Monday, June 4, 2012

Syamsul, Nabila kunci soal hati

pix_gal0
Syamsul akui berdoa depan kaabah supaya segera dapat berumah tangga

USIA sudah menginjak 28 tahun, tetapi dua pelakon utama filem Jalan Kembali – Bohsia 2, Syamsul Yusof dan Nabila Huda Shuhaimi masih mengunci rapat mulut berkongsi soal hati dan perasaan.
Syamsul, sekian lama mengulit cinta bersama seorang pelajar berusia 20-an, tetapi masih terus merahsiakan cinta hati yang bertakhta di hatinya. Percintaan Syamsul dan gadis berasal dari Sabah itu sudah lebih dua tahun berlanjutan, tapi anak teruna Datuk Yusof Haslam itu masih belum bersedia beralih fasa baru dalam kehidupannya.
"Diam tak diam, usia sudah menginjak 28 tahun. Niat hati memang mahu berkahwin dan ke arah itu, tapi berilah saya masa lagi. Saya tahu ibu bapa, keluarga dan teman baik sudah muak mahu bertanya". - Syamsul Yusof
Begitu juga anak kesayangan otai rock terkenal, Amy Search ini. Biarpun gosip percintaan Nabila dan Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011, Johan As’ari atau Botak menjadi bualan hangat, apatah lagi mereka dilihat bercuti bersama keluarga ke Jepun, tidak lama dulu tapi mereka lebih selesa berkawan baik.

Kelihatan sedikit berisi, Syamsul akui: “Diam tak diam, usia sudah menginjak 28 tahun. Niat hati memang mahu berkahwin dan ke arah itu, tapi berilah saya masa lagi. Saya tahu ibu bapa, keluarga dan teman baik sudah muak mahu bertanya. Kadang kala apabila kerap bertanya, jadi merajuk pula apabila saya enggan bercerita. Tapi, apa yang dapat saya katakan, saya belum bersedia.

“Soal kewangan rasanya bukan lagi halangan untuk menanggung anak isteri, soalnya diri saya belum bersedia sepenuhnya. Saya masih menjalinkan hubungan baik dengan si dia, tapi setakat ini, kami masih mencari keserasian.

“Apa yang saya nampak adalah persediaan diri saya sendiri. Saya seorang yang sukar nak difahami dan kadang kala mood sering berubah-ubah. Saya perlu mencari seseorang yang betul-betul faham dan tahan dengan jiwa saya.
“Jujurnya, saya belum membawa si dia bertemu dengan ibu bapa saya. Bukan saya mahu mempermainkan hati dan perasaan si dia, tetapi tunggulah masa apabila saya benar-benar yakin.

“Bukan saya tidak berusaha. Ketika mengerjakan umrah tidak lama dulu, saya mohon dipercepatkan jodoh di depan Kaabah. Dulu, saya tidak pernah berdoa soal jodoh, tapi kali empat mengerjakan Umrah, soal jodoh yang saya mohon tapi nampaknya doa saya belum diperkenankan.

“Bukan saya tidak puas berseronok menyebabkan saya menangguh soal jodoh, tapi ia berbalik pada persiapan diri untuk melayari bahtera rumah tangga. Mungkin buat masa sekarang saya belum bersedia berkongsi hidup dengan sesiapa,” katanya yang kini sibuk mempromosikan filem ke tujuh arahannya, Jalan Kembali-Bohsia 2.

Filem Jalan Kembali – Bohsia 2, filem ke 28 terbitan Skop Productions Sdn Bhd akan menjengah pawagam pada Khamis, 7 Jun ini. Selain Syamsul, filem berkenaan turut dibintangi Nabila, Sofi Jikan, Salina Saibi, Zizan Razak dan Mak Jah.

Ketika kisah cinta tidak diperkatakan lagi, timbul pula gosip baru apabila Syamsul dikatakan menjalinkan hubungan dengan pelakon dan pengarah baru, Nurul Ain Nordin tidak lama dulu. Beberapa keping gambar mereka berdua-duaan dan sedang berbincang tersebar dalam blog hiburan tidak lama dulu.

Hanya tersenyum sinis, Syamsul akui: “Gosip berkenaan tidak masuk akal. Saya menganggap si penghantar gambar dan emel layang adalah perbuatan khianat yang mahu mencemarkan nama baik saya. Kalau dilihat pada gambar, tidak menunjukkan apa-apa. Saya bukan berkelakuan buruk dengan Nurul Ain.

“Tapi apabila membaca emel layang yang dihantar pada semua blogger, saya anggap ia perbuatan khianat dan fitnah. Saya mengenali Nurul Ain sudah lama. Saya berlakon di bawah arahan Nurul Ain menerusi filem Oh Mak Kau.

“Saya bertemu Nurul Ain ketika berlakon dalam telefilem Maisarah kira-kira tiga, empat tahun lalu. Dia adalah pengurus produksi bagi telefilem itu. Nurul Aini juga pernah menjalani praktikal di Skop Productions, jadi dia adalah kawan lama saya.

“Saya terima tawarannya berlakon dalam filem Oh Mak Kau! kerana saya mahu memberi sokongan kepada pengarah muda sepertinya. Tapi, saya pelik emel layang itu menuduh saya macam-macam, seperti tidak masuk akal. Saya tidak tahu kenapa si penghantar emel layang marah sangat pada Nurul Aini, tapi saya menjadi mangsa,” katanya.

Mengulas filem Jalan Kembali – Bohsia 2, Syamsul berkata ia banyak menyuntik unsur kerohanian dan komedi dalam filem bergenre aksi.

“Saya risau, lambakan filem Melayu di pawagam membuatkan saya lebih teliti dan tidak ambil mudah dalam menghasilkan filem Jalan Kembali – Bohsia 2.

“Filem mat rempit juga sudah banyak, jadi saya perlu memikirkan sesuatu yang berbeza, jadi saya suntik elemen kerohanian. Tidak hanya kisah bohsia tetapi filem ini mampu menyampaikan mesej yang mendalam.

“Alhamdullilah, sehingga kini, saya masih belum ketandusan idea, malah masih banyak lagi idea yang belum dikeluarkan. Saya, seorang tidak berhenti bertanya dan meminta pandangan soal filem. Saya suka berkongsi idea dengan rakan artis dan teman baik supaya apa yang dihidangkan tidak membosankan,” katanya.

Nabila malu bawa watak bohsia

BAGI Nabila Huda, dia mengakui lakonannya dalam Jalan Kembali: Bohsia 2 sebagai Tasha agak keterlaluan seperti yang diperkatakan, tetapi itulah lagak seorang bohsia.

“Pada saya, bohsia bergaya keterlaluan, tingkah laku, bercakap kasar dan menjerit-jerit. Itulah yang cuba saya suntik dalam watak Tasha. Sebenarnya, saya tercabar membawa watak Tasha. Bayangkan dua tahun watak ini ditinggalkan dalam Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam, saya nak kena ingat semula karakter yang dilakonkan.

“Saya kena buat homework, tonton semula filem Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam. Watak itu sudah ditinggalkan jauh daripada diri saya. Sebenarnya, saya tiada rujukan sesiapa pun dalam filem ini, saya hanya lihat persekitaran. Lagi satu, saya suka imaginasi, jadi imaginasi saya banyak membantu untuk menghidupkan watak Tasha.

“Saya akui watak bohsia tidak pernah dilakonkan dalam mana-mana drama atau filem sebelum ini. Hanya dalam filem Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam dan Jalan Kembali – Bohsia 2 saja saya berani membawa karakter begini.

“Sebenarnya saya malu nak bawa watak begini, ia tidak lagi sesuai dengan usia dan status saya sebagai ibu, tapi saya cabar diri untuk berlakon sekali lagi,” kata ibu kepada Keisha Laila ini.

Soal cinta, Nabila sudah bosan mengulasnya. Malah, dia tetap berpendirian, Johan adalah teman baik, bukan kekasih hati biarpun ramai yang tersilap perhitungan menganggap mereka bercinta.

“Buat apa saya bercakap bohong, lambat laun peminat dan wartawan akan tahu juga. Saya bukannya jenis hipokrit. Kalau bercinta, saya akan cakap bercinta, kalau tidak, macam mana mahu mengakuinya? Saya ingin tegaskan buat kesekian kalinya, saya dan Johan hanya kawan baik.

“Walaupun kami rapat tapi tiada membabitkan soal perasaan. Saya rasa biarlah kami kekal sebagai kawan baik, itu lebih bermakna dan berkekalan. Jika terbit perasaan, apabila bergaduh cepatlah putus kawan. Saya akui gembira hidup sendiri bersama anak, Keisha. Bagi saya, cinta memang indah, tapi ia juga menyusahkan. Saya bukannya serik tetapi belum terfikir ke arah membina rumah tangga sekali lagi.

“Bohonglah kalau tak teringin mahu bahagia seperti pasangan suami isteri lain tetapi saya percaya pada jodoh. Saya tidak terlalu mengharap, kalau ada jodoh, saya terima dengan hati terbuka. Lagipun, saya tidak terlalu mengharap pada lelaki. Sejak dulu, saya biasa hidup berdikari dan mencari rezeki dengan titik peluh sendiri,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Udin Glamor Balik Kampung.

Info Syamsul
NAMA PENUH: Mohd Shamsul Yusof Haslam
USIA: 28 Tahun
TARIKH LAHIR: 21 Mei 1984
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
+PENDIDIKAN: Diploma Penyiaran dari Akademi TV3
DRAMA ARAHAN: Sembilu Kasih, Gerak Khas dan Air Mata Maria
DRAMA LAKONAN: Farah Syakirah, Maisarah, Ameera & Tanah Kubur
FILEM: Evolusi KL Drift 1 & 2, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Khurafat, KL Gangster, Aku Bukan Tomboy, Jalan Kembali – Bohsia 2, KL Gangster 2 & Oh Mak Kau
PENCAPAIAN: Anugerah Khas Juri untuk filem keberkesanan aksi lasak menerusi Evolusi KL Drift pada Festivel Filem Malaysia ke-21 (FFM21), Pengarah Terbaik FFM23 melalui Evolusi KL Drift 2 & Anugerah Yasmin Ahmad (Anugerah Skrin 2011).

Info Nabila
NAMA: Nabila Huda Suhaimi
TARIKH LAHIR: 2 Disember 1984
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
USIA: 28 Tahun
ANAK: Keisha Laila
ANTARA DRAMA: Impak Maksima, Di Luar Itu Bukan Syurga, Golliwog, Diari Dewi, Serkam Cinta, Kerana Budi, Cinta Untuk Ain, Sutra Maya, Sari Maya, Cinta Dia, Tanah Kubur, Deru Ombak, Sijundai, Laila Manja
FILEM: Rock, Bohsia, Akhirat, Jalan Kembali – Bohsia 2
TEATER: Natrah

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: