|
KELETIHAN menempuh perjalanan jauh dan kesesakan jalan raya bagaikan hilang apabila selamat sampai ke kampung halaman.
Wajah ibu, bapa, datuk atau nenek menyambut kepulangan anak-anak dan cucu-cucu kesayangan mencambahkan suasana ceria menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Apabila berkumpul beramai-ramai untuk berkongsi cerita, pelbagai ragam dapat disaksikan. Apatah lagi, masing-masing sibuk membuat persiapan terakhir sebelum menyambut ketibaan 1 Syawal.
Begitu juga dengan Mimi Azura Ali, 37, sekeluarga yang menetap di Klang, Selangor pulang beraya ke kampung suaminya yang terletak di Johor Bahru, Johor.
Perasaan gembira pulang beraya ke kampung suami, Azhan Edil, 37, semakin terserlah dengan kehadiran enam adik-beradik suami dan anak-anak mereka. Paling menarik, sambutan hari raya tersebut semakin ceria apabila setiap keluarga memakai warna sedondon.
"Pada tahun lalu, kami sekeluarga memakai pakaian serba biru manakala adik-beradik suami juga berpakaian sedondon tetapi warna berbeza. Apabila berkumpul beramai-ramai setiap keluarga mudah dikenali berdasarkan warna baju yang dipakai.
"Suasana terasa cukup meriah, bahagia dan setiap keluarga kelihatan serasi," kata Mimi yang memberitahu minat pakaian sedondon itu dipraktikkan oleh ibunya sejak dia kecil.
Selepas berkenalan dengan suami, pakaian sedondon itu turut menjadi pilihan setiap kali datangnya hari raya. Pemilihan warna tema setiap tahun ditentukan sendiri oleh Mimi.
"Suami hanya mengikut tema yang ditetapkan dan setakat ini pelbagai warna telah kami gayakan tetapi warga kegemaran kami sekeluarga ialah biru.
"Keluarga sebelah suami sebelum ini tidak mempraktikkan baju sedondon tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia seakan-akan satu kemestian," katanya yang bekerja di sebuah butik pakaian di Shah Alam, Selangor.
Mimi juga sanggup membelanjakan ratusan ringgit untuk sepasang baju kurung moden. Dianggarkan kos yang dibelanjakan untuk membeli pakaian warna sedondon untuk keluarga termasuk dua anak lelaki dan seorang perempuannya mencecah RM1,500.
Rasa teruja
"Baju kurung moden paling mahal pernah saya beli berharga RM899, baju Melayu suami RM250 manakala anak-anak dalam lingkungan RM300. Namun, ia terasa cukup berbaloi dan seronok kerana kami nampak serasi, mudah dikenali bahkan menerima pujian. Jika tidak memakai pakaian sedondon pada hari raya terasa janggal pula," katanya yang memilih warna ungu lembut untuk Aidilfitri tahun ini.
Sementara itu, Penerbit dan Juruhebah di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM FM), Mona Jasman, 37, mengakui teruja setiap kali memakai pakaian sedondon pada Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Mona, budaya memakai pakaian sedondon itu hanya dipraktikkannya selepas berkahwin sejak 15 tahun lalu.
"Sebelum ini, saya tinggal bersama keluarga di Mesir selama 25 tahun dan kami tidak pernah memakai pakaian sedondon pada hari raya. Selepas berkahwin dan berpindah ke Malaysia, suami, Yazid Daud, 37, mahu kami pakai pakaian sedondon.
"Pemilihan warna dari dulu sampai sekarang suami yang tentukan. Saya hanya mengikut pilihannya dan kadangkala kami berbincang tema pakaian tahun berikutnya ketika melihat pakaian sedondon orang lain," kata Mona warna kegemaran keluarganya ialah hijau.
Mona yang juga mengendalikan rancangan bahasa Arab di radio Ikim.FM berpendapat, pakaian warna sedondon menyerlahkan keserasian, menonjolkan imej keluarga dan mudah dikenali ketika berkunjung ke rumah saudara-mara atau rakan-rakan.
Bercerita tentang kenangan pakaian sedondon, ibu kepada lima anak itu berkata, pada tahun 2005, pakaian yang ditempah hanya siap pada malam raya kerana tukang jahit kedai tersebut berhenti kerja lalu pemiliknya terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan pakaian tersebut.
Menurutnya, dia lebih gemar menempah berbanding membeli pakaian siap.
"Walaupun tema kami hanya sama dari segi warna tetapi kami lebih suka menempahnya. Kami pernah sekali membeli pakaian siap, tetapi di Singapura kerana tertarik dengan rekaannya.
"Tahun ini, tema pakaian kami ialah warna merah hati dan ia ditempah ketika kami berkunjung ke Bandung, Indonesia beberapa bulan lalu dengan kos kira-kira RM2,000," katanya.
Pemilik Butik Saidatulnisa, Saidatulnisa Aminuddin, 50, mula menerima tempahan untuk baju raya sejak awal tahun.
Menurut beliau, untuk menempah pakaian sedondon, pihaknya menerima lebih 50 tempahan malah sesetengah pelanggan telah pun mengambil pakaian mereka. Purata tempahan pakaian sedondon yang diterimanya ialah lima helai bagi sesebuah keluarga.
Mengukuhkan hubungan
"Pakaian sedondon kini menjadi trend masyarakat di Malaysia. Pakaian sedondon bukan sahaja digayakan pada hari raya malah ketika menghadiri atau melangsungkan majlis perkahwinan.
"Pelanggan saya terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang. Kebanyakan yang menempah pakaian sedondon merupakan golongan muda berusia antara 20 hingga 40 tahun," katanya ketika ditemui di butiknya di Jalan Plumbum P 7/P, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Saidatulnisa menjelaskan, para pelanggan memilih pakaian sedondon untuk kelihatan sehati sejiwa, mengukuhkan hubungan dan nampak cantik bila bersama.
Selain menyediakan perkhidmatan tempahan pakaian dan menjahit manik, butik tersebut turut menjual pakaian sedia pakai. Pada tahun ini, Butik Saidatulnisa menyediakan sebanyak 1,000 helai baju Melayu sedia pakai selain pakaian baju kurung moden sekali gus memudahkan orang ramai memilih warna berdasarkan tema masing-masing.
Pada tahun ini, warna yang menjadi pilihan kebanyakan pelanggannya ialah ungu lembut, merah jambu pudar, hijau zamrud dan biru tiffany. Harga bagi sepasang baju di butik tersebut dijual antara RM249 hingga RM1,500. Mereka yang berminat boleh layari www.facebook.com/ ButikSaidatulnisa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: