|
JAKARTA - Gunung Sinabung terus memuntahkan gas panas, lahar dan batu ke udara semalam menyebabkan beribu-ribu penduduk terpaksa dipindahkan, kata seorang pegawai.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata, aktiviti terbaharu gunung berapi berkenaan yang bermula pada September lalu menyebabkan lebih 22,000 penduduk terpaksa dipindahkan.
"Gunung itu dijangka terus meletus," kata seorang jurucakap agensi berkenaan, Sutopo Nugroho.
Tambahnya, gunung berapi berkenaan telah memuntahkan gas dan batu-batuan panas lebih daripada 20 kali sejak kelmarin.
Seorang anggota sukarelawan, Riska Siregar berkata, kebanyakan penduduk yang terpaksa berlindung di bangunan kerajaan dan khemah di wilayah Karo, utara Sumatera berada dalam keadaan serba kekurangan.
Katanya, seramai tujuh penduduk meninggal dunia ekoran pelbagai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan masalah pernafasan.
"Sebilangan besar lagi penduduk memerlukan rawatan kesihatan.
"Ramai di antara mereka tertekan kerana terpaksa berpindah dari kediaman mereka selama berminggu-minggu dan kesusahan yang mereka alami juga kurang diberi perhatian,'' katanya.
Bagaimanapun, bekalan makanan untuk penduduk tersebut masih mencukupi untuk beberapa minggu yang akan datang.
Gunung Sinabung setinggi 2,460 meter tidak aktif sejak 400 tahun lalu sebelum ia meletus pada Ogos 2010.
Terdapat 130 gunung berapi yang aktif di kepulauan Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: