Friday, June 1, 2012

Pertahan kubu

BERDIRI dari kiri: Anas (Go Gerila!, Adi (6ixth Sense), Dimas (Hujan) duduk dari kanan, Zimi (Sofazr) dan Taja (Black & Parallax berusaha keras mencurahkan kreativiti terakhir mereka untuk mempertahankan kubu sekali gus muncul sebagai juara sulung Versus pada malam ini.


MEREKA tidak pernah menyangka diberi kebebasan bereksperimentasi dengan muzik dan bersaing dalam satu pentas yang sama. Program realiti Versus di TV9 menjadi platform kepada lima band hebat iaitu Hujan, Sofazr, 6ixth Sense, Black & Parallax dan Go Gerila! untuk mencabar diri mengubah muzik malar segar menjadi muzik baharu buat peminat Malaysia.

Selama lapan minggu bertempur tanpa sebarang penyingkiran, malam ini adalah penentuan siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara program realiti Versus sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000.

Tepat pukul 9 malam di TV9, 6ixth Sense, Black & Parallax, Go Gerila!, Hujan dan Sofazr bakal mengegarkan Space U8, Shah Alam, Selangor dengan konfrontasi terakhir mereka.

Jika setiap minggu mereka diberi cabaran untuk mengubah dua buah lagu lama menjadi baharu, tetapi untuk malam final, mereka diberi tugasan menggubah empat buah lagu yang bakal memicu adrenalin peminat Malaysia.

Hujan mahu cuti

Berdepan dengan cabaran yang getir, Dimas yang mewakili kumpulan Hujan mengakui terpaksa mengenepikan semua urusan lain untuk praktis dan mengubah empat buah lagu lama menjadi baharu pada malam final ini.

"Memang mencabar dan tidak cukup masa. Selain fokus untuk Versus, kami juga sedang menyiapkan album baharu Hujan. Jika sebelum ini kami memperuntukkan empat atau lima hari untuk program ini dan selebihnya untuk album baharu Hujan, tetapi untuk malam final, kami terpaksa mengambil masa seminggu semata-mata menggubah empat buah lagu," ujarnya mengenai kumpulan Hujan yang bakal tampil dengan satu kejutan pada malam itu nanti.

Hujan bakal membawakan sebuah lagu baharu iaitu Ke Selatan dan dua buah lagu medley iaitu Lamunan Terhenti serta Dan Bila Esok pada malam final. Tidak cukup dengan itu, Hujan dan juga empat kumpulan lain juga perlu bersedia dengan sebuah lagu untuk final battle Versus.

Ditanya mengenai penampilan Hujan dengan muzik joget dalam persembahan sebelum ini, ungkap Dimas, kumpulan Hujan mahu peminat tahu sisi lain yang terdapat pada Hujan.

"Kami menyertai Versus kerana ia merupakan platform yang bagus untuk kami muncul mengadakan persembahan buat peminat setiap minggu di kaca TV. Bukan itu sahaja, kami juga mahu peminat tahu sisi lain yang terdapat pada Hujan yang mereka tidak tahu selama ini.

"Hujan juga teruja berkongsi pentas yang sama dengan empat kumpulan hebat lain untuk mengubah lagu," ujarnya ketika ditemui di Hardware Cafe, Space U8.

Mengakui peluang kemenangan boleh berpihak kepada salah sebuah daripada lima kumpulan yang bertanding, tutur Dimas, paling utama Hujan berharap dapat terpilih untuk membuat persembahan pada battle final nanti.

"Memang kami berharap untuk menang, tetapi semua kumpulan ada peluang kerana masing-masing ada kelebihan. Cuma, Hujan paling berharap dapat pergi sampai ke battle terakhir," jelasnya.




Ditebak dengan soalan, jika menang, apa yang bakal mereka lakukan dengan duit sebanyak RM200,000, kongsi Dimas, paling utama mereka akan pergi bercuti, kerana sudah berhempas-pulas bekerja untuk Versus dan menyiapkan album baharu Hujan.

"Ya, kami mahu bercuti. Dalam tahun ini sahaja, hidup kami begitu tertekan. Hujan bukan sahaja muncul dengan konsert akustik tetapi juga terlibat dengan Versus dan album baharu. Selain bercuti kami juga akan peruntukkan duit itu untuk studio rakaman dan perniagaan baju Hujan dalam talian," katanya lagi.

Jika Hujan dengan agenda mereka, bagi band Go Gerila! pula, mereka belum menentukan sama ada bakal kekal dengan kumpulan Go Gerila! selepas tamat Versus.

Go Gerila! tak gentar

"Kami tidak buat keputusan lagi. Sebabnya, selepas ini saya dan Aizat ada projek muzik sendiri. Amir pula ada album solo, tetapi, Insya-Allah kalau tiada aral melintang mungkin Go Gerila! akan keluar dengan single dulu," ujar Anas yang merupakan mastermind dalam pembentukan semula lagu-lagu pertandingan pada setiap minggu.

Berkongsi perasaan menyertai Versus, ujar Anas, Go Gerila! tidak menyangka mampu menarik peminat yang ramai meskipun mereka adalah kumpulan yang baru ditubuhkan semata-mata untuk menyertai pertandingan tersebut.

"Sebelum ini kami tidak pernah berharap dapat masuk battle sebab tahu ia adalah 100 peratus daripada undian peminat. Tapi, tak sangka pula kami berjaya masuk battle sebanyak empat kali. Alhamdulliah, peminat dapat terima muzik yang Go Gerila! bawa dalam program ini," ujarnya.

Mengakui idea menubuhkan Go Gerila! datang daripada dirinya, Anas memberitahu, mereka tidak gentar untuk bermain dengan muzik yang tidak pernah dicuba selama ini.

"Kami mahu suntik sesuatu yang baharu untuk peminat muzik Malaysia. Versus memang merupakan platfom yang baik untuk kami memuntahkan semua kreativiti yang ada," jelasnya.

Mengulas mengenai kemenangan pula, ujar Anas, jika Go Gerila! menang, mereka akan memperuntukkan duit kemenangan itu untuk pembinaan studio dan mungkin merancang perjalanan yang lebih jauh untuk kumpulan Go Gerila!.

Eksperimen 6ixth Sense

Bagi kumpulan 6ixth Sense pula, walaupun menyedari mempunyai peminat yang ramai, mereka tidak pernah meletakkan harapan boleh menang dalam pertandingan Versus.




Akui ketua kumpulan 6ixth Sense, Adi, walaupun Go Gerila! kumpulan yang baharu mereka mampu memberi muzik yang begitu maju, berkualiti dan bagus.

"Kami masuk Versus sebab kami suka bermain dengan pelbagai jenis muzik. Kalau ikutkan, kami mahu buat muzik yang variati untuk album 6ixth Sense, tetapi terpaksa akur dengan pengurusan yang mahukan kami buat sesuatu yang pendengar suka. Versus merupakan platform untuk kami bereksperimen dengan muzik," ujarnya mengenai 6ixth Sense yang bakal muncul dengan lagu baharu berjudul Hossi untuk malam final nanti.

Keseimbangan Sofazr

Bagi Zimi dari band Sofazr pula, dia mengakui, Sofazr pada mulanya agak gentar untuk bereksperimen dengan muzik dan terlalu berhati-hati dalam mengubah lagu lama menjadi lagu baharu.

Malah, mereka terpaksa mengimbangi selera juri dengan selera peminat.

"Juri mahu kami tampil dengan muzik yang lebih berbeza, manakala penonton juga mempunyai pandangan tersendiri. Mereka lebih suka mendengar muzik yang sedap. Kami cuba seimbangkan kehendak juri dan penonton. Sebab itu, dalam persembahan Sofazr setiap minggu ada bahagian-bahagian muzik yang kami tidak ubah demi peminat," ujarnya.

Mengakui berada dalam tekanan lebih-lebih lagi untuk malam final, apa yang mampu dilakukan Sofazr adalah mereka akan tampil dengan kelainan dan memberi yang terbaik pada malam ini.

"Kami sedar kami berada dalam kedudukan paling bawah dalam senarai undian peminat. Tetapi, kami berharap lagu baharu Sofazr iaitu Berakhir dan dua lagu medley iaitu Basikal Tua daripada Allahyarham Sudirman dan Inilah Nasibku daripada kumpulan Nico dapat memuaskan hati juri dan peminat pada malam nanti," katanya yang berharap untuk muncul sebagai juara.

Jika Sofazr pernah muncul dua kali dalam persembahan battle, Black & Parallax pula sekadar mampu membuat persembahan battle sekali sahaja.

Ujian Black & Parallax

Menurut Taja yang merupakan 'kepala' kumpulan Black & Parallax, dia mengakui berasa sedikit kecewa kerana berpeluang hanya sekali sahaja muncul dalam persembahan battle.




Sedar setiap persembahan battle yang dipilih adalah menerusi undian peminat, jelas Taja, mungkin persembahan yang ditonjolkan Black & Parallax tidak cukup padu bagi peminat.

"Memang ada rasa kecewa sebab battle ini penting untuk kami sebagai kumpulan muzik membuktikan tahap kreativiti kami mengubah muzik sampai ke tahap mana. Tetapi, kami juga bersyukur kerana dapat menyertai battle sekali pada minggu ketiga dan menang menentang kumpulan 6ixth Sense pada malam itu," jelasnya.

Bakal muncul dengan lagu baharu yang tajuknya masih lagi dalam perbincangan untuk final Versus, Taja memberitahu, lagu tersebut merupakan lagu yang benar-benar akan menguji tahap vokal Black.

Malah, lagu itu lebih sukar dinyanyikan daripada lagu Drama King yang pernah Black bawa sebelum ini.

"Selain itu, Black & Parallax juga akan menyanyikan dua lagu medley iaitu Sekadar Di Pinggiran dan Merisik Khabar," ujarnya.

Menyentuh tentang perjalanan karier kumpulan itu selepas tamat Versus, ujar Taja, mereka belum membuat sebarang keputusan sama ada Black dan Meet Uncle Hussien (MUH) akan bersatu atau tidak.

"Kami adalah dua entiti yang berbeza. Baik Black mahupun MUH masih lagi tidak buat keputusan untuk bersatu sebagai Black & Parallax selepas tamat Versus. Memang ramai peminat mahu lihat kami bersatu. Kemungkinan, kami cuma akan buat projek khas Black & Parallax sahaja," ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: