- Muhammad Azmi menyuapkan makanan kepada ibunya yang terlantar sakit di Kampung Lara, Pangkal Perahu, semalam.
Muhammad Azmi Isa, 17, berkata, dia tidak sampai hati membiarkannya ibunya, Asiah Mohamad, 55, keseorangan terlantar sakit di rumah jika dia ke sekolah setiap hari.
"Mak langsung tidak boleh bergerak, apatah lagi untuk makan, minum dan menguruskan diri. Malah, setiap kali nak mandi, saya perlu mengangkatnya kerana tiada kerusi roda untuk memudahkan pergerakan emak," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menceritakan mengenai kejadian menimpa ibunya, Muhammad Azmi berkata, ibunya jatuh selepas solat Isyak dan ketika itu, dia sedang bekerja di kedai sate di kawasan berdekatan.
"Saya hanya mengetahui kejadian ini beberapa jam selepas itu setelah tamat waktu bekerja.
“Justeru, saya tidak mahu kejadian sama berlaku jika saya ke sekolah atau keluar bekerja. Kami hanya tinggal berdua di rumah ini, sementara kakak pula tinggal di kawasan lain bersama keluarganya," katanya.
Muhammad Azmi berkata, dia hanya mempunyai dua adik-beradik dan kakaknya pula terpaksa bekerja bagi mencari rezeki untuk keluarga, termasuk menyara dia dan ibunya.
"Kakak telah berkeluarga, jadi saya tidak mahu menyusahkannya. Lagipun selain sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 sebulan, kakak yang banyak membantu kami walaupun dia sendiri hidup susah.
“Bukan sedikit wang yang kami perlukan setiap bulan sejak emak sakit. Dulu kami tidak kisah hidup serba kekurangan namun sejak emak sakit, kami langsung tidak punya sumber pendapatan," katanya.
Menurutnya, sebelum sakit, emaknya bekerja dengan pendapatan RM5 sehari sebagai pengupas bawang.
"Saya pula bekerja sambilan dengan mengambil upah menjual sate pada waktu malam. Cukuplah untuk makan minum kami ala kadar namun sekarang keadaan jauh berbeza.
"Bukan hanya emak yang tidak mampu bekerja, saya juga tidak dapat keluar kerana perlu menjaga dan menguruskannya," katanya.
Azmi berkata, ibunya bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan yang dibekalkan hospital.
"Kami tidak mampu mendapatkan rawatan alternatif seperti mengurut untuk membantu emak pulih.
"Sebenarnya emak sudah lama menghidap penyakit jantung dan darah tinggi sehingga menyebabkannya diserang strok," katanya.
Dalam kejadian banjir baru-baru ini, Muhammad Azmi berkata, ibunya terpaksa diusung menggunakan kain pelikat untuk dipindahkan ke tempat selamat selepas rumah mereka dinaiki air.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: