Saturday, June 16, 2012

Wanita penghidap kanser payudara perlukan sokongan

BUKU Don't Let Her Stand Alone merupakan satu bacaan ringan dan santai yang diterbitkan oleh NCWO.


SALAH satu kebimbangan utama wanita Malaysia jika disahkan menghidap kanser payudara adalah kemungkinan mereka ditinggalkan atau diabaikan oleh lelaki dalam hidup mereka.

Kebimbangan itu lazimnya menyebabkan mereka keberatan untuk menjalani pemeriksaan kanser payudara secara berkala.

Justeru, diagnosis dibuat hanya di peringkat akhir. Dalam keadaan itu, kejahilan nyata membawa mudarat.

Kanser payudara terus menjadi kanser paling utama dalam kalangan wanita di Malaysia.

Seorang daripada 19 wanita disahkan menghidap kanser payudara apabila mencecah usia 85 tahun dan kira-kira 4,000 wanita disahkan sebagai penghidap setiap tahun, kebanyakannya berusia antara 35 hingga 60 tahun.

Satu jalan penyelesaian tidak lain dan tidak bukan menjalani pengesanan di peringkat awal, malah penyelidikan tempatan menunjukkan bahawa wanita Malaysia kemungkinan besar menjalani pemeriksaan payudara jika pasangan hidup mereka memberi sokongan.

Lantaran itulah, Projek MenCare yang dilancarkan pada 2006 oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan syarikat farmaseutikal, Pfizer merupakan satu inisiatif luar biasa yang melibatkan kaum lelaki.

MenCare digerakkan atas idea untuk melibatkan penyertaan dan menyeru kaum lelaki agar memberi sokongan kepada wanita dalam hidup mereka. Ia dilihat jalan untuk meningkatkan peluang menyembuhkan penyakit menerusi pengesanan awal.

Terbaru buku terbitan khas MenCare bertajuk Don't Let Her Stand Alone menandakan satu lagi kejayaan penting dalam perjuangan berterusan kempen MenCare selama lima tahun. Buku tersebut memaparkan setiap pencapaian projek berkenaan setakat ini.

Ia diterbitkan untuk bacaan ringan dan santai bagi membolehkan isu berkaitan kanser payudara dibentangkan dengan cara yang mudah difahami.

Buku tersebut merakamkan pengalaman wanita yang berjaya keluar daripada belenggu kanser dengan sokongan suami, maklumat mengenai pemeriksaan kanser payudara dan juga tanda atau gejala kanser yang perlu diperhatikan.

Matlamatnya adalah untuk merobohkan sempadan yang selama ini menghalang perbincangan mengenai kesihatan payudara antara lelaki dan wanita.

Dalam pada itu, blog MenCare (www.mencare-bc.blogspot.com) pula dilancarkan serentak sebagai landasan sokongan dalam talian bagi kaum lelaki dan wanita dalam hidup mereka.

Ia berfungsi sebagai forum bagi lelaki, wanita, belia dan pesakit yang berjaya menangani penyakit itu untuk berkongsi pengalaman, maklumat serta kisah inspirasi.

Menurut Timbalan Presiden NCWO, Datuk Ramani Gurusamy, kaum lelaki Malaysia perlu memainkan peranan dalam usaha murni menyokong wanita yang mungkin berdepan dengan kanser payudara.

"Memang tiada jalan lain. Sokongan lelaki terhadap pemeriksaan kanser payudara wanita amat penting dan perlu.

"Kita perlu mengubah sikap kita, kanser payudara bukan sahaja bertumpu kepada pesakit. Kami di NCWO percaya bahawa wanita perlu diperkasakan lagi menerusi sokongan daripada keluarga, masyarakat dan rakan-rakan," katanya pada majlis pelancaran buku Don't Let Her Stand Alone.

Sementara itu, Pengurus Negara Pfizer Malaysia dan Brunei, Angel Choi memberitahu, pelancaran buku dan blog tersebut membuka lembaran baharu bagi MenCare yang menggalakkan usaha berterusan melawan kanser payudara.

"Ini merupakan komitmen Pfizer untuk bersama-sama berusaha membina dunia lebih sihat dan kami menyeru organisasi korporat untuk menyahut seruan ini seperti mana IBM, Felda, Kesatuan Pekerja Ladang Kebangsaan (NUPW) dan MCIS Zurich yang merupakan organisasi perintis," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah penyokong MenCare, Henry Golding, Kid Chan, Sharizan Borhan, Chan Fong dan Hansen Lee yang meluangkan masa untuk memberikan sokongan masing-masing.

Malah menariknya, pengacara program 8TV, Without Boundaries, Henry sempat menunjukkan demonstrasi bagaimana membuat pemeriksaan payudara kepada hadirin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: