• Program Islamik terima imbuhan kurang lumayan

PERTANDINGAN program realiti televisyen bukanlah perkara baharu dalam industri malah, kini lebih daripada 10 program yang diadakan pada setiap tahun.

Antaranya termasuk, Akademi Fantasia (AF), Bintang Mencari Bintang (BMB), Raja Lawak, Maharaja Lawak Mega, Masterchef Malaysia, Projek Metro, Ustazah Pilihan, Imam Muda dan terbaru, Pencetus Ummah (PU).

Malah, setiap program yang diperkenalkan kebanyakannya berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan, sekali gus meraih sambutan menggalakkan daripada masyarakat khususnya penonton.

Walaupun kesemua program yang diterbitkan mempunyai matlamat dan konsep yang berbeza, namun pada pandangan kasar, ia dilihat lebih memihak kepada rancangan berbentuk hiburan berbanding agama dan dakwah.

Mana tidaknya, rancangan realiti yang membabitkan pertandingan dalam kelompok hiburan seperti nyanyian, komedi dan tarian menawarkan hadiah lumayan termasuk imbuhan wang tunai yang tinggi.

Sebagai contoh, rancangan realiti televisyen terbitan, 8TV, One In A Million (OIAM), menawarkan nilai hadiah paling tinggi iaitu wang tunai sebanyak RM1 juta.

Begitu juga dengan rancangan lawak, Maharaja Lawak Mega dan Mania, terbitan Astro yang meletakkan nilai setengah juta untuk pemenang.

Namun, program berbentuk dakwah atau agama hanya disertakan dengan hadiah berupa 'saguhati' yang jauh lebih rendah berbanding rancangan hiburan.

Misalnya, rancangan Imam Muda, hanya menerima wang tunai serendah RM50,000 begitu juga dengan PU.

Malah, program pencarian ustazah, Ustazah Pilihan, pula hanya menerima wang tunai RM20,000, di mana nilainya sama seperti bintang, Ceria Pop Star.

Walaupun terdapat beberapa hadiah sampingan lain termasuk pakej haji, umrah atau kereta, namun ia masih berada dalam kelompok yang terendah.

Persoalannya, mengapa mesti ada jurang yang sangat ketara walhal program sebegitu sepatutnya mendapat imbuhan paling tinggi bagi menyemarakkan lagi semangat anak-anak muda untuk menyertainya.

Menjawab mengenai perkara ini, Zass menyusun satu temu bual khas bersama Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.

Astro merupakan stesen televisyen yang paling banyak terlibat dalam penghasilan program realiti. Adakah kesemuanya berjaya?

Alhamdulillah, kami dari pihak Astro sangat berterima kasih dengan sokongan yang berterusan daripada pelanggan iaitu penonton. Walaupun setiap pertandingan realiti itu mempunyai konsep, misi dan matlamat yang berbeza, namun ia memberi gambaran yang baik dari segi sambutan dan rating. Melihat kepada sambutan dan sokongan ini, Astro tidak akan teragak-agak untuk menghasilkan program realiti yang lebih baik untuk masa yang akan datang.

Bagaimana pula dengan rancangan realiti keagamaan seperti Imam Muda dan PU?

Syukur, Alhamdulillah, percaturan kami dalam menghasilkan program realiti berbentuk Islamik, membawa kepada anjakan yang berkesan dalam kalangan masyarakat. Walaupun Imam Muda dan PU merupakan medium dakwah sama, namun ia adalah sesuatu yang berbeza dan mempunyai pencapaian tersendiri. Kedua-dua rancangan ini berjaya walaupun belum pernah diguna pakai oleh stesen televisyen lain. Bagi PU pula, walaupun ia merupakan program berskala tinggi, namun ia berjaya mendekati masyarakat dan turut mencipta fenomena. Malah, program keagamaan seperti ini akan diteruskan bukan sahaja untuk santapan jiwa, malah sebagai cara pendekatan baru dalam menyampaikan dakwah.

Jika diperhatikan, imbuhan bagi program berbentuk keagamaan lebih rendah berbanding program realiti hiburan. Mengapa?

Jika diteliti, program realiti berbentuk nyanyian, sebenarnya sudah lama dipraktikkan dalam industri seperti Bakat TV dan Bintang RTM. Malah, bidang nyanyian merupakan program realiti pertama yang diperkenalkan di dalam industri tempatan. Astro merupakan stesen televisyen swasta yang komited dalam usaha mempelbagaikan program realiti dan tidak ketinggalan juga program keagamaan. Namun, dalam masa yang sama, kita perlu meneliti tahap pertandingan itu.

Sebagai contoh, Maharaja Lawak Mega (MLM), ia merupakan pertandingan profesional melibatkan selebriti yang berada dalam kelas yang tersendiri. Malah, mereka juga merupakan nama besar dalam industri dan mempunyai kelompok peminat yang tersendiri. Bagi rancangan dakwah seperti PU, bukan sahaja wang tunai malah juara turut menerima sebuah kereta sebagai hadiah sampingan. Secara keseluruhan, pemenang menerima RM100,000. Selain itu, kami juga akan menyediakan platform untuk mereka dalam menyebarkan dakwah.

Mungkinkah kesukaran mendapatkan penaja merupakan salah satu faktor?

Ya, untuk program baharu, kami sememangnya sukar untuk mendapatkan sokongan penaja. Ianya bergantung kepada populariti sesebuah program itu di mana jika melibatkan nama-nama besar, urusan penajaan akan lebih mudah, Namun, jika sesebuah program itu merupakan percaturan awal, ia mungkin memerlukan sedikit masa. Namun, saya tidak menafikan, selepas ini, program realiti keagamaan juga akan mendapat tempat yang tersendiri.

Adakah nilai hadiah ini akan ditambah dari semasa ke semasa?

Melihat kepada kejayaan PU, kami tidak teragak-agak untuk meluaskan lagi usaha ini ke arah yang lebih baik. Insya-Allah, kami akan mengambil kira beberapa perkara selepas ini. Dari segi pencapaian, ia
sememangnya memberi impak yang bagus dan ianya akan diteruskan untuk musim yang akan datang.

PROGRAM REALITI TV

Akademi Fantasia (AF)
Terbitan : Astro
Hadiah Utama : RM200,000

AF merupakan rancangan realiti TV pertama di Malaysia yang memberi inspirasi, aspirasi dan hiburan daripada peserta. Rancangan ini direka khusus untuk membentuk peserta sebagai bintang dalam persekitaran hiburan dan akademik. Format rancangan ini diolah daripada, La Academia, di Mexico. Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki versi sendiri rancangan ini. Musim pertama mula disiarkan pada Jun 2003 dan menjadi rancangan yang mencatat rating paling tinggi di Astro Ria. AF 2013 tampil dengan format baharu untuk mengikut faktor terkini dan semasa. Antara juara AF termasuk Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Hafiz, Shahir, Hazama dan Faizul.

Mania
Terbitan : Astro
Hadiah Utama : RM500,000.

Mania @ Astro Ria merupakan program realiti TV menampilkan gandingan artis dan selebriti terkenal tempatan dengan ikon penerbitan muzik tersohor. Hasil undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Hafiz berjaya dinobatkan sebagai juara.

Pencetus Ummah
Terbitan : Astro
Hadiah Utama : RM50,000 dan sebuah kereta Toyota, Prius C

Rancangan terbitan Astro Oasis terbaru, Pencetus Ummah (PU) memulakan siarannya pada 21 November 2013 di saluran 106. Bertemakan Duniaku Dakwahku, PU adalah pengganti kepada Imam Muda yang ditampilkan dengan pelbagai cara kreatif menggunakan platform itu sebagai kaedah menyampaikan dakwah secara keseluruhan. PU Hafiz dinobatkan sebagai juara PU musim pertama.

One In A Million (OIAM)
Terbitan : 8TV
Hadiah Utama : RM1,000,000

OIAM diterbitkan dengan tujuan pembangunan kerjaya juara. Antara ciri-ciri istimewa dan unik dalam format OIAM termasuk mengalu-alukan penyertaan artis yang masih memegang kontrak rakaman, proses Central Eliminations yang melibatkan ujian 'Blind Test' yang mana juri memerhati bayangan peserta sambil menilai mutu vokalnya, dan proses penyingkiran dijalankan di awal setiap malam pertandingan mingguan. Diperkenalkan pada 2006 sebagai ganti untuk Malaysian Idol, OIAM sudah menjayakan tiga musim, dan juara ialah Suki Low (2006), Ayu Damit (2008) dan Tomok (2009).

Rentak Juara
Terbitan : RTM
Hadiah Utama : RM200,000

Sebanyak 30 kumpulan yang terdiri daripada pemuzik profesional dan amatur dipilih daripada 357 kumpulan yang menghadiri uji bakat yang diadakan di seluruh negara. Namun, program ini terhenti sejak tiga tahun lalu.

Imam Muda
Terbitan : Astro
Hadiah Utama : RM100,000

Imam Muda merupakan program realiti anjuran Astro Oasis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Diperkenalkan pada 2010, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan (Imam Muda Asyraf), dipilih sebagai juara pertama dan diikuti Imam Muda Hassan, juara musim kedua dan Imam Muda Jabbar musim ketiga.

Ustazah Pilihan
Terbitan : Astro
Hadiah Utama : RM20,000, tajaan biasiswa di Universiti Al-Madinah, sebuah kereta Peugeot 207.

Ustazah Pilihan memaparkan pencarian Muslimah sejati merangkumi segala aspek kehidupan seperti pendidik, pembimbing dan pemimpin golongan wanita dalam masyarakat. Seramai 10 peserta yang terpilih akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi meneruskan pembelajaran amali dan praktikal yang diperlukan sepanjang lapan minggu di akademi, bertujuan memantapkan pengetahuan dari aspek keagamaan, hal ehwal teknologi, kewangan, kemasyarakatan serta kekeluargaan. Mereka diberikan tugasan tertentu sepanjang minggu berlandaskan format kitaran kehidupan yang membabitkan isu semasa berkaitan wanita manakala pendekatan yang digunakan pula harus relevan dengan realiti wanita zaman kini, malah markah diberikan bersandarkan kedua-dua kerja iaitu hasil kerja kumpulan serta kesungguhan individu itu sendiri.

Maharaja Lawak Mega
Terbitan : Astro
Hadiah Utama : RM500,000

Program lawak ini menggabungkan hampir kesemua pelawak veteran dan pelawak baru dari Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk melahirkan seorang pelawak serba boleh dan ‘versatile’ serta menjadikan rancangan ini sebagai platform untuk memperkembangkan jenaka mereka ke tahap yang lebih tinggi. Ia merupakan kesinambungan rancangan Maharaja Lawak setelah menabalkan seorang pelawak terunggul daripada semua finalis Raja Lawak yang berlangsung pada tahun 2011. MLM musim pertama menobatkan Osbon sebagai juara.

Raja Lawak (RL)
Terbitan : Astro
Hadiah Utama : RM100,000

Program yang berkonsepkan pencarian bakat sebagai pelapis kepada golongan pelawak elit sedia ada agar dapat diketengahkan dalam industri seni hiburan. Mula diperkenalkan pada tahun 2007, antara juaranya termasuk Yus (RL 1), Nabil (RL 2), Sepah (RL 3), Kecik (RL 4), Man (RL 5), Shiro (RL 6) dan Wala (RL 7).

Bintang Mencari Bintang (BMB)
Terbitan : TV3
Hadiah Utama : RM200,000

Menyasarkan bakat baru yang berkebolehan dalam dua bidang iaitu sketsa komedi dan nyanyian. BMB membariskan enam sifu hiburan iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Senario, Sabri Yunus, Raja Azura dan Faizal Ismail. Setiap Sifu mempunyai dua anak didik yang bertanding dalam Kumpulan A dan Kumpulan B. BMB musim lalu mengangkat anak didik Harun Salim Bachik, Achey sebagai juara. Untuk musim kedua, ianya bakal dilangsungkan tidak lama lagi.