
BUKU bacaan kanak-kanak yang boleh dibeli dalam format digital di laman portal e-Book.
SEIRING dengan perkembangan teknologi, kaedah penerbitan buku kanak-kanak turut berkembang dan menjadi lebih mudah. Anda tidak perlu bimbang untuk menyediakan bahan bacaan kanak-kanak ketika berada di luar kawasan.
Hanya dengan memiliki gajet terkini seperti tablet, telefon pintar atau komputer riba sudah membolehkan anak kecil membaca buku kegemaran mereka melalui paparan skrin gajet berkenaan.
Harga buku elektronik (e-Book) yang dijual di laman maya juga lebih murah dengan potongan sehingga 30 peratus bagi sebuah e-Book berbanding buku yang dibeli di kedai buku.
Adakah anda seorang yang gemar membelikan anak-anak pelbagai jenis bahan bacaan untuk memupuk minat membaca tetapi menghadapi masalah ketiadaan ruang untuk menyimpan bahan-bahan tersebut?
Promosi karya
Pembelian buku digital adalah penyelesaian terbaik, ia mudah dibawa ke mana sahaja. Antara kelebihannya ialah ia hadir dalam format memori digital yang boleh dimuat turun ke gajet anda.
Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku Perbadanan Kota Buku (PKB), Norhayati Razali memberitahu, pihaknya menyediakan landasan kepada penulis buku dan ilustrator kanak-kanak untuk mempromosikan karya di peringkat tempatan dan luar negara melalui portal e-Book rasmi institusi tersebut.
"Sejak bulan Disember tahun lalu, terdapat 100 judul buku digital yang boleh dibeli dan dimuat turun di portal e-Book yang meliputi pelbagai genre terutamanya buku sastera kanak-kanak.
"Harga buku digital dijual jauh lebih murah berbanding harga buku asal dan ia lebih mudah dibawa kerana kebanyakan pengguna selesa membawa tablet elektronik bersama mereka," katanya ketika ditemui di PKB di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Usaha tersebut dilihat membolehkan bakat tempatan berpeluang menghasilkan lebih banyak karya bermutu tinggi pada masa akan datang. Karya mereka juga berpotensi untuk menembusi pasaran luar negara dan bersaing di pentas yang lebih besar jika ada pihak luar yang berminat untuk menterjemahkan karya tersebut.
Sastera kanak-kanak dilihat mempunyai pengaruh yang tersendiri kerana menghiburkan, berilmiah dan memupuk nilai tambah sesuai dengan perkembangan psikologi kanak-kanak.

MINAT membaca buku dalam kalangan
kanak-kanak boleh dipupuk menggunakan gajet mudah alih yang bersifat
interaktif. - Gambar hiasan
Pasaran
PKB juga kerap mengadakan latihan intensif dan bengkel kepada penulis, ilustrator dan pengkarya meliputi konsep, kerja-kerja penghasilan dan permurnian bahan yang sesuai untuk kanak-kanak dan remaja yang berusia satu hingga 15 tahun. Peringkat seterusnya, mereka dilatih untuk menguasai teknik bercerita yang baik bagi menarik minat pembaca.
Dalam pada itu, Pengerusi PKB, Tan Sri Dr. Asiah Abu Samah berkata, peranan institusi tersebut lebih kepada aspek operasi dalam industri perbukuan negara bagi menggalakkan usaha ke arah pengantarabangsaan karya tempatan.
Ia juga bertindak sebagai moderator atau fasilitator bagi memudahkan penulis, ilustrator dan agensi yang berkaitan untuk merujuk perkara-perkara yang melibatkan penerbitan buku dalam bentuk digital.
"Pasaran dalam penghasilan buku kanak-kanak sedang berkembang di Malaysia kerana semakin banyak karya tempatan dihasilkan dan setanding dengan bahan bacaan antarabangsa.
"Bagaimanapun, negara kita masih kekurangan jumlah buku yang sepatutnya diterbitkan dalam setahun. Malaysia hanya mempunyai kira-kira 17,923 judul buku di pasaran buat masa ini," jelasnya ketika ditemui pada Festival Bahan Kanak-Kanak Asia 2013 di Singapura baru-baru ini.
Jumlah tersebut meletakkan Malaysia di tangga ke-23 dunia menurut statistik penerbitan buku bagi tempoh setahun yang dikeluarkan oleh Persidangan Agung Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Penunjuk bagi status negara maju menggariskan sebuah negara perlu menerbitkan buku sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada jumlah populasi negara tersebut. Dengan erti kata lain, Malaysia seharusnya menerbitkan sekurang-kurangnya 28,800 buah buku setahun sebelum diiktiraf sebagai sebuah negara maju.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: