SEPANG – Penerbangan 145 penumpang termasuk enam anak kapal milik IndiGo Airlines ke Chennai, India dari Singapura tertangguh selama dua jam selepas juruterbang pesawat itu membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Kejadian pukul 7.37 pagi itu berlaku selepas juruterbang mengesyaki kewujudan sejenis bahan kimia yang terletak di belakang kabin berdekatan tandas pesawat tersebut.
Bagaimanapun selepas diperiksa, pihak berkuasa tidak menemui bahan kimia yang didakwa itu. Mereka sebaliknya menjumpai tiga ketulan logam berwarna kuning dipercayai emas yang diletakkan di dalam bungkusan dan dibalut dengan sejenis pelekat hitam yang biasa diguna untuk pendawaian elektrik.
Ini mendatangkan suasana kecoh dalam kalangan pihak berkuasa dan penumpang pesawat berkenaan.
IndiGo Airlines merupakan syarikat milik American Airlines yang berpangkalan di Chicago, Illinois. Ia diasaskan pada tahun 1997.
Pesawat itu baru menempuh perjalanan sejauh kira-kira 377 kilometer dari Lapangan Terbang Changi, Singapura. Jarak untuk ke Chennai kira-kira 6,706 kilometer.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Zaldino Zaludin berkata, pemeriksaan lanjut pihak bomba dan Unit Pemusnah Bom (UPB) mengesahkan tiada sebarang elemen ancaman bahan kimia berlaku dalam pesawat tersebut.
Katanya, bungkusan logam tersebut ditemui oleh UPB yang masuk ke dalam pesawat selepas pemeriksaan awal dilakukan oleh pihak bomba.
“Kita tidak pasti lagi sama ada logam itu merupakan emas seperti yang didakwa. Logam itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis terlebih dahulu.
“Pendaratan itu dilakukan selepas juruterbang mengesyaki terdapat bahan kimia di dalam pesawat tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: