• Ibu merajuk keluar dari rumah anakIda melihat gambar kenangan keluarganya yang sempat dibawa bersama.

REMBAU – “Buat masa ini biarlah saya tinggal dan menumpang kasih di rumah rakan daripada sengsara tinggal di rumah anak sendiri,” luah seorang warga emas yang hanya ingin dikenali sebagai Ida, 60-an, ketika ditemui di rumah kenalannya di Kampung Rendah, dekat sini, semalam.

Ida berkata, dia nekad keluar dari rumah anaknya Isnin lalu  kerana tidak mahu  'makan hati' dengan sikap dan tingkah laku biadap anaknya yang kadang kala melukakan hati.

Menurutnya, dia menetap dengan anak perempuan sulungnya itu sejak sembilan bulan lalu selepas kematian anak lelaki bongsu yang terbabit dalam kemalangan Lebuhraya Utara-Selatan pada Mac tahun lalu.

“Suami saya juga sudah meninggal kira-kira lapan tahun lalu kerana penyakit asma. Saya hanya ada sepasang anak, jadi bila anak bongsu saya meninggal dunia, saya memang mengharap agar anak sulung akan membantu saya.

“Bagaimanapun, sejak dari dahulu lagi, anak sulung saya sering meluahkan rasa tidak puas hati kerana beranggapan  saya lebih menyayangi adiknya sahaja," katanya.

Tambah Ida, anak sulungnya membawa dia tinggal bersama dan dia diminta menjaga cucu yang masih kecil.

Malah, sepanjang tempoh sembilan bulan tinggal bersama, Ida sering disindir.

"Dia tidak pernah menghalau saya secara terang-terangan, namun kerap menyindir tidak kira waktu baik ketika saya menyediakan makanan mahupun bergurau dengan cucu.

“Anak saya tidak pernah mengajak saya keluar makan sedangkan dia bersama   anaknya sering makan di luar," katanya.

Tambahnya, Ida juga turut dimarahi kerana anaknya tidak menyukai cara Ida lalu dia  menghalaunya keluar rumah.

“Daripada terus rasa terluka, saya segera menghubungi teksi untuk pergi dari situ. Saya keluar sehelai sepinggang dan hanya membawa dokumen penting serta gambar kenangan kami sekeluarga," katanya.

Ida yang juga penerima bantuan bulanan orang tua dari Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) menetap di rumah rakannya buat sementara  dan akan mencari tempat tinggal lain.