahkan Ombong Salai Enterprise di Batu 12, Hulu Langat ini menjanjikan kelainan.
Ketika kru Jurnal menjejakkan kaki ke gerai milik Mohd. Zahari Zainal, 48, itu dia sedang asyik melayan pelanggan. Malah, semasa temu bual berlangsung dia juga terpaksa meninggalkan sesi itu sekali-sekala kerana pelanggan tidak henti-henti singgah untuk mencari makanan kegemaran.
"Beginilah rutin harian saya di gerai ini. Tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang membeli, Alhamdulillah," ujarnya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Orang Negeri Sembilan sinonim dengan makanan salai. Malah, dikatakan makanan salai terbaik hanya ada di Kuala Pilah. Di sana, mereka turut menyalai semua jenis ikan dan burung puyuh selain ayam, itik dan daging.
Tetapi bukan semua warga kota sanggup memandu kereta selama lebih dua jam untuk ke sana semata-mata mahu mencari makanan salai. Jadi, dalam situasi inilah Mohd. Zahari muncul dengan produk salai Kuala Pilah tetapi dijual di Hulu Langat yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan sahaja dari bandar raya Kuala Lumpur.
Itik panggang
Menurutnya, idea itu diperoleh selepas dia tercari-cari jenis perniagaan yang ingin diusahakan sebagai sumber pendapatan.
"Boleh dikatakan kebanyakan ahli keluarga saya berniaga, tetapi saya hendak mencari perniagaan yang kurang persaingan supaya boleh bertahan lama.
"Sebab itu saya menjual makanan salai bagi memberikan kelainan kepada pelanggan.
"Selama tiga bulan saya memikirkan idea perniagaan ini dan akhirnya terlintas di fikiran untuk membawa menu dari Kuala Pilah ke Hulu Langat," jelas bapa kepada empat orang anak ini.
Memulakan operasi dari pukul 11 pagi hingga 7 malam, antara yang menarik di gerai ini ialah menu itik panggang dan itik salainya.
Ini kerana pelanggan akan dapat menikmati lima rasa berlainan seperti manis, pedas, beraroma dan rasa salai apabila menjamahnya.
"Sambutan pelanggan sangat menggalakkan. Sekarang saya perlu menyediakan bahan mentah dalam kuantiti dua kali ganda lebih banyak berbanding semasa mula-mula berniaga dua tahun lalu.
"Sudah tentu menu itik juga mendapat permintaan yang tinggi," katanya.
Sebelum menyiapkan tempahan pelanggan, Mohd. Zahari terlebih dahulu akan bertanya sama ada mereka mahukan itik yang dipanggang atau disalai kerana kedua-duanya berbeza.
Jelasnya, itik panggang boleh dimakan begitu sahaja manakala itik salai perlu dimasak selepas itu sama ada dibuat masak lemak cili api, kari atau rendang.
"Ada juga pelanggan yang tidak tahu perbezaan kedua-dua kaedah itu, jadi saya akan menerangkannya terlebih dahulu," ujarnya.
Menurut Mohd. Zahari, dia menggunakan itik daging yang turut dikenali sebagai itik nila, itik air, itik peking dan itik putih sebagai bahan utama memandangkan itik itu sedap dipanggang.
Mohd. Zahari turut menghidangkan daging itik kepada kru Jurnal. Walaupun ini kali pertama mencubanya, hati sudah tertawan untuk menjamahnya lagi.
"Keenakan lima rasa yang diperoleh daripada itik salai ini hasil penggunaan ramuan herba tertentu. Dua perasa digaul semasa itik ini diperap manakala tiga perasa lagi ditambah ketika disalai atau dipanggang.
"Sebenarnya makanan salai sangat sinonim dengan masyarakat Kuala Pilah. Orang di sana percaya sedap atau tidaknya sesuatu makanan salai itu bergantung kepada teknik mengawal bara api," ujarnya yang mempelajari teknik itu sejak kecil.
Kayu getah
Mohd. Zahari memberitahu, proses menyalai itik tersebut selama sejam diperlukan bagi mengeluarkan minyak daripada haiwan berkenaan.
"Proses itu sama sahaja untuk semua jenis makanan salai lain seperti ayam kampung, daging dan ikan keli.
"Itik dibaringkan di atas para terlebih dulu sebelum diangkat dan digantung di atas bara untuk mengeluarkan lebihan minyak.
"Daging itik yang disalai mempunyai tekstur yang lebih padat dan memudahkan kerja-kerja memasak berbanding daging yang tidak disalai.
"Daging biasa kurang sedap untuk dibuat rendang atau masak lemak cili api," katanya yang menjadikan laman Facebook sebagai medium promosi.
Tambah Mohd. Zahari, kayu getah, rambutan dan sabut kelapa digunakan dalam proses menyalai.
"Bara yang terhasil daripada kayu getah berbeza kerana baranya mengurangkan bau asap tetapi sebaliknya dapat memberikan aroma kepada bahan yang disalai.
"Jika dilihat dengan mata kasar, pasti ada yang beranggapan tugas menyalai ini senang tetapi sebenarnya tidak semudah yang disangka malah memerlukan kesabaran yang tinggi.
"Bukan hanya perlu bermandi asap tetapi juga proses menyalai kesemua itik di gerai ini mengambil masa yang lama iaitu sehingga dua jam dan perlu sentiasa dijaga rapi," jelasnya sambil memberitahu, harga bagi itik salai bermula dari RM53 hingga RM60 seekor bergantung kepada saiz yang diinginkan pelanggan.
Ujar Mohd. Zahari, dia mendapat bekalan itik segar daripada pembekal tempatan khususnya ladang di sekitar Semenyih, Selangor serta Tanjung Ipoh yang terletak di Kuala Pilah.
"Jika dibandingkan ayam dan itik salai, minyak yang dikeluarkan itik salai menjadikan hidangan itu lebih sedap, sedangkan ayam mengeluarkan rasa salai sahaja," ujarnya yang mendakwa belum pernah menerima komen negatif daripada pelanggan berhubung produk salai keluarannya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Nazura Shamsuddin, 39, memberitahu, keenakan makanan salai keluaran Ombong Salai Enterprise tidak diragukan lagi.
"Saya sering membeli makanan salai yang dijual di gerai ini apabila bertugas di sekitar Hulu Langat. Gerai ini membolehkan saya mendapatkan bekalan makanan salai tanpa perlu pulang ke kampung.
"Selain harganya yang berpatutan, hasil salaiannya juga sekata apatah lagi makanan salai menjadi kegemaran saya sekeluarga," katanya yang turut mempromosikan gerai tersebut kepada rakan-rakannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: