|
LULUH hati seorang ibu melihat tubuh kecil anak perempuan kesayangannya terkujur di atas katil menahan kesakitan.
Bagaikan tidak sanggup untuk melihat keperitan yang dialami anak kecilnya berusia empat tahun itu menderita apabila keadaan kulit permata hatinya itu hampir 40 peratus terbakar.
Lebih menyedihkan apabila keadaan kanak-kanak yang terbakar akibat terkena api ketika sedang bermain di halaman rumah itu semakin hari semakin parah.
Rawatan demi rawatan yang dilakukan sekumpulan pegawai perubatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor itu bagaikan tidak menampakkan kesan positif.
Biarpun sudah beberapa kali menjalani kaedah rawatan penampalan kulit sihat yang diambil dari bahagian anggota badan, namun, ia masih tidak berjaya.
Kaedah yang dikenali sebagai Split Skin Grafting (SSG) itu menjadi semakin rumit untuk dijalankan apabila kawasan bahagian kulit sihat telah banyak digunakan.
Mengikut kaedah SSG, kulit sihat yang dihiris mestilah menyamai saiz bahagian luka. Bagaimanapun, kulit yang luka akibat SSG tidak boleh diambil buat kali kedua walaupun ia selalunya akan sihat secara semula jadi.
Keadaan menjadi semakin kritikal apabila tiada lagi kawasan kulit sihat yang boleh dilakukan proses SSG.
Apa yang tinggal hanyalah kulit di bahagian kecil antara luka dan juga kulit kepalanya sahaja.
|
"Pada waktu itu, ibu bapa kanak-kanak ini sudah pasrah dengan keadaan anaknya itu.
"Kebakaran 40 peratus pada kanak-kanak sudah dianggap kritikal dan boleh membawa maut jika melebihi paras itu," cerita Pakar Kejuruteraan Tisu, Profesor Dr. Ruszymah Idrus.
Bermula daripada situlah, pasukan doktor di hospital berkenaan meminta bantuan Ruszymah yang berada di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk menggunakan hasil kajiannya mengenai pembinaan kulit manusia di dalam makmal.
"Kami kemudian dapatkan kebenaran daripada ibu bapanya untuk dirawat menggunakan penemuan baharu kajian saya. Selepas dipersetujui, baru kita laksanakan," katanya yang memberitahu ia masih lagi diperingkat percubaan klinikal.
Ujar beliau, hanya tisu kulit yang sihat seluas tiga sentimeter persegi diambil daripada di beberapa bahagian badan kanak-kanak tersebut sebelum dibiakkan di dalam medium khas untuk proses pembiakan sel tersebut.
Dalam tempoh tiga hingga empat minggu, sel kulit tersebut tumbuh berkembang kira-kira 100 sentimeter persegi menjadi satu organ gantian baharu.
Proses penampalan kulit kemudian dilakukan ke atas pesakit. Selepas beberapa minggu, keadaan bahagian kulit terbakar kanak-kanak tersebut semakin pulih.
Lebih menakjubkan apabila dapat melihat kanak-kanak tersebut mampu berjalan semula seperti sediakala.
"Apa yang mengejutkan, kanak-kanak itu datang semula ke sini (PPUKM) untuk menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang kelima bersama kami," katanya yang mengimbau semula momen indah ke atas kanak-kanak tersebut yang berjaya menjalani rawatan percubaan klinikal kira-kira enam tahun lalu.
Bermula daripada detik itulah, Ruszymah mengambil langkah untuk mempatenkan kaedah perubatan yang ditemuinya.
"Kajian dalam bidang perubatan ini mengambil masa yang agak lama. Malah, sehingga kini, penemuan tersebut masih lagi di peringkat percubaan klinikal.
"Banyak perkara yang perlu dilalui dan diuji sebelum boleh dikomersialkan untuk diguna pakai secara umum kepada pesakit," katanya yang juga merupakan Ketua Pusat Kejuruteraan Tisu, PPUKM.
MyDerm
Biarpun begitu, produk perubatan yang dipatenkan menggunakan nama MyDerm itu, mampu membawa dimensi baharu dalam dunia perubatan tanah air.
Mana tidaknya, kaedah MyDerm memerlukan sebahagian kecil kulit sahaja untuk proses pertumbuhan kulit di dalam makmal bagi merawat pesakit yang mengalami luka akibat kencing manis ataupun melecur akibat api.
"Malah, ada pesakit diabetes yang tidak sanggup melakukan SSG, kerana mereka memberitahu, bahagian kulit sihat yang diambil lebih sakit rasanya berbanding kawasan luka asal yang ingin ditampal semula," ujarnya yang juga Pensyarah Perubatan di Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan UKM.
Sungguhpun negara luar seperti di Britain dan Amerika Syarikat telah ada produk mereka sendiri yang membangunkan tisu di makmal untuk merawat pesakit, namun, kaedah MyDerm ini memiliki keistimewaannya tersendiri.
Katanya, MyDerm menggunakan kaedah autologus, iaitu sejenis bahan sebatian diambil sepenuhnya daripada pesakit untuk digunakan kepada pesakit itu sendiri.
"Ia tidak menggunakan sumber luar. Darah pesakit sendiri digunakan untuk membiakkan tisu tersebut.
"Jika produk di luar negara, kebanyakan mereka menggunakan bahan kolagen yang diambil daripada haiwan seperti lembu atau babi," katanya yang memberikan fokus kepada penghasilan produk perubatan halal di negara ini.
Selain itu, katanya, kaedah MyDerm itu juga terbukti memberikan kemasan bekas rawatan yang lebih baik berbanding kaedah SSG.
"Kulit gantian ini akan bersambung baik dengan kulit sedia ada tanpa meninggalkan kesan parut yang ketara seperti SSG.
"Biasanya permukaan kulit akan ada kedut-kedut sikit dan tidak rata, tapi dengan MyDerm, ia akan nampak cantik pertumbuhan kulit itu," katanya yang telah menjalankan penyelidikan selama 13 tahun.
Malah, menurut Ruszymah, perkara tersebut sendiri terbukti menerusi ujian makmal yang dilakukan apabila tisu yang dibina mengandungi bahan yang meninggalkan kesan parut lebih rendah berbanding kulit sedia ada.
Uniknya, jangka hayat kulit gantian ini ialah selama 72 jam sebelum ia perlu dipindahkan kepada pesakit bagi memastikan ia mampu berfungsi sepenuhnya.
"Kalau kulit yang diambil menerusi SSG, kita perlukan pemindahan kulit secara serta-merta, namun, menerusi MyDerm, kita ada tempoh masa kira-kira tiga hari.
"Jika lebih daripada tempoh itu, ia tidak boleh digunakan lagi," katanya yang memberitahu, hasil-hasil kajian berkaitan teknologi tisu ini banyak diterbitkan dalam jurnal perubatan antarabangsa.
Pencapaian hasil kajian yang dilakukan saintis tempatan ini, bakal memberi manfaat kepada dunia perubatan negara dalam pada masa hadapan.
Pasaran perubatan
"Statistik tahun lepas menunjukkan ada 15,000 pesakit yang sedang menunggu organ derma.
"Dengan adanya teknologi seperti ini, mungkin ia dapat mempercepat proses rawatan kerana tidak perlu lagi menunggu penderma organ pada masa akan datang," katanya yang memberitahu kebanyakan organ derma yang diguna pakai merupakan penderma dari India dan AS.
Justeru, melihat kepada permasalahan ini, pesakit yang mempunyai masalah organ selain kulit juga berpotensi untuk dirawat dengan menggunakan pembiakan sel stem di dalam makmal untuk dijadikan sebagai organ gantian.
"Sekarang ini, kita juga sedang menjalankan penyelidikan ke atas penghasilan tisu kornea, rawan dan juga tulang.
"Malah, dengan teknologi ini saluran darah baharu untuk pesakit jantung juga boleh dihasilkan menerusi sel pesakit itu sendiri," katanya yang mengharapkan produk kaedah MyDerm mampu dipasarkan pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: