Tuesday, June 5, 2012

Izreen Azminda Kahwin Bukan Sebab Kecewa Dengan Johan As’ari

Izreen Azminda

PETALING JAYA: Pelakon Izreen Azminda berkata perancangan untuk berkahwin dengan Muhd. Riza Baharudin pada 30 Ogos depan bukan dipengaruhi perasaan kecewa selepas kegagalan hubungannya dengan aktor Johan As’ari.

Izreen atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam, 26, berkata keputusan mengahwini jurukamera bebas berusia 29 tahun itu adalah kerana dia sudah tidak sabar untuk bergelar isteri selain memiliki anak sendiri.

“Saya berkahwin bukan kerana marah, kecewa atau mahu membuktikan sesuatu kepada Johan. Tiada apa yang hendak dikenangkan, perkara itu sudah berlalu. Biarlah ia jadi teladan.

“Saya sudah bertemu dengan lelaki yang sesuai, jadi apabila Riza melamar, buat apa saya tunggu lama-lama. Lagipun, saya bukannya muda sangat. Pada tarikh pernikahan kami pada 30 Ogos depan, umur saya akan mencecah 27 tahun,” katanya kepada mStar Online.

Aktres drama Tentang Dhia itu bertunang dengan Muhd. Riza di Pusat Aktiviti Pejabat Daerah Kota Setar, Kedah pada 1 Januari lalu.

Pada majlis itu, kedua-dua pihak sudah menetapkan wang hantaran sejumlah RM19,001 dan mas kahwin RM999 untuk majlis perkahwinan yang bakal berlangsung kira-kira 10 hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ditanya mengenai kontroversi yang mendakwa tunangnya seorang lelaki yang bermasalah dan bukan seorang yang berkedudukan tinggi, Izreen berkata dia menerima lelaki itu kerana yakin dan serasi untuk hidup bersama.

“Apa juga yang pernah berlaku dalam hidup saya atau Riza adalah perkara yang lepas dan tidak mahu dikenangkan lagi. Orang luar boleh bercakap dan membuat andaian apa saja walaupun mereka tidak mengetahui cerita yang sebenar.

“Saya menerima dia kerana keserasian dan kepercayaan walaupun kami baru berkawan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Ringkas mengenai perkembangan terkini, Izreen berkata dia baru saja menamatkan penggambaran drama bersiri Suri untuk TV3 dan telefilem Janji 7 Sepi (TV9).

“Saya baru sangat menamatkan penggambaran drama Suri untuk TV3. Tidak lama lagi telefilem terbaru lakonan saya di samping Neelofa dan Beto Kusyairy berjudul Janji 7 Sepi akan ditayangkan di TV9.

“Sekarang saya sedang terlibat dengan penggambaran program Jalan Jalan Cari Makan (TV3) sebagai tetamu undangan,” katanya yang bakal muncul dengan dua filem Pak Pong dan Pecah pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: