Muhd. Arif kini semakin dikenali dalam kelompok penggiat sukan permotoran negara sejak bergiat aktif dalam sukan itu pada umurnya 13 tahun.
MEMINATI dunia lumba kereta sejak kecil, Muhd. Arif Abdullah, 19, nekad memandu kereta milik ayah tirinya, Syed Farid Al-Attas, 35, secara sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan keluarga ketika umurnya 13 tahun.
Menurut remaja tinggi lampai itu, oleh kerana tiada siapa curiga tentang umurnya, dia terus mendaftarkan diri untuk menyertai perlumbaan permotoran yang dianjurkan oleh sebuah organisasi tempatan di parkir kereta berhampiran Litar Antarabangsa Sepang.
Bagaimanapun, Muhd. Arif atau lebih mesra dengan panggilan Arie menarik diri pada saat-saat akhir kerana terlalu gementar melihat kelajuan kereta-kereta yang bertanding dan bimbang dengan keselamatan diri. Lalu, dia pulang ke rumah tetapi menyimpan satu azam.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini nekad menyertai perlumbaan kereta terus berlatih membawa kereta lama jenis Mitsubishi Evolution 8 dan Satri GTI milik bapa saudaranya, Zain Azran Berhan.
Lima tahun selepas peristiwa tersebut, Arie sebenarnya telah menyertai lebih 30 perlumbaan kereta. Lebih membanggakan, dia berjaya membawa pulang pelbagai pingat dan piala yang diraih dalam kejohanan peringkat kebangsaan.
Antara perlumbaan berprestij yang pernah disertainya ialah TimeAttack, Grass Racing Autosport, Super Siri Malaysia (MSS) dan Perlumbaan Lasak Merdeka Malaysia (MMER).
Seiring dengan penglibatannya dalam dalam sukan permotoran, Arie mula dikenali dalam kelompok penggiat sukan permotoran negara.
Tajamkan kemahiran
"Kini saya mempunyai ramai kenalan selepas tersenarai sebagai antara pelumba yang sampai ke garisan penamat dengan masa terbaik dan mendapat nombor tiga teratas dalam perlumbaan TimeAttack lima tahun lalu.
"Ketika itu saya berumur 15 tahun dan bertanding memandu kereta Satria GTI," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Pelajar tahun pertama jurusan asas seni di Universiti HELP itu bercita-cita untuk menyambung pengajian di Universiti Wales, United Kingdom sambil menajamkan kemahiran memandu kereta lumba di sana.
Menurutnya, dia ingin menjadi seorang pelumba yang berpendidikan dan berkarisma seperti pemandu terkenal pasukan Mercedes AMG, Lewis Hamilton.
Bapa saudaranya, Zain Azran, 41, banyak memberi tunjuk ajar dalam melakukan aksi drift secara profesional.
"Bapa saudara telah membawa saya ke litar lumba dan membuat latihan secara profesional dengan rakaman masa terbaik," jelasnya.
Dorongan tanpa berbelah bahagi daripada bapa saudara dan ibu bapanya yang menghadiahkan Arie sebuah kereta trek jenis Mitsubishi Lancer Evolution. Mitsubishi yang dibeli dari Jepun itu dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan seperti abah-abah pemandu, rollcage di bahagian belakang, alat pemadam kebakaran dan butang khas kemalangan.
Melihat keterujaannya bercerita tentang kereta, dia mengakui sukan tersebut memerlukan pelaburan yang besar. Ditaja sepenuhnya oleh bapa saudara, Datuk Adlan Berhan, kira-kira RM30,000 dibelanjakan untuk menyertai perlumbaan yang merangkumi bayaran penyertaan, pasukan penyelenggaraan di bengkel dan membaikpulih kereta.
Menceritakan pengalamannya berlumba, Arie pernah menyertai perlumbaan pusingan tanpa had yang berlangsung selama 12 jam tanpa henti anjuran MMER 2013 namun tewas pada pusingan ke-98.
"Rakan lumba saya pada itu ialah seorang pemandu profesional sukan permotoran Proton R3, Syafiq Ali, 26.
"Perlumbaan yang bermula pada pukul 12 malam itu kami terpaksa berhenti pada pukul 5 pagi pada pusingan ke-98 ekoran mengalami masalah enjin kereta," katanya.
Ingin menebus kekalahan dalam perlumbaan tersebut, Arie bercadang untuk menyertai perlumbaan MMER tahun ini dan lima pusingan penuh dalam MSS yang akan dianjurkan pada Mac 2014.
Kejayaan yang dilakar oleh abangnya, Alex Yoong, 37, sebagai rakyat Malaysia pertama yang beraksi dalam perlumbaan kereta Formula 1 dan kakaknya, Phillipa Yoong, 36, yang membantu pasukan Malaysia memenangi pingat empat emas dalam sukan ski air di Sukan SEA 2011, memberi inspirasi kepada Aaliyah Yoong Hanifah, 11.
Aaliyah yang dinobatkan sebagai juara peluncur ski paling muda slalom bawah 10 tahun pada Kejohanan Malaysia 2009 di Putrajaya menjadi pencetus kepada Aaliyah untuk terus mencipta kejayaan.
Kongsi cabaran
Hasil didikan bapanya, Hanifah Yoong, 66, Aaliyah memahat rekod terbaharunya di Itali dan Austria.
Rekod tersebut telah melonjakkan kedudukannya di tempat ke-16 dalam carta kedudukan kejohanan dunia untuk kategori wanita bawah 17 tahun (U17) Asia.
"Saya berjaya mengutip 5,020 mata sebanyak dua kali di Kejohanan Antarabangsa San Gervasio Itali dan Piala Antarabangsa WWUT Fischlham Austria.
"Bagaimanapun, selepas itu saya terus memecahkan rekod apabila mendapat pingat emas di Kejohanan Asia Terbuka Wanita 2013 dengan 5,690 mata pada bulan berikutnya," katanya dalam satu temu bual menerusi e-mel.
Selain berkongsi kecemerlangan, Aaliyah turut berkongsi cabaran yang terpaksa dilaluinya.
"Saya perlu menjaga kesihatan diri, terutamanya kaki kerana sebarang kecederaan yang dialami pasti memerlukan masa begitu lama untuk sembuh," jelasnya.
Dalam pada itu, semasa menyertai kejohanan antarabangsa di luar negara, Aaliyah perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran, cuaca yang tidak menentu, suhu air sejuk dan penggunaan bot-bot yang berbeza," katanya.
Mengakui tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian yang diraih, setakat ini, dia telah menyertai lebih 20 kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa di samping menjelajah kira-kira 10 buah negara termasuk Perancis, Rusia, Itali, Austria, China, Korea, Oman, Singapura, Australia dan Indonesia.
|
Pemain terbaik
Aaliyah turut menyertai Kejohanan Ski Air Dunia IWWF di Santiago, Chile, bermula 24 hingga 30 November lalu.
Dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala Menteri Pendidikan 2013 di Sekolah Sukan Pahang (SSP) pada bulan Oktober lalu membakar semangat Muhammad Hadi Fayyadh Abd. Razak, 14, melakar kecemerlangan dalam sukan bola sepak. Meminati sukan tersebut sejak umur lima tahun, anak kelahiran Tanjung Malim, Perak itu berjaya mewakili negara dalam kejohanan bola sepak di Saitama, Jepun pada umur 12 tahun sebagai posisi penyerang.
Menurut Muhammad Hadi Fayyadh, kedua-dua ibu bapanya, Abd. Razak Abd. Wahab, 52 dan Khairul Ashikin Mohd. Noor, 48, memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi.
Berlatih setiap hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat, latihan yang dijala ninya meliputi aspek kecergasan, teknikal dan taktikal.
Minat yang mendalam dalam sukan bola sepak bukan alasan kepada Muhammad Hadi Fayyadh mengabaikan pelajaran. "Dengan menghadiri kelas tambahan dari pukul 8 malam hingga 10 malam dari hari Isnin hingga Rabu, ia membantu menyeimbangkan pencapaian akademik saya," kata anak bongsu daripada enam beradik ini dalam satu temu bual melalui e-mel.
Selain menekankan aspek latihan, Muhammad Hadi Fayyadh turut mengamalkan diet seimbang. Menyimpan cita-cita mahu mengikut jejak pemain bola sepak terkenal seperti bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, dia sering berpegang kepada kata-kata pengetua sekolahnya, Idrus Othman.
"Jika tidak dapat menjadi bintang di langit, jadilah mutiara di bumi sangat berbekas di hati saya," ujar remaja yang berjaya melayakkan diri mewakili Malaysia untuk kejohanan Piala AFC bawah 14 tahun 2013 yang berlangsung di Myammar pada Jun tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Md. Amin Md. Taff ketika diminta mengulas isu penajaan bakat-bakat muda, beliau tidak menafikan atlet-atlet Malaysia sering terbelenggu dengan masalah tersebut.
Tajaan atlet
"Syarikat-syarikat gergasi tempatan kurang memberikan penajaan kepada individu yang baru berjinak-jinak dalam dunia sukan seperti bakat-bakat muda ini kerana mereka dianggap tidak memberikan pulangan kepada mereka," katanya ketika dihubungi.
Sehubungan itu, Md. Amin berkata, bakat-bakat kecil ini harus berusaha mencuri tumpuan organisasi (apa) untuk terus berada dalam bidang sukan diceburi.
Pelumba motosikal Malaysia, Muhd. Zulfahmi Khairuddin, 23, misalnya tidak ditaja pada peringkat awal dan hanya mendapat tajaan selepas menduduki tempat ke-20 dalam Grand Prix Malaysia pada tahun 2009.
Md. Amin berpendapat, dalam membentuk karier sukan, bakat-bakat muda sukan ini juga perlu mengutamakan akademik.
"Kerajaan menyediakan saluran khas kepada mereka untuk meneruskan pembelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi. Bagaimanapun, mereka harus memenuhi syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan.
"Jika tidak berpeluang, mereka disalurkan ke Kolej Komuniti dan menyambung pelajaran ke politeknik secara berperingkat-peringkat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: