Tuesday, June 5, 2012

Riang Karnival Boling Hari Ibu 2012


PARA ibu dihiburkan dengan persembahan peniru lagak Michael Jackson, S. Surendran.


PELBAGAI acara dianjurkan untuk meraikan Hari Ibu 2012 pada 13 Mei lalu. Antaranya, Karnival Boling Perpaduan Keluarga.

Karnival tersebut menyaksikan 48 famili berentap sambil mengeratkan ikatan kekeluargaan selain mengukuhkan perpaduan di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid, Petaling Jaya baru-baru ini.

Disertai oleh keluarga pelbagai kaum, karnival anjuran bersama SportsUnite, Maggi dan Sunway Megalanes itu sangat meriah serta mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga ada enam keluarga terpaksa berputih mata tidak dapat bertanding. Begitupun, mereka turut meraikan karnival tersebut.

Karnival bermula dengan acara memotong kek oleh para ibu dan penyerahan bunga ros kepada semua ibu yang hadir sebelum kejohanan bermula pukul 8.30 malam.

Majlis tersebut gamat seketika apabila hadirin dipertontonkan dengan persembahan peniru lagak Michael Jackson dari Malaysia, S. Surendran yang membuat persembahan percuma sebagai penghargaan kepada semua ibu.

Setiap keluarga yang mengambil bahagian perlu mempunyai tiga pemain dan perlu menyenaraikan ibu sebagai salah seorang pemain.

Ketika masing-masing sibuk berjuang membuat jatuhan pin buat pasukan masing-masing, mereka dihiburkan dengan lagu-lagu yang ditujukan khas untuk ibu seperti lagi Bonda dendangan M. Nasir dan You Raise Me Up, nyanyian Josh Gorban.

Lima pasukan teratas memenangi hadiah wang tunai antara RM300 hingga RM1,000 bersama medal dan hamper Maggi.


Aktiviti sebegini mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.


Pemenang tempat ke-6 hingga ke-10 turut membawa pulang hadiah berupa medal dan hamper Maggi. Hadiah istimewa untuk siri balingan tertinggi turut diberikan kepada lapan kategori iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan bawah 12, bawah 15, bawah 18, ibu dan bapa.

Makanan ringan dan makanan popular Mi Maggi dalam mangkuk turut disediakan untuk peserta selepas kejohanan.

Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada kaum ibu yang banyak berkorban dalam mendidik anak-anak dengan penuh kesabaran, kasih sayang hingga menjadikan mereka semua berjaya dalam hidup.

"Kaum ibu ialah pemenang yang sebenar dan 13 Mei merupakan hari kemuncak untuk menyatakan kasih sayang yang tidak terhingga kepada ibu kita.

"Bagi kami, tiada yang menang atau kalah di karnival ini. Semua 48 keluarga yang bertanding menang dari segi mengenang jasa dan kasih sayang dicurahkan ibu kepada keluarga," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: