Friday, February 14, 2014

Thailand usir 1,300 etnik Rohingnya



SEBAHAGIAN pelarian Rohingya yang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen di Songkhla, Selatan Thailand kelmarin.


BANGKOK - Kerajaan Thailand mengusir 1,300 orang pelarian Rohingnya kembali ke Myanmar, kata seorang pegawai tinggi negara ini semalam.
Tindakan itu sekali gus mengabaikan amaran yang dilancarkan aktivis-aktivis kemanusiaan di dunia bahawa etnik Rohingya ditindas di Myanmar.
Ribuan etnik Rohingya yang dilabelkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai antara penduduk minoriti yang paling ditindas di dunia telah melarikan diri dari barat Myanmar dengan menaiki bot sejak tahun 2012.
Kebanyakan etnik Myanmar yang beragama Islam itu menuju ke Malaysia.
Kira-kira 2,000 orang pelarian Rohingya yang tiba di Thailand dikurung di dalam penjara imigresen yang sesak.
Terdapat juga pelarian itu ditempatkan di pusat-pusat perlindungan wanita dan kanak-kanak.
Ketua Imigresen Thailand, Leftenan Jeneral Pharnu Kerdlarpphon berkata kepada agensi berita AFP, Thailand mula mengusir pelarian itu sejak September tahun lalu dengan menggunakan pintu pemeriksaan sempadan di wilayah Ranong.
Bagaimanapun, tindakan itu diselar para aktivis kerana etnik Rohingnya akan menghadapi sekatan perjalanan, menjadi buruh paksa dan tidak menerima kemudahan akses pendidikan serta kesihatan.
Seorang penyelidik kanan sebuah pertubuhan hak asasi manusia, Sunai Phasuk dari Human Right Watch berkata, pengusiran pulang itu melanggar undang-undang antarabangsa kerana ia akan menyebabkan etnik Rohingya berdepan dengan bahaya dan penindasan.
Lebih 200 orang terbunuh dan 140,000 orang lagi hilang tempat tinggal ekoran rusuhan agama berlaku melibatkan etnik Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: