PETALING JAYA: Pelakon jelita, Erra Fazira sekali lagi menyangkal desas-desus kononnya dia dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin telah mendapatkan khidmat kaunseling bagi mencari penyelesaian kemelut rumah tangga yang dihadapi mereka.
Beliau meminta pihak yang menggembar-gemburkan hal berkenaan agar menghentikan perkara itu.
Menurut Erra, dia tidak pernah berjumpa dengan mana-mana kaunselor untuk meminta nasihat dan menganggap khabar angin terbaru itu sebagai mengarut.
"Macam-macam cerita orang bercakap mengenai perihal rumah tangga saya dan seolah-olah mereka lebih mengetahui apa yang berlaku berbanding diri saya sendiri.
"Jadi langkah yang lebih baik adalah untuk menutup mulut daripada banyak berkata-kata dan membiarkan apa sahaja kata-kata orang kerana saya tidak berdaya untuk menutup mulut mereka," ujarnya kepada mStar Online.
Sebelum ini, media melaporkan rumah tangga yang dibina mereka kononnya goyah apabila timbul pelbagai dakwaan yang mengaitkan pasangan itu.
Dalam pada itu, Erra berkata, kehidupannya suami isteri bukanlah seperti kisah dongeng sebaliknya mereka melalui seperti mana pasangan berkahwin yang lain.
Erra memberitahu, selisih faham antara suami isteri adalah perkara biasa dan ia juga terjadi dalam perkahwinannya.
"Itu adalah perkara biasa dalam kehidupan berkahwin dan tiada apa yang perlu diperbesar-besarkan," ujarnya.
Bagaimanapun kata Erra, dia agak terkilan apabila muncul gosip-gosip keterlaluan mengenai rumah tangganya dan berharap perkara itu dapat dihentikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: