Monday, September 24, 2012

Bony (The Lima) Mahu Bergerak Secara Solo Selepas Berpecah

Bony (The Lima) masih memasang hasrat untuk kembali ke Malaysia untuk melancarkan karier solonya.
BANDUNG: Bekas vokalis kumpulan The Lima, Bony Adam masih menyimpan hasrat untuk meneruskan kerjaya nyanyiannya di Malaysia walaupun sudah berpecah sejak tahun 2009.
Bony, 31, berkata, dia berhasrat untuk bergerak secara solo di negara ini tanpa dua ahli lain iaitu C Taufani Rahadian (Taura) dan Arif Topan Sanjaya (Arif) yang sibuk dengan kerjaya masing-masing.
"Walaupun saya hanya anggap nyanyian sebagai hobi tetapi saya masih memasang hasrat untuk merakamkan lagu baru untuk para peminat di Malaysia sebagai artis solo.
"Saya sedang mencari peluang untuk memperkenalkan kembali nama saya sebagai seorang artis solo dan sentiasa rindu kepada peminat dan rakan-rakan di Kuala Lumpur," ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Kumpulan The Lima pernah popular dengan lagu Separuh Masa dan Kau Ada Dia yang turut menjadi lagu tema filem Sepi pada tahun 2008 selepas menjadi juara program realiti Gang Starz pada 2007.
Dalam pada itu, Bony memberitahu dia sudah menemui penyanyi Dafi untuk berduet bagi merakamkan sebuah lagu baru dan berharap cadangan itu akan menjadi realiti.
Wajah terbaru Bony yang kini sibuk menguruskan restoran Mamah Eha di Bandung, Indonesia.
Sementara itu, bercakap tentang perkembangan terbaru Bony kini sibuk menguruskan restoran miliknya di Jalan Sultan Tirtayasa di sini yang dibuka setahun lalu.
Restoran yang diberi nama Mamah Eha itu menyediakan pelbagai hidangan tempatan seperti roti canai, teh tarik, pulut mangga dan sebagainya.
"Alhamdulilah restoran ini saya buka menggunakan duit kemenangan semasa menyertai program Gang Starz dahulu dan ia semakin maju.
"Malah artis seperti Ruth Sahanaya dan Dafi pernah datang makan di sini.
"Saya sangat sukakan makanan Malaysia dan sebab itu saya menyediakan hidangan kegemaran saya semasa menetap di sana dahulu.
"Ia mengingatkan memori indah ketika berada di Kuala Lumpur," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: