|
KEHENINGAN dataran savana tanpa deruman enjin kenderaan mahupun hiruk-pikuk kota dan hanya ditemani hingar-bingar penghuninya cukup menggambarkan suasana alam safari.
Bayangkan pula suasana safari di bumi Afrika Selatan diterbangkan sejauh 8,381 kilometer ke Malaysia. Sudah tentu ia menjimatkan masa dan wang kerana anda tidak lagi perlu mengeluarkan kos belanja sebanyak RM4,000 untuk tiket penerbangan ke sana.
Segalanya ada di Taman Safari Bukit Gambang (TSBG), Kuantan, Pahang. Begitulah sedikit sebanyak apa yang dirasakan kru Kosmo! ketika berpeluang berkunjung ke bandar resort tersebut baru-baru ini.
Pemanduan sejauh 213 kilometer yang memakan masa dua jam 30 minit dari ibu negara ke TSBG terasa amat berbaloi. Pada mulanya, kami tertanya-tanya, di manakah lokasi taman safari yang dikatakan?
Ia disebabkan persekitaran luaran kelihatan tidak ubah seperti hutan tebal yang biasa kita lihat. Namun, perasaan seperti berada di satu dunia lain sebaik memasuki zon TSBG yang terpisah dengan taman tema air Bukit Gambang.
Pengunjung, Muhammad Azraei Yahya, 25, berkata, TSBG menyediakan hab keriangan sehenti bagi mereka yang menggemari sukan air sambil menikmati keindahan flora dan fauna.
"Saya memang teruja semasa kali pertama berkunjung ke TSBG kerana sebelum ini, saya tidak pernah melihat kanggaru, hyena dan singa putih di depan mata. Jika ada pun, hanya di kaca televisyen sewaktu menonton dokumentari National Geographic.
Menyeronokkan
"Sudah tentu pengalaman tersebut sungguh berharga kerana saya turut berpeluang memberi zirafah makan," ujarnya yang sudah dua kali berkunjung ke taman safari tersebut.
Tambah Azraei yang mesra disapa Ayai itu, taman safari berkenaan lebih menyeronokkan kerana ada menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung pada waktu siang dan malam berbanding zoo lain di negara ini.
Bagaimanapun, Ayai berpendapat masih terdapat kekurangan pada infrastruktur dan facade bangunan yang boleh diperbaiki pada masa akan datang. Difahamkan, kekurangan tersebut disebabkan TSBG belum siap sepenuhnya tetapi sudah mendapat permintaan orang awam untuk berkunjung ke sana.
TSBG memiliki lebih 1,000 ekor haiwan yang terdiri daripada 270 spesies buat masa ini. Difahamkan, dalam masa terdekat jumlah tersebut akan meningkat kepada 3,200 ekor haiwan daripada 486 spesies.
Duta Taman, Nurul Nadwani Adawiyah Ghazali, 24, berkata, tugasnya adalah sebagai penyalur maklumat kepada pengunjung tentang semua perkara yang berkaitan dengan taman safari.
"Tugas utama saya adalah memberikan maklumat berkenaan setiap haiwan yang ada di sini. Kebanyakan pengunjung teruja apabila masuk ke zon savana binatang liar kerana bukan senang untuk melihat haiwan tersebut secara dekat.
"Selain itu, pengunjung turut gembira apabila berpeluang masuk ke dalam kandang haiwan walaupun hanya melihat dari dalam tram. Mereka ditegah untuk membuka tingkap tram bagi tujuan keselamatan," ujar gadis yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu.
Nurul Nadwani Adawiyah bijak menangani situasi apabila berdepan dengan pengunjung yang tidak mematuhi peraturan. Beliau akan cuba menasihatkan pengunjung dalam nada gurauan agar pengunjung tidak berkecil hati.
Pelatih burung
Dalam pada itu, penjaga dan pelatih burung, Mohd. Izuan Ramli, 25, memberitahu, minatnya terhadap burung membawanya berkelana ke bumi Kuantan biarpun terpaksa meninggalkan kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan.
"Dahulu, saya bekerja di Taman Negara Pahang Sungai Relau dan bertugas menjaga ikan kelah di sana. Majikan dahulu yang mencadangkan saya berpindah ke TSBG selepas dia mendapat tahu taman burung akan dibuka di sini.
"Di sini, saya perlu memberi makan dan melatih burung bagi tujuan persembahan. Pengunjung turut dibenarkan memberi makanan yang disediakan iaitu kuaci kepada burung-burung," katanya.
Jangan terkejut, burung juga makhluk yang boleh haus jika makan kuaci terlalu banyak. Selain diberi minum air, burung-burung akan diberikan buah pada sebelah petang sebagai penghilang rasa haus tersebut.
Lemah lembut
Seperti haiwan lain, penjagaan burung perlu dilakukan dengan lemah lembut kerana mereka tidak mudah mempercayai manusia. Tingkah laku burung ketika berkomunikasi dengan manusia bergantung kepada pengalaman masa lalu burung tersebut dengan orang ramai.
Burung yang tidak diberikan makanan, dijinakkan atau pernah dianiayai dikatakan sukar mempercayai orang.
Buat masa ini, terdapat kira-kira 100 spesies burung dari seluruh dunia ditempatkan di taman burung TSBG. Taman safari tersebut merupakan yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 55.84 hektar.
Tidak cukup dengan itu, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman makan tengah hari yang paling istimewa di ruang makan mewah sambil ditemani Raja Rimba.
Raja Rimba tersebut bukan calang-calang singa yang biasa kita lihat kerana ia merupakan seekor singa putih yang ditempatkan di taman mini di bahagian luar dinding kaca dewan gourmet Plaza Bukit Simba.
Pada sebelah petangnya pula, pengunjung berpeluang menyaksikan pertunjukan haiwan dan drama pergelutan alam rimba antara haiwan terlatih dengan si penjahat di Arena Desa.
Tidak sah kunjungan anda ke TSBG jika tidak menonton aksi 'orang api' dalam persembahan mendebarkan sambil menari tarian api dan makan api oleh pelagak aksi ngeri profesional di Laman Desa pada sebelah malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: