Tuesday, June 5, 2012

Munchy’s ambil alih Kellogg di China

PERKUKUH JENAMA...Tan bersama antara barisan produk Munchy’s.
PERKUKUH JENAMA...Tan bersama antara barisan produk Munchy’s.

MUNCHY Group of Companies (Munchy’s), pengilang biskut dan wafer terkemuka, sudah mengambil alih Kellogg (Shandong) Food Co Ltd daripada The Kellogg Company (Kellogg) untuk membolehkannya memperoleh perniagaan dan aset Zhenghang Food.

Pengambilalihan aset perkilangan pertama oleh Munchy’s di China itu menjadi mercu tanda penting dalam pertumbuhan syarikat berkenaan dan suatu langkah strategik untuk mengukuhkan kehadirannya di sana.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, C K Tan berkata, Munchy’s sudah mencari peluang untuk mengukuhkan kehadiran di China untuk sekian lama dan sentiasa yakin bahawa menubuhkan atau memperoleh kilang pembuatan adalah strategi utama untuk mencapai matlamat itu.

“Pengambilalihan Zhenghang Food adalah peluang keemasan kerana ia perniagaan biskut kedua terbesar di wilayah Shandong dengan kemudahan perkilangan yang cemerlang. Perniagaan ini akan diurus dari bandar Qingdao di wilayah Shandong dan akan membuat laporan kepada ibu pejabat korporat kami di Klang,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.


Menurut Tan, pengambilalihan itu merangkumi kilang pembuatan yang terletak di Yishui, wilayah Shandong, serta rangkaian jualan dan pengedarannya sekali.


“Memandangkan kehadiran Munchy’s di China sekarang, kami meninjau untuk memperluaskan saluran pengedaran bagi mengeksport lebih banyak rangkaian produk premium ke China, kerana setakat ini kami hanya bekerjasama dengan rakan kongsi luaran untuk mengeksport ke China.

“Demikian juga, kami ingin memperkenalkan biskut keluaran syarikat di China kepada rangkaian pelanggan global yang sedia ada di 60 buah negara di seluruh dunia,” katanya lagi.


Menerusi pembelian itu, Munchy Group kini mempunyai kira-kira 700 pekerja di China, termasuk kakitangan pengeluaran dan pengurusan, manakala 1,300 kakitangan di Malaysia, sebahagian besarnya ditempatkan di kilang pembuatan berteknologi tinggi di Batu Pahat serta ibu pejabat korporatnya di Klang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: