TUGAS membaca berita kelihatan mudah dan cukup glamor. Hanya
bersiaran selama satu jam, seluruh Malaysia pasti mengenali wajah
mereka.
Baru-baru ini, pihak TV3 telah mengadakan majlis minum petang
bersama kesemua pembaca berita TV3. Kosmo! telah menggabungkan empat
orang pembaca berita, Kamaruddin Mape, Norliza Md. Zain, Hazlin Hussain
dan Helmi Yusof.
Mereka berempat sempat berkongsi cabaran yang diharungi di sebalik
tugasan yang kelihatan glamor serta menjadi idaman ramai orang itu.
Pengalaman berharga Kamaruddin
Melihat wajahnya pasti ramai yang mengenalinya menerusi Buletin Utama TV3 yang bersiaran setiap pukul 8 malam.
Kamaruddin Mape, 43, bukan wajah yang asing dalam dunia penyiaran.
Sudah bekerja dengan TV3 selama 17 tahun dan bertugas di hadapan kaca
televisyen sebagai pembaca bermula tahun 1997, pengalamannya boleh
dijadikan kamus buat mereka yang ingin menjadi pembaca berita.
Katanya yang kini berjawatan sebagai pengarang berita dan pembaca
berita, semuanya bermula apabila beliau menjalani latihan praktikal di
TV3 pada tahun 1994.
“Selepas saya belajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti
Teknologi Mara/UiTM), saya menjalani latihan praktikal di TV3 dan terus
bekerja sebagai wartawan penyiaran.
“Pada waktu itu tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi
pembaca berita. Tidak sangka pula sampai ke hari ini saya kekal bertahan
depan TV (ketawa),” tuturnya.
Bercerita tentang pengalamannya, jelas Kamaruddin, apa sahaja
kesalahan yang berlaku ketika siaran langsung akan terletak pada
bahunya.
“Contohnya visual tidak keluar, memang itu kesalahan teknikal tetapi
muka saya yang orang lihat di TV. Secara tidak langsung kesalahan itu
seolah-olah terletak pada bahu saya dan harus pandai untuk terus
menghabiskan berita itu,” luahnya.
Antara tugasan yang tidak dapat dilupakan oleh bapa kepada lima orang
anak ini adalah tugasannya ke Iraq selama 40 hari pada tahun 2003.
“Kumpulan saya merupakan media Malaysia pertama yang masuk ke Iraq
ketika perang Iraq. Pengalamannya cukup berharga kerana nyawa saya dan
rakan-rakan lain menjadi taruhan.
“Melihat sendiri kesengsaraan rakyat Iraq ketika itu amat menyedarkan
saya betapa bertuahnya saya menjadi rakyat Malaysia,” ujarnya yang
banyak menonton program berita antarabangsa sebagai bahan rujukan.
Lucu disebalik serius
Pembaca berita yang juga boleh dianggap senior di TV3, Norliza Md.
Zain, 41, wajahnya juga kerap kelihatan menerusi Buletin Utama TV3.
Selepas bertugas selama 13 tahun di TV3 iaitu 11 tahun sebagai
pembaca berita, kini Norliza memegang jawatan selaku penerbit berita
selain meneruskan tugasnya membaca berita.
Sebelum bersama TV3, ibu kepada empat orang anak ini terlebih dahulu
bekerja dengan stesen TV Metrovision. Bagaimanapun, hayat usia stesen
tersebut tidak panjang menyebabkan Norliza berhijrah ke TV3 pada tahun
2000 sehingga hari ini.
“Kalau ikutkan cita-cita sebenar, saya ingin menjadi seorang penulis
novel kerana suka menulis. Namun, rezeki saya nampaknya lebih ke arah
bidang penyiaran,” katanya yang merupakan graduan UiTM dalam jurusan
Komunikasi Massa.
Disoal mengenai pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan ketika
bertugas, bibirnya mula mengukirkan senyuman menandakan kelucuan.
“Kejadian berlaku ketika saya mula-mula menjadi pembaca berita pada
tahun 2001. Pada waktu itu saya sedang membaca berita terkini.
“Ketika sedang membaca berita, kerusi yang saya duduk itu patah.
Terpaksalah saya buat-buat duduk kerana ketika itu sedang bersiaran
secara langsung, sedangkan pada waktu itu sudah tidak ada kerusi.
“Disebabkan terpaksa membengkokkan lutut dalam masa yang agak lama,
kaki saya berasa sangat sakit dan tangan saya menggigil menahan tangan
di atas meja agar saya tidak jatuh.
“Nasib baik ada visual keluar, saya cepat-cepat tarik kerusi yang
patah itu. Walaupun tidak stabil, sekurang-kurangnya saya tidak perlu
menahan dengan mengunakan kaki,” katanya sambil menunjukkan demonstrasi
keadaannya ketika kejadian.
Tambahnya, sejak kejadian itu, kerusi beroda tidak lagi digunakan di
set berita di TV3 kerana bimbang kejadian yang sama berulang.
Hazlin ingin cipta identiti sendiri
Sekali pandang wajah wanita berambut pendek ini seakan-akan Anne Raj
tetapi melihat gaya penyampaiannya sebelum ini menerusi program 999,
ramai pula membandingkannya dengan Zakiah Anas.
BAHARU dan lama. (Dari kiri) Hazlin, Norliza, Kamaruddin dan Helmi merupakan antara pembaca berita tetap Buletin Utama TV3.
Enggan dibayangi orang lain, Hazlin Hussain, 29, yang merupakan
peserta program Gadis Melayu musim kedua, kini berazam untuk membina
identitinya sendiri.
“Mula-mula saya menjadi hos 999, orang samakan saya dengan Zakiah
Anas. Jadi, bila beralih ke bahagian berita saya terus potong rambut
pendek.
“Apabila saya potong rambut pendek untuk perubahan imej dan
keselesaan diri, orang samakan pula saya dengan Anne Raj. Bagaimanapun,
cara saya membaca berita agak berbeza dengan orang lain kerana
kedengaran agak tegas.
“Pada mulanya, ada yang tidak suka dengan cara saya baca berita
tetapi lama-kelamaan orang dapat menerima cara saya kerana saya tidak
mahu lagi disamakan dengan orang lain,” tuturnya yang baru bertugas
sebagai pembaca berita selama tiga bulan.
Nampaknya rezeki dalam bidang penyiaran lebih berpihak kepadanya.
Hazlin yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru sebelum ini telah
menimba pengalaman selama tiga tahun bersama program 999.
“Saya teringin sangat jadi guru tetapi tidak pernah dapat.
Sebaliknya, kerjaya saya dalam bidang penyiaran bergerak dengan pantas.
“Apa salahnya mencuba sesuatu yang baharu dan saya semakin seronok
dengan kerjaya saya sekarang ini,” ujar graduan Perbankan dari
Universiti Utara Malaysia itu.
Helmi ke Gaza
Pembaca berita termuda di TV3, Helmi Yusof, 26, kelibatnya sebelum
ini pernah kelihatan dalm program 999 sebagai wartawan penyiaran.
Kemudian, graduan Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) ini
beralih sebagai wartawan penyiaran untuk program Malaysia Hari Ini (MHI)
sebelum menjadi pengacara bersama MHI bergandingan dengan Ally
Iskandar, Fedtri Yahya, Nurul Syuhada Nurul Ain, M. Zul, Zahan Rashid,
Zaim Helmi dan Fariha On.
Selain itu, Helmi juga merupakan pembaca berita untuk Buletin Pagi dan Buletin 1:30.
“Saya bermula dengan menjalani latihan praktikal di bilik berita pada
tahun 2008. Alhamdulillah, sehingga hari ini minat saya untuk
menyebarkan informasi kepada orang ramai tidak pernah padam,” katanya.
Jelasnya, niatnya ketika mula-mula menceburi bidang penyiaran adalah
untuk membantu orang lain dan niatnya itu tercapai selepas beliau diberi
peluang untuk membuat liputan misi kemanusiaan Gaza Aman Palestin
anjuran Aman Palestin pada 6 sehingga 13 Disember tahun lalu.
“Bagi saya, pengalaman membuat liputan di Gaza terlalu berharga. Saya
bersyukur kerana diberi peluang menjejakkan kaki di sana dan melihat
sendiri keadaan mereka,” tuturnya.
Meskipun masih muda, jelas Helmi, tugas sebagai wartawan, pengacara
dan pembaca berita memerlukannya sentiasa melengkapkan diri dengan
pelbagai isu semasa serta berkorban masa demi kerjaya.
“Untuk pembaca berita, segala teks telah siap ditulis dan tugas saya
adalah untuk menyampaikan berita itu dengan baik. Agak berbeza menjadi
pengacara MHI kerana saya perlu bercakap secara spontan berkenaan
pelbagai isu.
“Disebabkan itu, saya banyak membaca untuk menambah ilmu pengetahuan.
Selain itu, cabaran utama kerjaya dalam bidang penyiaran adalah jadual
kerja tidak tentu masa.
“Saya perlu banyak berkorban masa untuk kerjaya. Tanyalah mana-mana
wartawan atau mereka yang bekerja dalam bidang media pasti akan bercakap
hal yang sama,” ujarnya yang terpilih sebagai pembaca berita menerusi
uji bakat yang dijalankan TV3.
Menjadi seorang pembaca berita bukan semata-mata glamor sebaliknya
seseorang itu perlu berdisiplin, komited terhadap tugas dan mempunyai
ilmu pengetahuan yang luas.