Wednesday, June 6, 2012

Somaly ubah nasib pekerja seks


RUMAH perlindungan AFESIP memberi pendidikan kemahiran kepada penghuninya.


DIJUAL ke rumah pelacuran sejak kanak-kanak, aktivis Kemboja, Somaly Mam menjadi seorang yang paling dikenali dengan isu kontroversi yang diperjuangkannya iaitu antipenghambaan seks.

Dia yang begitu lantang dan bertenaga ketika berkempen menyebabkan semakin ramai yang menyatakan sokongan termasuk pihak selebriti. Malah, dia dinamakan sebagai hero terbaik sepanjang tahun oleh Cable News Network (CNN).

Somaly amat berbeza dengan aktivis-aktivis antipemerdagangan lain menyebabkan dia amat disukai oleh pihak wartawan antarabangsa.

Namun, disebabkan pekerja seks di Kemboja tidak diklasifikasikan sebagai melanggar undang-undang di negara itu, maka ramai pejuang hak asasi mengkritik tindakan Somaly.

Ini kerana ketika Somaly mahu semua wanita dibebaskan dari rumah-rumah pelacuran, pejuang hak asasi pula melihat ada wanita yang dengan rela memilih kerjaya itu.

Jadi pejuang hak asasi merasakan adalah tidak wajar semua pelacur ditangkap dan dilarang bekerja di rumah pelacuran.

Antara serbuan yang menaikkan kemarahan pejuang hak asasi termasuklah serbuan polis ke atas sebuah rumah pelacuran utara Kemboja, Anlong Veng pada November lalu.

"Kanak-kanak perempuan telah diselamatkan tetapi masih lagi berada dalam ketakutan. Paling muda berusia 13 tahun dan diseludup dari Vietnam," kata seorang wartawan New York Times, Nicholas Kristof melalui Twitternya yang menyokong perjuangan Somaly.

Para pakar pemerdagangan berkata, perbuatan tersebut telah mencetuskan persoalan mengenai isu keselamatan dan persetujuan pihak pekerja seks.

Bagi Somaly yang menubuhkan organisasi antipemerdagangan, Bertindak untuk Wanita Dalam Situasi Membimbangkan (AFESIP), tidak ada wanita yang wajar bekerja sebagai pelacur.

Bagaimanapun, Tania Do Carmo dari Chab Dai yang juga sebuah kumpulan antipemerdagangan di Kemboja menyifatkan liputan media antarabangsa terhadap serbuan itu tidak beretika. Ia melanggar undang-undang antipemerdagangan Kemboja dan hanya mahu mensensasikan isu yang sememangnya sangat kompleks.

"Melakukan liputan terhadap kanak-kanak yang berada dalam situasi sangat traumatik tanpa persediaan dianggap sebagai tidak beretika. Tidak sesuai dan memiliki sifat voyerisme (keseronokan mengintip atau melihat sesuatu yang memberikan kepuasan seksual) apabila melakukan perkara tersebut di negara sedang membangun seperti Kemboja," ujar Do Carmo.

Selamatkan pelacur

Menurut AFESIP yang terlibat secara langsung dengan operasi menyelamat, pihaknya telah melepaskan kira-kira 7,000 orang wanita dan kanak-kanak perempuan di Kemboja, Laos dan Vietnam sejak tahun 1997.

Di Kemboja sahaja, terdapat lebih 34,000 pekerja seks berdasarkan kepada data yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan pada tahun 2009.

Amat sukar untuk membezakan antara mangsa dan pekerja seks dengan rela.

SOMALY (kiri) bergambar kenangan dengan Ratu Sofia dari Sepanyol semasa kunjungan kerabat diraja itu ke Kemboja.


Somaly yang menganggar usianya dalam lingkungan awal 40-an kerana tidak mengetahui tahun tepat kelahiran telah dijual di sebuah rumah pelacuran ketika remaja oleh seorang lelaki sama ada datuk atau pak ciknya.

Kemudian, dia dirogol dan didera berulang-kali sehingga dia berjaya melarikan diri selepas menyaksikan kawannya dibunuh di hadapannya.

"Saya begitu patah hati," rintihnya sambil menambah pengalaman dijual merupakan sesuatu yang tidak mungkin dilupakan. Ia juga telah menyebabkan dia terlibat dalam kempen antipemerdagangan manusia.

Dalam kempennya, Somaly mengambil pendirian yang sangat kontroversi iaitu semua pekerja seks ialah mangsa kerana tiada wanita yang mahu bekerja di rumah pelacuran.

"Kadangkala terdapat wanita memberitahu saya bahawa mereka memilih untuk menjadi pelacur. Tetapi, apabila ditanya adakah mereka mahu anak mereka juga menjadi pelacur, mereka segera berkata, tidak," katanya lagi.

Perkara tersebut telah menguatkan kepercayaan Somaly terhadap operasi serbuan ke rumah-rumah pelacuran sebagai alat untuk menentang pemerdagangan manusia.

Dibantah pertubuhan hak asasi

Apa yang dibuatnya turut menaikkan kemarahan beberapa aktivis lain seperti Rangkaian Pekerja Seks Asia Pasifik yang mempertikai tindakan tersebut dengan mengatakan bahawa terdapat keperluan hak asasi pekerja seks untuk tidak diselamatkan.

Menurut laporan Pemerhati Hak-Hak Asasi Manusia 2010 yang berpusat di New York, operasi serbuan penyerbuan dan anggota polis berada di jalan-jalan tempat pekerja seks bekerja adalah tidak efektif, malah merupakan pencabulan hak-hak pekerja seks.

Organisasi yang diketuai oleh Somaly, AFESIP turut dikritik kerana menerima kaedah polis Kemboja menahan pekerja seks. Malah, Kumpulan hak asasi antarabangsa, Human Right Watch (HRW) melihat ia satu penahanan sewenang-wenangnya ke atas individu yang tidak bersalah.

Namun, Somaly tidak mengendahkan penilaian HRW itu.

"Apabila seorang kanak-kanak perempuan dibunuh di rumah pelacuran, adakah HRW pergi menyelamatkan mereka? Jadi, siapa mereka sebenarnya? Ketika saya berada di rumah pelacuran, salah seorang rakan saya dibunuh. Ada HRW ke sana? Tidak!" bentaknya.

"Pertama kali tiba ke rumah perlindungan, mereka tidak mahu tinggal kerana mereka tidak kenal kami," cerita Somaly menambah wanita itu sungguh tertekan disebabkan kerja-kerja seks.

Mereka mahu tinggal bersama-sama rakan-rakan yang rapat di rumah pelacuran.

"Saya selalu berkata, 'Tolong tinggal di sini untuk satu atau dua hari, anggap seperti sedang bercuti'," katanya dan menambah, jika wanita terbabit memilih untuk terus tinggal di rumah pelacuran, dia akan menghormatinya.

"Saya tidak akan memaksa mereka, saya memberi mereka peluang," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: