|
BERDASARKAN jumlah lambakan filem-filem bercorak aksi, terutamanya membabitkan gengsterisme yang menjadi pilihan ramai penerbit, filem Balistik yang mula ditayangkan di pawagam hari ini ternyata memberikan kelainan kepada peminat filem bercorak sedemikian.
Membariskan beberapa pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Adi Putra dan Rita Rudaini sebagai tunjang utama, filem terbitan RK Screen Sdn. Bhd. yang diarahkan Silver Yee dengan kos sebanyak RM2.5 juta itu tidak menghampakan.
Mungkin ramai yang menyangka Balistik adalah sebuah filem tentang perseteruan antara kongsi gelap serta membabitkan banyak aksi pergaduhan tetapi sangkaan untuk nyata meleset apabila menontonnya.
Sesuai dengan judulnya, Balistik yang bermaksud kelajuan peluru, filem ini sebenarnya lebih sarat dengan adegan tembak-menembak berbanding babak pergaduhan yang sudah kerap ditampilkan dalam kebanyakan filem aksi lain.
Tidak hairan apabila produksi berkenaan memperuntukkan kos sebanyak RM45,000 untuk senjata api serta 1,000 butir peluru bagi menjayakan kira-kira 30 peratus adegan tembak-menembak yang dipaparkan dalam filem ini.
Balistik yang merupakan filem sulung terbitan RK Screen dengan kerjasama Asia Tropical Films Sdn. Bhd. (ATF) mengisahkan tentang Saga lakonan Rosyam sebagai pembunuhan upahan yang terpaksa berpisah dengan isterinya, Salina (Rita) lantaran pekerjaannya itu.
Bagaimanapun, Saga mengambil keputusan membawa anak mereka iaitu Rykarl (Rykarl Iskandar) dan dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ibu. Enam tahun kemudian, Salina kembali muncul dalam kehidupan Saga dan Rykarl apabila ketiga-tiganya terserempak dalam satu insiden.
Konflik bertambah menarik apabila Salina yang ditinggalkan oleh suaminya berkahwin pula dengan Nizam, seorang anggota polis yang juga rakan baik Saga ketika mereka dibesarkan bersama-sama di rumah anak yatim sewaktu kecil.
Ternyata, situasi tersebut mewujudkan sengketa antara Saga dan Nizam yang bukan sahaja disebabkan kerana seorang wanita, malah Nizam turut terikat dengan komitmen dan tanggungjawabnya untuk memantau kegiatan yang dilakukan oleh rakan baiknya itu.
Diakui filem bercorak sebegini memang sudah kerap dihasilkan dan tidak adil rasanya kalau hendak dibandingkan dengan filem aksi Hollywood tetapi kekuatan filem ini terletak pada jalan ceritanya yang digarap dengan kemas oleh Silver agar mudah difahami penonton.
Tidak dinafikan unsur gengsterisme masih diterapkan, cuma penonton tidak seharusnya melihat Balistik sebagai sebuah filem aksi semata-mata memandangkan ia lebih menitikberatkan elemen drama dalam penceritaannya.
Itulah kelainan yang cuba ditampilkan Silver bagi menunjukkan perbezaan dengan kebanyakan filem aksi tempatan yang lebih kerap menumpukan kepada babak aksi sebagai tunjang kekuatan jalan cerita. Dalam filem Balistik, penonton dibuai dengan permainan emosi yang membabitkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan.
Apa yang lebih penting, penonton perlu fokus terhadap setiap babak kerana di pengakhiran cerita, semua rahsia yang tersimpan rapi bakal terjawab, termasuk identiti sebenar Saga dan pengarah cukup bijak memainkan elemen kejutan dalam filem ini.
Kalau dinilai dari segi daya lakonan pula, Rosyam berhasil memberikan lakonan yang sangat baik dan berjaya lari daripada karakter yang ditampilkan dalam filem aksi lakonannya sebelum ini seperti Castello dan KL Gangster 2.
Siapa sangka, dalam usianya yang sudah mencecah 46 tahun, Rosyam masih mampu membawakan watak yang memerlukan kekuatan fizikal.
Begitu juga dengan pemilihan Adi Putra yang membawakan watak seorang pegawai polis telah dilakonkan cukup memberi impak tersendiri, biarpun dia lebih dikenali membawakan watak antagonis seperti dalam filem Haq atau KL Gangster.
Selain itu, mempertaruhkan beberapa pelakon Cina tempatan seperti Jack Lim dan Gan Mei Yan merupakan satu pendekatan tersendiri yang cuba dilakukan dan dapat menarik penonton bukan Melayu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: