![]()
RABECCA mengaku masih banyak menerima tawaran berlakon walaupun didakwa tidak berdisplin.
|
KEMELUT yang melanda sutradara Erma Fatima dan pelakon Rabecca Nur Al Islam kian berlarutan biarpun mahkamah telah mengemukakan keputusan pada 8 November lalu.
Baik Rabecca, 27, mahupun Erma, 45, sindiran menerusi laman sosial Twitter dan Instagram semakin kencang dan berbalas serangan, biarpun kemenangan telah berpihak pada Rabecca.
Perbalahan mula tercetus apabila Erma enggan menjelaskan baki bayaran sebanyak RM11,200 kepada pelakon berkenaan setelah dimatikan wataknya dalam drama bersiri Dejavu di Kinabalu pada episod ke 17 daripada 28 tanpa pengetahuan.
Selepas perbicaraan kes, Erma telah memuat naik beberapa keping foto di Instagramnya dengan menyindir Rabecca. Keadaan bertambah tegang apabila adik Erma, Betty Rahmat masuk campur dalam perbalahan itu.
Sehubungan itu, Rabecca telah mengadakan sidang akhbar khas di Harrods, KLCC pada hari Khamis lalu untuk menjelaskan keadaan dan meminta agar menghentikan provokasi terhadapnya.
Ikuti temu bual Rabecca bersama Kosmo!.
Kosmo!: Semua sudah sedia maklum bahawa kemenangan sudah berpihak pada anda, tapi kenapa perlu adakan sidang akhbar lagi?
RABECCA: Sidang akhbar ini diadakan supaya tidak akan ada lagi perkara berbangkit selepas ini dan saya tidak akan melayan pertanyaan berhubung isu ini lagi. Saya anggap perkara ini telah selesai dan saya mendesak agar menghentikan fitnah serta tuduhan palsu terhadap saya. Jangan tabur pasir dalam periuk nasi saya. Saya harap segalanya berakhir di sini.
Apakah komen anda mengenai tindakan Betty Rahmat masuk campur dalam kemelut yang melanda anda dan kakaknya, Erma Fatima?
Dia mahu dikenali sebenarnya, sebab itu dia melebih-lebih di Instagram.
Adakah situasi kini menjejaskan tawaran lakonan anda?
Tawaran ada, cuma saya yang terpaksa menolak kerana mahu memberikan tumpuan terhadap anak-anak saya. Lagipun, kedua-dua anak saya, Nor Anggun Riverra dan Nor Anggerik Renesmee masih kecil dan memerlukan penjagaan daripada saya sendiri.

ANTARA luahan perasaan Erma Fatima di laman Instagram tentang kes mahkamahnya dengan Rabecca yang telah dipadam oleh pengarah tersebut.
Sebelum membawa kes ini ke mahkamah, apakah tindakan awal anda?
Saya pernah menghantar SMS, BBM dan cuba menghubungi menerusi panggilan telefon tapi dia larikan diri. Saya tidak akan membawa kes ini ke mahkamah sekiranya boleh dibawa berbincang. Pernah juga saya mengadu kepada Persatuan Seniman tapi tiada tindakan daripada pihak berkenaan.
Adakah benar dakwaan Erma bahawa anda mempunyai masalah disiplin sebelum ini dan atas faktor itu anda digugurkan daripada produksi Dejavu di Kinabalu?
Selama 10 tahun dalam dunia seni saya tidak pernah mempunyai masalah disiplin, saya undur diri pun kerana mahu memberikan fokus kepada keluarga. Dakwaan itu tidak berasas dan dia gagal membuktikan tuduhan itu. Saya tidak pernah lambat datang ke set penggambaran dan mungkin pada ketika itu saya kurang bercampur dengan krew dan pelakon lain kerana sedang mengandung.
Apakah impak terbesar kepada kehidupan anda apabila berlakunya perkara ini sampai mengheret ke mahkamah?
Sebenarnya tidak perlu sampai bergaduh kerana tiada sesiapa pun yang gemar bergaduh. Saya harap pihak sana profesional dan matang, jangan aibkan sesiapa lagi di laman sosial atau internet.
Bagaimanakah proses pembayaran wang kemenangan kes anda selepas perbicaraan?
Saya masih belum mendapat bayaran tersebut daripada pihak berkenaan dan masih menunggu untuk menuntut hak saya.
Sekiranya berlarutan, apakah tindakan anda selepas ini?
Saya tidak akan teragak-agak untuk berbincang dengan pihak peguam saya yang diwakili oleh Azam, Idzham, Azman & Partners sekiranya perkara ini masih berlarutan selepas ini. Cukuplah setakat ini, sekiranya pihak berkenaan mahu mengambil tindakan atau membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi kerana tidak berpuas hati terhadap kemenangan kes ini, saya terima seadanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: