Wednesday, June 20, 2012

Semua manusia buat silap – Hanez Suraya

HANEZ dan keluarganya menerima baik kehadiran Awi. Bagi Hanez, apa yang dilakukan kekasihnya itu adalah kesilapan pada masa lampau.


Setelah agak lama berteka-teki mengenai status hubungan pelakon Hanez Suraya dengan penyanyi Awi Rafael, akhirnya ia terbongkar jua. Mereka berdua memilih untuk tidak berahsia lagi tentang cinta yang telah bertaut.

Hanez, 27, yang sebelum ini menafikan status perhubungan mereka yang sudah terjalin selama tiga bulan, akhirnya bertindak terbuka dengan mendedahkan status yang sebenar.

Perkenalan mereka bermula ketika pengurus Awi menghubunginya untuk mempelawa menjadi model klip video untuk single terbaharunya, Asalkan Aku OK.

Kosmo! menemu bual Hanez pada majlis makan malam istimewa bersama pelakon 3 Janji di Luna Bar, Pacific Regency Hotel, Kuala Lumpur.

Selain bercakap tentang hubungan cinta mereka, Hanez turut memberi sedikit kenyataan tentang penyebaran gambar lama kekasihnya itu yang disifatkan agak liar.

Kosmo!: Kenapa sebelum ini Hanez menafikan mengenai status hubungan ini?

HANEZ: Sebelum ini saya bukan ingin menyorok mengenai hubungan ini. Saya mahu dia bersuara dahulu kepada rakan media perhubungan ini kerana sebagai wanita, saya rasa biarlah pihak lelaki yang bersuara dahulu.

Apa sifat Awi yang membuatkan anda menyukainya?

Pada mulanya, saya tidak menyukai dia kerana saya menyangka dia seorang yang ‘poyo’. Saya hanya meminati lagu dendangannya, Bila Aku Jatuh Cinta. Namun bila sudah mula mengenalinya, barulah saya tahu bahawa dia seorang yang suka mengambil berat, menghormati orang lain dan bertanggungjawab. Saya senang bersama dengannya.

Adakah Awi dapat memahami kerjaya anda sebagai seorang pelakon?

Buat masa sekarang ini, dia sedang membiasakan diri dengan waktu kerja saya. Kadangkala kami ada berselisih faham mengenai waktu kerja yang berbeza. Walaubagaimanapun, dia sentiasa menyokong kerjaya saya dan saya sentiasa menyokong kerjayanya.

Anda berdua selalu meluangkan masa bersama?

Bergantung kepada waktu bekerja, sekiranya ada masa terluang kami akan menghabiskan masa bersama. Keluarga pun mengetahui hubungan kami. Jadi tiada masalah untuk kami keluar bersama.

Komen sikit mengenai aksi mesra anda dan pelakon sinetron popular Indonesia, Randy Pangalila dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman. Apa reaksi Awi mengenai itu?

Babak cium itu sebenarnya hanya lakonan dan dibuat dengan menggunakan teknik lakonan dan kamera. Ianya bukan aksi sebenar. Dia menerimanya dengan hati terbuka dan asalkan itu hanya untuk tuntutan kerja. Dia juga sentiasa pesan supaya saya pandai menjaga diri dan sebagai wanita perlu tahu batas-batas pergaulan.

Baru-baru ini tersebar gambar Awi yang bertatu dan kehidupan liar dia bersama beberapa wanita. Bagaimana anda melihat isu tersebut?

Jujurnya, saya dan keluarga menerima dia seadanya. Lagipun itu merupakan gambar dan kehidupan lampau dia. Sebagai manusia kita semua ada membuat kesilapan pada masa lalu.

Apa perkembangan terbaharu anda?

Saya telah terbabit drama Suri bermula 11 Jun lalu menerusi slot Azalea di TV3. Dalam drama tersebut saya membawa watak seorang yang sangat daif. Kemudian saya akan memulakan penggambaran drama di bawah produksi Brand Management Group (BMG).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: