Monday, July 15, 2013

Buku mengajak pembaca menangis

Tiga koleksi buku Ebit Lew yang dihasilkan semata-mata untuk berdakwah kepada masyarakat.


NABI Muhammad SAW merupakan Rasul akhir zaman yang mempunyai kedudukan paling tinggi di sisi Allah. Namun, baginda juga merupakan manusia yang paling banyak menangis sewaktu mengingati Allah dan mengenang nasib umatnya.
Diriwayatkan, Rasulullah SAW pernah menangis selama tujuh jam sewaktu berlakunya Perang Badar. Malah, para sahabat baginda juga banyak menangis dalam perjuangan menegakkan agama Islam.
Menyedari hakikat itu, pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew tampil dengan inisiatif untuk menghasilkan buku bertajuk Tangisan Umat.
Tambahan pula, melihat senario umat Islam zaman ini yang semakin alpa dengan kemewahan dunia membuatkan beliau terpanggil untuk berdakwah melalui penulisan.
“Salah satu tanda kita dekat dengan Allah ialah makin banyaknya tangisan kita kerana takutkan Allah dan semakin rendah diri kita dengan manusia,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurut beliau, tangisan sering kali dikaitkan dengan kelemahan, tiada upaya, kesedihan dan keburukan. Namun, hakikat sebenar tangisan telah disalah tafsir.
“Banyak tangisan hari ini terjadi kerana didorong perkara yang remeh dan batil, sedangkan tangisan serta air mata orang terdahulu bertujuan memastikan kita pada hari ini dapat mengenal Islam dan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Esa.
“Setitik air mata tangisan umat yang hak dapat memadamkan kepanasan api neraka. Tangisan umat bukan tangisan kelemahan tetapi tangisan yang mampu memberi kesan terhadap dunia,” jelas pendakwah muda itu lagi.
BUKU Tangisan Umat mampu membawa pembaca menghayati nilai tangisan masing-masing.


Buku itu diterbitkan pada tahun 2012 melalui syarikatnya, Transform Publications Sdn. Bhd. Semangat yang tinggi untuk berdakwah menyebabkan Ebit Lew tidak berkira mengeluarkan modal sendiri dalam menerbitkan buku berkenaan.
“Saya mahu mengajak umat Islam di Malaysia khususnya mengaudit nilai tangisan kita selama ini. Renungkan semula sama ada kita banyak menangis tentang nilai Islam dalam diri atau tangisan itu berkisar usaha kehidupan dunia sahaja.
“Melalui kisah yang disampaikan dalam buku ini, ia merupakan suatu gambaran kepada minda kita tentang tangisan umat yang hak.
“Tangisan umat sebenarnya mampu mengembalikan kegemilangan Islam selain memantapkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Yang Maha Esa,” ungkapnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa orang yang tidak menangis kerana Islam maka hatinya telah mati terhadap perintah Allah dan sunah Nabi Muhammad SAW.
“Kisah duka, air mata, pengorbanan dan kesengsaraan dalam menyebar dan mengembangkan ajaran Islam telah dirakam dalam al-Quran sebagai tatapan umat manusia.
“Justeru, jadikanlah sebagai pengajaran dan pedoman dalam kita meniti kehidupan di dunia sementara ini,” katanya.
Selain buku Tangisan Umat, Ebit Lew turut menghasilkan buku bertajuk Perjalanan Hidayah Umat yang memaparkan kisah manusia yang beroleh hidayah daripada Allah sebagai pengajaran kepada para pembaca.
Untuk maklumat lanjut mengenai beliau, layari laman web www.transformjiwa.com atau facebook.com/EbitLew.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: