|
SUDAH lima hari Ramadan diraikan penuh istiqamah dengan pelbagai cara terutama solat sunat tarawih. Ganjaran puasa tidak hanya pada juadah lazat sebagai nikmat setelah seharian menahan lapar dan dahaga, namun bulan penuh berkat ini juga berlabuh dengan segala mukjizat pahala menerusi amal ibadah dan kegembiraan untuk dihadam oleh umatnya.
Mengajak tiga selebriti agama, Imam Muda Asyraf, Sharifah Khasif dan Hafiz Hamidun berkongsi keindahan serta definisi hiburan sepanjang Ramadan yang ditempuhi, tiga nama yang sengaja diberi gelaran ejen kerohanian itu melenturkan bicara seperti mutiara.
Perihal kenangan, amalan yang sudah dilupakan, kecenderungan serta tidak kurang juga peringatan untuk diri sendiri meruntun mekar daripada bibir mereka. Semuanya mengalir bagai wacana yang cukup mengesankan.
Ditanyakan kepada mereka sebagai mukadimah tentang perkara-perkara asas yang dilupakan pada bulan Ramadan atas keghairahan untuk menimbang pahala.
Seperti kata pendakwah yang dilahirkan dari pentas Imam Muda yang pertama, Asyraf berpesan agar persiapan sambutan hari raya khususnya baju raya hendaklah awal-awal lagi disiapkan. Kelihatan santai tetapi itu antara perkara yang kadang-kadang terlepas daripada ingatan.
"Dalam mana-mana ceramah sebelum ini, saya selalu berpesan supaya beli baju raya pada bulan Syaaban atau setidak-tidaknya pada minggu pertama bulan Ramadan.
"Sunat pakai cantik-cantik pada hari raya. Bila buat persiapan beli baju raya pada akhir Ramadan, ramai orang berbuka puasa tapi tak pergi solat Maghrib.
Ramai juga tidak akan berhenti membeli-belah walaupun sudah masuk waktu berbuka. Situasi itu akan menjadi pemandangan biasa," katanya sambil mengingatkan diri sendiri juga.
Ungkap Asyraf lagi: "Di negara-negara Arab, umat Islam di sana melakukan iktikaf di masjid ataupun bermalam di masjid. Nabi Muhammad SAW sendiri bermalam di masjid selama 10 malam terakhir Ramadan tanpa balik ke rumah. Namun, rasanya perkara itu susah untuk dilakukan oleh orang kita sekarang."
Melihat secara mudah, penasyid yang terkenal menerusi album Zikir Terapi, Hafiz pula menyahut.
"Dalam bulan puasa, ramai yang fokus terhadap amalan puasa sahaja sedangkan kita terlupa bahawa banyak perkara besar berlaku pada bulan Ramadan. Al-Quran juga diturunkan pada bulan puasa.
"Amalan tadarus sepatutnya lebih mudah. Semua pengguna telefon pintar ada aplikasi memuat naik al-Quran secara percuma. Sebenarnya, tiada alasan untuk tidak bertadarus.
"Kini, kita boleh khatam al-Quran dengan menggunakan telefon. Saya sendiri pun begitu, aplikasi itu ada di telefon tetapi aplikasi lain pula yang kerap dibelek."
Bulan rezeki
Masuk ke dalam regu yang julung-julung kalinya disatukan dalam sebuah fotografi biasa, qariah terkenal, Sharifah Khasif tidak kekok berada di tengah-tengah antara Asyraf dan Hafiz.
Pengalaman merantau ke pelosok dunia sejak berusia 18 tahun menampakkan wanita bersuara emas itu cukup matang mengatasi usia.
Katanya, memandangkan Ramadan ialah bulan yang ditunggu-tunggu, sebagai orang Islam inilah masa yang tepat untuk berlumba-lumba beramal sebagai bekalan hari akhirat.
"Antara yang mudah tetapi kerap terlupa oleh kita semua ialah melakukan solat rawatib, iaitu solat sunat sebelum dan selepas solat fardu.
"Budaya memberi juadah kepada jiran sebelah-menyebelah juga kian terhakis. Kalau dulu, waktu di rumah ibu di kampung, amalan bertukar-tukar juadah dengan jiran merupakan suatu kebiasaan.
"Perkara itu juga dituntut dalam agama kerana ia pasti mendatangkan sifat kasih sesama jiran dan memupuk sifat tanggungjawab dan ambil tahu," kata Sharifah Khasif, 32, yang melebarkan sayap selebritinya dengan melancarkan album berjudul Al Husna.
Berbanding Asyraf dan Sharifah Khasif, Hafiz mungkin terlebih arif berhubung dunia hiburan atau muzik islamik yang diceburi. Masuk sahaja Ramadan, permintaan terhadap muzik islamik dan persembahan nasyid meningkat dua kali ganda berbanding pada hari-hari biasa.
Tidak hanya nyanyian lagu-lagu kerohanian, jemputan bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta ceramah keagamaan juga melimpah-ruah.
"Ada yang panggil Ramadan sebagai bulan ibadah dan ada juga yang memanggilnya sebagai bulan rezeki. Hiburan juga tidak terlepas sepanjang bulan ini tapi carilah hiburan yang diredai.
"Sebagai orang dalam industri, terfikir juga bagaimana kita mahu mengimarahkan Ramadan dan jarang kita dengar tentang lagu Ramadan, yang banyaknya ialah lagu raya.
"Rasanya macam tak kena kalau kita sibuk dengan lagu raya pada bulan Ramadan. Jadi, salah satu caranya adalah dengan memperbanyakkan lagu-lagu bercorak islamik," ungkap Hafiz yang bakal melancarkan album Zikir Terapi 2 tidak lama lagi.
Menariknya, kata Hafiz, sepanjang bulan Ramadan ini lagu-lagu islamik seperti nasyid akan mendapat waktu siaran yang lebih banyak berbanding bulan-bulan biasa.
"Asalkan hiburan seperti persembahan selepas waktu berbuka dan tidak mencemarkan identiti dan sensitiviti bulan Ramadan, itu okey. Sebenarnya, Ramadan merupakan satu bulan yang harus menjadi tanggungjawab bersama," katanya.
Hiburan ikut syarak
Senyum sambil melepaskan satu kenyataan, bapa kepada seorang anak, penglibatan Asyraf dalam dunia hiburan sebenarnya sudah bermula sejak dia menjejakkan kaki ke dalam program Imam Muda beberapa tahun lalu.
Sementelah sudah mempunyai sebuah album berjudul Rahmatan Lil Alamin, Asyraf tetap bersifat fleksibel.
"Cakap pasal hiburan dan agama, ada ustaz yang hanya tumpu kepada ibadah, solat, zikir, baca al-Quran. Ada juga yang suka hiburan seperti dengar lagu-lagu islamik. Asalkan hiburan itu masih ikut syarak, ia okey.
"Namun, kalau hiburan itu dilihat dalam definisi yang lebih meluas, pesta berbuka, tarawih, moreh serta menjamu orang berbuka juga satu bentuk hiburan. Itu satu budaya yang bagus. Berjalan-jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman juga satu hiburan dan keseronokan pada bulan Ramadan ini," ujarnya.
Mengkategorikan hiburan ke dalam beberapa bentuk dan tidak bertumpu hanya pada satu jurus sahaja, Sharifah Khasif setuju bahawa aktiviti mengimarahkan Ramadan juga merupakan satu bentuk hiburan.
"Al-Farabi satu nama yang sinonim dengan kesenian Islam pernah mengatakan bahawa seni itu indah, ia tidak dapat dipegang tetapi mampu dirasai dalam jiwa.
"Justeru, salah satu cara kita nak mengimarahkan Ramadan adalah dengan memperbanyakkan zikir selepas solat. Bukan setakat solat fardu malah solat sunat sebelum dan selepasnya.
"Amalan bertadarus, mengimarahkan masjid dan mengadakan majlis-majlis ilmu serta taklim seperti tazkirah, tilawah al-Quran termasuk hafazan itu juga boleh disifatkan sebagai hiburan," jelas qariah kelahiran Ipoh itu.
Mencondongkan pandangan terhadap kemeriahan penyiaran rancangan-rancangan bersifat kerohanian dan islamik di stesen-stesen televisyen serta permintaan persembahan oleh selebriti nasyid yang berlipat ganda, senario hiburan islamik bermusim pada bulan puasa itu sebenarnya masih merupakan situasi yang terpuji.
"Saya puji kerana masyarakat kini banyak yang berminat ke arah mencari ilmu bukan sahaja duniawi tetapi ukhrawi. Cuma pada bulan Ramadan, ia lebih sesuai andai diperbanyakkan," jelas Sharifah Khasif pula.
Berbuka dan sahur pada waktu yang ditetapkan manakala malam diperuntukkan untuk ibadah tarawih dan bacaan al-Quran, tuntutan sepanjang Ramadan ini dilihat Asyraf sebagai satu proses pendidikan yang terancang.
"Ini namanya pengurusan masa. Pengurusan masa ini yang dituntut dan diteruskan selepas bulan Ramadan nanti," kata Asyraf sebelum berakhirnya sesi bersama tiga ejen kerohanian yang sempat dipertemukan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: