Friday, June 22, 2012

Diskaun tiket konsert Legendary di KL


JAMAL, Amy dan Zainal bakal menggegarkan Stadium Merdeka menerusi Konsert Legendary 2012 pada 30 Jun ini.


KONSERT Legendary 2012 yang menggabungkan empat legenda negara, Datuk Sheila Majid, Amy Search, Jamal Abdillah dan Zainal Abidin bakal menutup tirainya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini selepas menjelajah ke Sabah, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Meskipun Konsert Legendary 2012 di Kuching, Sarawak terpaksa dibatalkan atas faktor kurang mendapat sambutan, perkara itu tidak mematahkan semangat penganjur Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh penyanyi Zainal Abidin.

Pembatalan konsert itu merupakan satu pengalaman yang berguna buat Zainal, apabila konsert terakhir Legendary di Kuala Lumpur yang mendapat tajaan pihak DiGi dan Maybank menawarkan harga tiket yang amat menarik.

"Apa yang berlaku di Kuching, Sarawak memberi kesedaran kepada saya, tetapi dalam masa yang sama dengan kualiti yang kami berikan kepada penonton, pihak penganjur tidak boleh mengurangkan harga tiket terlalu banyak.

"Tanyalah mana-mana penonton yang datang ke konsert Legendary, semuanya berpuas hati dengan pencahayaan, kualiti bunyi serta persembahan penyanyi.

"Jadi, bagi konsert di Kuala Lumpur, terdapat diskaun sebanyak 15 peratus untuk tiket yang berharga RM600, manakala untuk tiket RM100, RM200 dan RM300, beli satu tiket percuma satu tiket," ujar Zainal yang ditemui pada majlis sidang akhbar konsert Legendary di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru, timbul persoalan adakah reputasi penyanyi legenda terjejas apabila penganjur terpaksa menurunkan harga tiket untuk menarik penonton?

Kata Zainal, penurunan harga tiket tidak menjejaskan reputasinya kerana tujuan utamanya adalah untuk menghiburkan penonton dan mendidik peminat muzik kualiti sebuah konsert berbayar.

"Saya tidak rasa apa-apa, selepas kajian dibuat memang harga tiket RM600 sangat mahal, tetapi harus diingat, kualiti yang diberikan dalam konsert Legendary tidak sama dengan konsert percuma.

"Bagi saya, ini satu permulaan untuk kita mendidik peminat muzik tentang apa itu konsert berbayar. Sekarang industri konsert berbayar sudah mati sebanyak 90 peratus kerana terlalu banyak konsert percuma. Penyanyi yang ditampilkan juga bukan sebarangan penyanyi, semuanya berpengalaman dan cukup hebat di gelanggang sendiri," katanya lagi.

Konsert yang berjaya menarik sebanyak 2,000 penonton di Sabah, 5,000 penonton di Pulau Pinang dan 8,000 penonton di Johor Bahru itu bakal menampilkan seleksi lagu yang berbeza di setiap lokasi konsert termasuk di Kuala Lumpur.

"Setiap lokasi berbeza seleksi lagunya, seperti di Kuala Lumpur, pada mulanya kami merancang untuk melakukan konsert selama dua jam sahaja, kemudian ditambah menjadi dua jam setengah. Tak mustahil, mungkin boleh jadi tiga jam," jelasnya lagi.

Tidak berakhir dengan konsert Legendary di Kuala Lumpur, menurut Zainal selepas berehat selama dua bulan, konsert Legendary akan kembali lagi tetapi menampilkan penyanyi legenda yang berbeza.

"Selepas ini akan ada pusingan kedua konsert Legendary yang menampilkan penyanyi Ella, Datuk M.Nasir, Ramli Sarip dan Datuk David Arumugam daripada kumpulan Alleycats," kata Zainal.

Buat peminat yang ingin menyaksikan konsert Legendary di Kuala Lumpur, boleh dapatkan tiket di kaunter DiGi di Sunway Piramid, The Garden Mall, One Utama dan Wangsa Walk, Wangsa Maju.

Selain itu, untuk pelanggan Maybank2u.com, mereka boleh mendapatkan diskaun tiket sebanyak 30 peratus jika pembelian dibuat menerusi Maybank2u.com. selain 100 pelanggan pertama yang membeli dua tiket berharga RM300 atau RM600 akan mendapat dua tiket percuma yang bernilai RM300 setiap satu.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.maybank2u.com atau hubungi talian 010-2211 919 atau 010-2211 991.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: