Abdul Kadir (tiga, kiri) bersama penerima lesen P lain yang disampaikan Awang Adek di SK Beris Panch
Abdul Kadir (tiga, kiri) bersama penerima lesen P lain yang disampaikan Awang
Adek di SK Beris Panchor, semalam.

BACHOK – Nelayan Bachok yang sebelum ini tidak mempunyai lesen memandu, mampu menarik nafas lega apabila 489 daripadanya menerima lesen memandu percubaan (P) kelas B2 dekat sini, semalam.

Salah seorang daripadanya adalah seorang Abdul Kadir Mamat, warga emas berusia 77 tahun dari Kampung Perupuk, Bachok.

Dia terharu dan teruja apabila kini sah memiliki lesen memandu sendiri selepas berpuluh tahun menunggang motosikal dalam ketakutan bertembung pihak berkuasa.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana selepas berpuluh tahun menunggang motosikal, akhirnya hari ini saya mendapat lesen yang sah.

“Ini adalah peluang keemasan yang sangat ditunggu terutamanya oleh penduduk luar bandar seperti golongan nelayan di sini.

“Kami penduduk Bachok berterima kasih kepada JPJ dan Jabatan Perikanan yang membuka ruang ini kepada golongan nelayan seperti kami,” katanya kepada Sinar Harian selepas menerima replika lesen P kelas B2 di dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Beris Panchor semalam.

Majlis perasmian dan penyerahan lesen disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin. Hadir sama ialah Pengarah JPJ Kelantan, Abd Ghani Che Kassim, Pengarah Perikanan Kelantan, Mohamad Mat Saman, Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid dan bekas Pengarah JPJ Kelantan, Roomai Nor Ali.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, program Satu Komuniti Satu JPJ ini adalah siri kedua bagi tahun ini.

Menurutnya, siri pertama diadakan di Lojing, Gua Musang pada 22- 23 Mac yang lalu.

“Program ini diadakan dengan harapan membawa masuk kemudahan untuk rakyat pedalaman agar JPJ sentiasa dekat di hati masyarakat, iaitu memberi perkhidmatan terus kepada rakyat agar mereka memperoleh lesen yang sah.

“Dalam masa yang sama juga, ia untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memiliki lesen yang sah sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai kemungkinan di jalan raya,” katanya kepada pemberita dekat sini semalam.

Program tersebut pertama kali diadakan di Kelantan pada 2010 iaitu dengan 666 peserta bagi tiga sesi dan jumlah itu meningkat pada 2011 dengan 854 peserta.

Manakala, Awang Adek yang ditemui berkata, program itu amat bermanfaat untuk nelayan khususnya selepas Skim Insurans Berkelompok nelayan diperkenalkan baru-baru ini.

Katanya, sekiranya nelayan memiliki lesen memandu yang sah, ia akan memudahkan urusan berkaitan insurans sekiranya terjadi kemalangan jalan raya yang membolehkan mereka menerima pampasan sehingga RM50,000.