Mizz Nina ingin ke antarabangsa
Mizz Nina bersama suaminya, Noh Hujan.

Kejayaan yang diraih menerusi album solo pertama, What You Waiting For oleh figura bernama Mizz Nina ini, sememangnya memberi suntikan semangat buat dirinya untuk tampil dengan album terbaru, Take Over yang dilancarkan seminggu lalu.

Menganggap album pertama sebagai batu loncatan buat dirinya untuk melebarkan sayap dalam industri hiburan tanah air mahupun luar negara, pemegang nama Shazrina Azman kini lebih berani mengetengahkan muzik yang lebih mantap dan segar.

Ternyata, muzik dan lagu yang dibawa dalam album kedua ini lebih bertenaga dengan sentuhan komposer dan kolaborasi penyanyi hebat yang diakui mampu memberi impak yang luar biasa.

“Dalam album ini, saya masih bekerjasama dengan produser, Colby O’Donis, di mana dia juga telah membantu saya dalam single, What You Waiting For. Dalam Take Over, terdapat dua single dari sentuhannya iaitu Hit Me Up dan Cup Of Love. Lagu yang dihasilkan olehnya bagi saya, cukup hebat dan saya yakin ia mampu menghiburkan pendengar,” katanya.

Mengakui Take Over adalah antara perkara yang menakjubkan dalam hidupnya, Mizz Nina berhasrat untuk mengetengahkan album itu bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.

“Sehingga kini, saya masih tidak percaya dapat menghasilkan sebuah album dengan karya-karya hebat dalam masa yang terdekat. Saya begitu teruja kerana dalam tempoh dua tahun sahaja, saya sudah memiliki dua buah album.

“Saya amat mengharapkan, peminat sentiasa menyokong dan memberi galakan kepada saya untuk terus berkarya dalam industri ini,” katanya.


Sanggup berhabis

Pengalaman menghasilkan album pertama nyata memberinya pengajaran yang bermakna buat dirinya untuk terus maju dalam bidang nyanyian yang diakui sudah menjadi sebahagian dalam hidupnya.

“Album pertama saya sebelum ini boleh dikatakan agak kelam kabut, mungkin kerana saya tidak ada pengalaman untuk mengendalikannya dan bagi saya, ia telah menjadi pengajaran yang paling bermakna buat saya untuk album yang seterusnya.

“Kali ini dengan pengalaman yang ada, perancangan yang lebih terperinci telah kami lakukan supaya ia lebih konsisten,” katanya.

Bercerita tentang kos yang dikeluarkan untuk menghasilkan album Take Over ini, Mizz Nina mengatakan ia bukanlah persoalan yang perlu diambil kira kerana apa yang penting baginya, Personaliti kepuasan dirinya untuk berkarya.

“Saya tidak kisah keluarkan kos yang besar kerana bagi saya, muzik yang saya perjuangkan selama ini adalah hidup dan minat saya. Saya mahu lakukan yang terbaik untuk album ini sehinggalah album Take Over ini mampu menembusi pasaran muzik antarabangsa,” katanya.


Idam cahaya mata

Menyentuh mengenai perancangan menimang cahaya mata, Mizz Nina yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinannya yang pertama bersama vokalis kumpulan Hujan, Noh pada 1 Julai ini mengatakan buat masa terdekat, dirinya masih belum bersedia untuk ke arah itu.

“Saya tidak nafi ada menyimpan hasrat untuk memiliki cahaya mata, tetapi biarlah projek album ini selesai terlebih dahulu.

“Insya-Allah, kalau semuanya berjalan dengan lancar, kami akan berusaha untuk memiliki cahaya mata memandangkan tahun ini, saya sibuk dengan album ini,” katanya.

Bagaimanapun, Mizz Nina turut mengharapkan peminat dapat mendoakan yang terbaik buat kehidupannya.