Saturday, July 13, 2013

Lukisan bersifat keanak-anakan




SEHELAI demi sehelai buku bacaan kanak-kanak dibelek sehingga leka tanpa mengendahkan kehadiran orang ramai yang lalu-lalang.
Bahagian rak buku berkenaan menjadi ruang paling diminati setiap kali berkunjung ke kedai-kedai buku di sekitar ibu negara.
Ia kedengaran seperti gelagat biasa yang dilalui oleh setiap kanak-kanak namun cerita sebenar adalah berlainan. Hobi membaca buku kanak-kanak itu sebenarnya rutin seorang wanita yang sudah mempunyai anak dan berusia 44 tahun.
Pada asalnya, Nor Emila Mohd. Yusof meminati bahan bacaan kanak-kanak kerana ia dipenuhi dengan lukisan dan berwarna-warni. Terdetik di hatinya yang dia juga boleh menghasilkan lukisan-lukisan ceria sebegitu.
Namun, Nor Emila sedikit kecewa kerana buku kanak-kanak hasil pengkarya tempatan tidak banyak terdapat di pasaran. Rata-rata buku tersebut diimport dari luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), Singapura, Australia, Jepun dan United Kingdom.
Dia berazam untuk membantu menyumbang kepada pembangunan industri buku negara dengan menghasilkan buku dan ilustrasi kanak-kanak untuk diterbitkan di dalam dan luar negara.
"Saya mula menjalankan perniagaan berasaskan lukisan dan kraf tangan secara kecil-kecilan sejak tahun 2006 melalui medium laman sosial dan blog. Ketika itu saya masih bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat swasta di ibu negara.
"Kemudian, saya menyertai peraduan menghasilkan ilustrasi yang dihantar ke laman web www.illustrationfriday.com pada setiap Jumaat. Laman tersebut akan memberi satu perkataan untuk diilustrasikan oleh setiap peserta pada minggu berkenaan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Ampang, Selangor baru-baru ini.

NOR EMILA menunjukkan sebahagian daripada karyanya.


Sejak itu bakatnya semakin mendapat perhatian penggemar ilustrasi dari dalam dan luar negara sehingga ada yang berminat untuk membeli karyanya.
Melangkah setapak ke hadapan, Nor Emila mula menjana pendapatan melalui komisen yang diterima hasil jualan barangan menggunakan lukisannya yang dimuat naik di laman greetingcarduniverse.com dan zazzle.com.
Kini, sudah lapan buah judul buku ilustrasi kanak-kanak yang dihasilkan Nor Emila dijual di pasaran sejak tahun 2010. Judul berkenaan ialah My Mother's Garden, Little Guardian dan enam buah siri Seni dan Kraf Bersama Kak Emila.
Buku-buku yang dihasilkannya sesuai untuk bacaan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah terutama daripada siri buku Seni dan Kraf Bersama Kak Emila mendapat sambutan menggalakkan kerana berjaya menarik minat kanak-kanak untuk menghasilkan kraf mereka sendiri.
Pelukis gaya naif
Berkongsi tentang ilham bagi menghasilkan karya pula, dia kerap melihat keadaan di sekitar kediaman tempatnya membesar kerana sedikit sebanyak membantu mengimbau kembali kenangan sewaktu kecil di rumah tersebut. Pada masa sama, keletah anak lelakinya, Muhammad Yassin Mohd. Zaim, 10, turut memberikan idea untuk menghasilkan ilustrasi yang berkaitan dengan alam kanak-kanak.
Selain itu, Nor Emila kerap membuat rujukan komposisi (susun atur) karya ilustrator atau pelukis ilustrasi dari luar negara sewaktu terlibat dalam pameran bahan kanak-kanak di luar negara kerana ia lebih kreatif dan interaktif.
Setiap artis yang menghasilkan lukisan atau ilustrasi akan mencerminkan identiti tersendiri di sebalik setiap karya mereka. Sebahagian besar daripada artis tersebut melukis untuk kepuasan diri sendiri dan bukannya untuk dijual kepada orang awam.
Hasil karya seni naif yang lebih bersifat keanak-anakan juga merupakan satu cabang seni lukisan yang sinonim dengan identiti segelintir artis di persada lukisan tanah air.
Mie Mambo atau nama sebenarnya Mohd. Norazmi Mokhtar, 33, merupakan salah seorang pelukis gaya naif tempatan yang berjaya menghasilkan lebih 40 judul buku kanak-kanak sejak tahun 2005.
Dia memulakan karier sebagai seorang kartunis di majalah Gila-Gila selepas tamat pengajian dalam bidang seni reka dan seni lukis di Universiti Teknologi Mara Shah Alam. Mie Mambo banyak mendapat tunjuk ajar daripada kartunis legenda, Rejab Had sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 2002.
"Saya gemar melukis lukisan catan yang berwarna-warni dan dari situ pemerhati seni lukisan mula nampak potensi karya yang saya hasilkan.

MIE MAMBO bergambar bersama lukisan tapir yang sering menjadi subjek utama lukisannya.


Tenaga pengajar
"Saya lebih selesa menghasilkan ilustrasi bahan bacaan kanak-kanak kerana ia bersifat naif dan sesuai untuk kelompok umur mereka," katanya ketika ditemui pada Festival Bahan Kanak-Kanak Asia 2013 di Perpustakaan Negara Singapura pada Singapura baru-baru ini.
Selain buku kanak-kanak, dia juga berjaya menghasilkan sebanyak 13 buah novel grafik dan 20 ilustrasi buku pelbagai judul untuk pasaran dalam negara. Pada masa yang sama, Mie Mambo bergerak aktif sebagai pelukis sepenuh masa dan tenaga pengajar kepada bakat-bakat baharu melalui program anjuran Perbadanan Kota Buku dan Balai Seni Visual Negara.
Menurutnya, bakat dalam bidang lukisan diwarisi daripada nenek dan kedua-dua ibu bapanya. Berkongsi tentang cabaran, dia terpaksa berperang dengan sikap malas atau tiada mood yang kadang-kadang menyebabkan kerjanya tergendala.
Bagaimanapun, Mie Mambo sudah melibatkan diri dalam 10 pameran lukisan dalam negara sejak tahun 2006.
Beberapa tokoh pelukis yang dikaguminya ialah Zulkifli Dahlan, Dzulkifli Buyong, Yusof Gajah dan Rejab Had. Kebanyakan karya yang dihasilkan Mie Mambo sesuai untuk bacaan kanak-kanak berumur lima hingga tujuh tahun.
Dia juga terlibat menyumbangkan ilustrasi pada buku teks sekolah dalam mata pelajaran Kadazan Dusun bagi pelajar tahap satu hingga enam di Sabah yang akan digunakan pada tahun 2014.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: