BARU-BARU ini, pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali sebagai Aznil dikritik hebat kerana penglibatannya sebagai juri dalam sebuah program realiti dakwah, Mimbar Pencetus Ummah (MPU).
Pada malam tersebut, Aznil dikatakan mengkritik salah seorang peserta final MPU iaitu PU Shahul.
Aznil pada penjuriannya mencadangkan agar tazkirah yang disampaikan PU Shahul diselang-seli dengan nada yang berbeza bagi memberi variasi di dalam ucapan, bukan menjerit dengan cara yang garang dan marah, walaupun ceritanya menarik iaitu tentang Rasulullah.
Tambahnya memberi pendapat, sepatutnya diberikan satu sisi yang lembut juga, bukan keras sepanjang masa.
Seandainya orang yang baru ingin mendekatkan diri dengan Islam, mungkin mereka akan rasa takut dengan pendekatan tersebut.
Ekoran itu, kebanyakan pengikut PU Shahul membidas komen yang dilontarkan kerana merasakan Aznil tidak layak untuk berkata sedemikian kepada peserta yang telah 15 tahun terlibat dalam pendakwahan.
Bagaimanapun, Aznil tidak cepat melatah dan mempunyai jawapan tersendiri dengan mengatakan, dia hanya memberi pendapat berdasarkan pengalaman diri yang telah 24 tahun berada dalam industri.
Jelas Aznil, tugasnya sebagai juri adalah untuk memberi penjelasan tentang cara penyampaian peserta kepada khalayak umum yang pelbagai. Namun, tidak sama sekali dia menyentuh isi tazkirah yang disampaikan.
Ikuti temu ramah Kosmo! bersama Aznil yang ditemui ketika majlis pelancaran program Lagi Riuh Macam-macam Aznil di Finas, Kuala Lumpur.
Kosmo!: Bolehkah Aznil komen tentang kritikan yang dilemparkan kepada anda. Apakah pendapat anda?
AZNIL: Saya hanya memberi komen tentang pengucapan awam. Sebagai seorang yang telah mempunyai pengalaman dalam bidang ini selama 24 tahun, saya ingin curahkan ilmu yang ada dalam diri. Bukan niat saya untuk menjadi riak dengan ilmu yang ada dan tidak mahu menerima teguran. Saya rasa sebagai orang yang berpengalaman, saya tahu mana teguran dan tohmahan. Namun, saya anggap ini semua satu cabaran buat diri saya sahaja.
Jadi, apakah tugas anda dalam program MPU sebenarnya?
Saya ditugaskan bukan sebagai pengkritik, sebaliknya sebagai salah seorang juri. Tolong jangan samakan Pencetus Ummah, AF serta Maharaja Lawak. Di MPU, tugas juri adalah sebagai pembina ilmu pendakwah baharu.
Sebagai pembina ilmu, saya memegang disiplin pengucapan awam. Pada saya, yang terasa ialah pengikut serta peminat PU Shahul. Ini kerana mereka rasa saya mengkritik walhal ia tidak sama sekali. Sebagai seorang pendakwah, dia harus menakluki dunia. Justeru, dia harus hilangkan persepsi beberapa negara luar yang menganggap Islam itu agama pengganas. Saya cuma mencadangkan sahaja dan bukan mengkritik. Saya beritahu, mungkin pada masa yang akan datang boleh gunakan cara yang berbeza, wallahualam.
Adakah sebelum menjadi juri, anda sudah bersedia dengan komen-komen orang yang akan mengkritik anda?
Saya memang sudah tahu dan saya juga sedar tanggungjawab saya. Saya inginkan kemajuan dalam penyebaran syiar Islam. Saya mahu lihat pendekatan yang baharu seperti yang sedia ada.
Islam itu relevan pada setiap masa, umat manusia serta ilmu. Jadi mengapa kita tidak relevankan pendekatan kita dengan cara yang pelbagai. Kita tidak boleh hanya berucap pada satu skala sahaja, malah kita perlu punya variasi dan fleksibel kerana setiap orang berbeza. Bagi saya, jika saya ingin menjadi seorang Islam yang baik, saya perlu sebarkan ilmu yang saya ada dalam diri. Adalah tidak manfaat jika Tuhan berikan ilmu dan saya tidak kongsikan pada orang lain. Pada mula saya dijemput, saya kata Insya-Allah dan dengan izin Tuhan juga saya berada di sana. Mengapa perlu pertikaikan kerja baik? Bagi saya tiada yang negatif pada awalnya. Program itu juga merupakan gedung ilmu dan saya ingin turunkan ilmu saya. Apa yang pasti, tidak sama sekali saya menyentuh pengisian yang disampaikan oleh PU.
Mungkin pengikut PU Shahul tidak berpuas hati kerana merasakan dia sudah punya pengalaman selama 15 tahun dan diberi pula komen sedemikian?
Saya tahu latar belakang PU Shahul. Dia juga masuk program untuk menjadi yang lebih baik dan begitu juga niat saya. Mungkin dahulu khalayaknya berbeza tapi kini dia sudah dipancarkan dalam televisyen. Maka, khalayak dan sasaran dakwahnya sudah berubah. Jika begitu, dia perlu terima pembelajaran ini kerana saya sudah punya pengalaman itu. Saya tahu bagaimana untuk memperbesarkan PU Shahul kerana dia punya potensi dan ilmu yang tinggi. Jika caranya digabungkan dengan cara kontemporari, mungkin pengikutnya lebih ramai dan ini dikatakan dakwah.
Adakah PU Shahul berjumpa anda tentang perkara ini?
Tidak perlu berjumpa pun. Saya yakin saya lakukan tugas saya ini bukannya untuk riak namun untuk menambah baik.
Adakah selepas ini akan berasa serik untuk turut serta dalam program berdakwah atau seumpama ini?
Saya pandang cabaran dan dugaan yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW lebih besar daripada apa yang saya terima ini. Jika hanya dengan kata-kata begini saya mengaku kalah, maka rugi saya berada di dalam auditorium tersebut dan sepanjang hidup saya untuk mendengar cerita Rasulullah. Jika saya mengaku kalah, makanya saya bukanlah seorang muslimin yang baik kerana tidak menjalankan tanggungjawab saya untuk menyebarkan lagi dakwah dan syiar Islam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: