DUA tahun berturut-turut, DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) telah menganjurkan anugerah DiGi WWWOW Internet For All Awards bagi meraikan bakat-bakat dari seluruh pelosok Malaysia dalam bidang media sosial, kandungan digital dan e-dagang.
Bagi tahun ini, 16 kategori telah dipertandingkan iaitu Top Blogger Bawah 15 Tahun, Top Makan-Makan, Top Gosip, Otai Gajet, Anugerah Kedai Online, Tokoh Blogger, Anugerah Internet Untuk Kebaikan, Video Paling Lawak, Filem Pendek Terbaek, Tokoh Wartawan Foto, Bintang Video Terlampau, Perjumpaan Media Sosial Terbaek, Usahawan Internet Harapan, App Paling Popular serta dua anugerah khas Anugerah DiGi WWWOW Pilihan Ramai 2012 (berdasarkan undian popular) serta Anugerah Tokoh DiGi WWWOW 2012 (The Best of The Best).
Pertandingan tersebut telah berlangsung selama tiga bulan bermula 24 Mac hingga 27 Mei 2012 dan pemenang juga telah membawa pulang hadiah-hadiah lumayan.
Bertemakan Ilhami, pertandingan tersebut sememangnya telah menarik pengguna internet terutama golongan belia untuk menyertai satu-satunya pertandingan yang menghargai bakat mereka di medium ini.
"Kebelakangan ini, boleh dikatakan hampir kesemua aspek kehidupan di Malaysia telah memperolehi sentuhan daripada penggunaan internet. Bagi anugerah tahun ini, kami ingin mencapai dua perkara. Pertama, memperluaskan kategori WWWOW bagi memperlihatkan kepelbagaian inovasi Internet - dari bisnes dan kreativiti hingga ke komuniti dan budaya.
"Kedua, kami ingin agar WWWOW mempercepatkan proses 'pendebungaan silang' iaitu menggunakan inovasi dalam satu bidang bagi mencetuskan inovasi di bidang yang lain. Itulah sebabnya kami telah mereka bentuk laman wwwow.my yang baru sebagai inspirasi bagi seluruh rakyat Malaysia," jelas Ketua Bahagian Khidmat Pemasaran DiGi, Sulin Lau.
Tambahnya, tahun ini, dengan pengenalan kategori-kategori baharu seperti Filem Pendek, App of the Year dan Tokoh Usahawan serta hadiah-hadiah yang cukup lumayan yang ditawarkan, mereka berharap DiGi WWWOW Internet for All Awards 2012 mampu menjadi kayu ukur kepandaian dan kreativiti yang ada di Malaysia dari segenap lapisan masyarakat.
Pada 9 Jun lepas, telah berlangsung acara akhir DiGi WWWOW Internet For All Awards 2012 dan jika dibandingkan dengan tahun lepas, pertandingan tersebut telah menerima sambutan yang memberangsangkan.
Selain memilih orang yang berpengalaman dalam bidang internet, antara juri dari kalangan artis yang dipilih untuk bekerjasama dengan DiGi bagi memilih pemenang pertandingan ini ialah Lisa Surihani, Sharifah Sofia, Chef Anis Nabillah dan Altimet.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: