Setelah drama seram berjudul Kekasihku Seru mendapat sambutan yang hangat daripada penonton kira-kira tiga tahun lalu serta dinobatkan sebagai Drama Rantaian Terbaik Anugerah Skrin 2009, kini drama berkenaan tampil dengan sekuel terbaharunya.
Menariknya, drama tersebut tidak menggunakan tajuk asal yang sudah semestinya cukup sinonim dalam kalangan penonton, sebaliknya drama terbitan Filmscape Sdn. Bhd. itu menggunakan judul baharu iaitu Waris.
Pengarahnya, Kabir Bhatia menjelaskan bahawa pertukaran judul tersebut dilakukan setelah mengadakan perbincangan bersama penulis skrip, Mira Mustaffa yang juga isterinya serta Tommy CT Loh dan Nik Naemah dengan pihak TV3.
“Melalui perbincangan yang dilakukan, kami akhirnya sepakat untuk mengubah judul drama ini bagi mengikut kesesuaian jalan cerita yang ditampilkan memandangkan ia memberi fokus kepada waris-waris daripada siri pertama.
“Bagaimanapun, saya yakin pertukaran tajuk yang dibuat ini bukan satu masalah besar kerana terdapat beberapa babak penting daripada Kekasihku Seru yang akan ditayangkan semula pada episod pertama drama ini,” ujarnya dalam satu majlis pelancaran baru-baru ini.
Drama bersiri Waris mengisahkan tentang kehidupan Rashad dan Marisa selepas 10 tahun yang tenang bersama anak lelaki mereka iaitu Amar. Ketika bercuti di Terengganu, mereka terserempak dengan sebuah upacara pengebumian seorang wanita yang telah dibunuh secara kejam.
Masih mengekalkan pelakon-pelakon asal seperti Emelda Rosmila (Marisa), Datin Paduka Umie Aida (Mas Suri), Fizz Fairuz (Rashad), Hairi Othman (Waris) dan Tengku Sariza atau Kuza (Mas Ayu), drama berkenaan sudah mula disiarkan dalam slot Seram TV3 sejak 14 Jun lalu setiap Khamis pada pukul 10 malam.
Menurut Kabir, untuk menghasilkan sebuah drama sekuel seperti Waris, dia mengakui terpaksa berhadapan dengan kesukaran terutamanya mengambil kira pelbagai aspek agar ia tidak menyimpang jauh daripada cerita asal.
Ujarnya, dia juga terpaksa memuaskan hati para penonton yang pernah setia dengan drama Kekasihku Seru sebelum ini dan menyedari penonton mengharapkan yang terbaik terhadap naskhah terbaharunya itu.
“Apa yang paling ditekankan sudah tentu jalan ceritanya supaya penonton yang pernah menonton Kekasihku Seru tidak terkeliru dan dapat memahami jalan cerita yang disampaikan,” jelasnya.
Rasa kekok
Salah seorang pelakon utama drama tersebut, Emelda Rosmila ketika ditemui berkata, pada mulanya agak sukar untuk memegang watak sebagai Marisa memandangkan ia merupakan watak yang pernah dipegangnya tiga tahun lalu.
Menurut Emelda, ketika mula-mula menjalani penggambaran drama tersebut, dia berasa agak kekok dan terpaksa mendalami semula watak tersebut dengan menonton semula drama Kekasihku Seru.
“Bagi saya, salah satu tarikan drama ini sehingga mendapat sambutan hangat penonton adalah perbezaan berbanding drama-drama hantu yang pernah disiarkan di televisyen sebelum ini. Ia tidak terlalu fokus kepada karakter hantu, tetapi kekuatannya menjurus kepada jalan cerita yang dipaparkan.
“Berdasarkan sambutan yang diterima daripada penonton terhadap drama Kekasihku Seru sebelum ini, saya yakin Waris juga bakal mendapat sambutan yang sama memandangkan memang ramai yang menantikan kesinambungan jalan ceritanya,” ujar Emelda.
Pelakon tersebut juga turut meluahkan rasa gembiranya apabila dapat kembali semula berlakon di bawah arahan Kabir dan mengakui tidak sukar untuk mereka bekerjasama.
“Bekerja dengan Kabir tidaklah sukar dan dia banyak membantu saya untuk menghayati kembali watak yang saya pegang. Sebagai pelakon saya cuma memberikan yang terbaik agar lakonan saya dalam drama ini dapat terus memberi impak kepada penonton,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: