PADA Ogos ini genap sembilan tahun, Rozita Che Wan memegang status janda. Malah sepanjang tempoh itu termasuk selepas memilih laluan sebagai anak seni selama enam tahun, nama ibu tunggal bertubuh kerengga berusia 39 tahun ini sering menjadi dikaitkan dengan lelaki itu dan ini, sama ada selebriti mahupun VIP.
Saya selesa dan reda kalau belum bertemu jodoh. Tetapi tipulah jika saya tidak langsung mengharapkan cinta sejati untuk hadir suatu masa nanti. - Rozita
Barangkali, kalau ada anugerah artis kontroversi, nama kakak kepada Ayu Raudhah ini boleh dicalonkan. Terbaru nama Rozita gempar lagi gara-gara gosip mengaitkan pula dirinya dengan pelakon bergelar duda, Beego. ‘Adegan percintaan’ termasuk mereka berpimpinan tangan di pusat membeli belah antara inti pati cerita yang tersebar.Terdahulu nama seperti Shahir Zawawi, Zain Saidin, pemain bola sepak Selangor, Asraruddin Putra Omar termasuk digosipkan bakal menjadi isteri baru kepada Datuk Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K antara yang pernah terpalit sama dengan kontroversi melanda duta Safi Rania Gold itu.
Petang Selasa lalu, di celah kesibukannya melunaskan baki dua penggambaran untuk produksi berbeza bagi drama 13 episod Miss Octopus arahan Jamal Khan (bersiaran di TV3 mulai 24 Jun ini) dan telefilem Rania Si Puteri Duyung (arahan Shaffi Khan, untuk Astro Ria 28 Jun), Rozita sempat mencuri masa untuk ditemubual B*POP.
“Saya sudah imun (kebal) dengan hal ini. Ia bukan kali pertama pun. Bukan saya mahu mendabik dada, cuma sesetengah manusia pantas menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Nama pun manusia, kita tak sempurna. Ia di luar kawalan saya dan saya bimbang masyarakat akan jadi jelak pula apabila selalu disajikan dengan cerita sebegini.
“Malah di sudut hati saya, siapa pula yang akan dikaitkan dengan saya selepas ini. Asal berlakon sama saja, ada saja cerita bertebaran. Termasuk apabila kali pertama berlakon dengan Beego untuk drama Chef Cinta siaran RTM yang penggambarannya bermula sejak April lalu,” kata Rozita membuka bicara.
Lalu, apa saja yang dilaporkan di dada akhbar dan laman maya sebelum ini mengaitkan ada rona cinta antaranya dengan Rozita memang palsu belaka. Semua yang dilaporkan itu adalah sebahagian daripada babak drama Chef Cinta yang dijalankan di pusat membeli belah The Curve dan Pavilion.
“Mungkin mereka yang terpandang itu tidak menyedari ada kamera yang merakam aksi kami. Jangankan adegan berpegangan tangan, babak berguling-guling tepi pantai pun ada. Ketika itu kami melakon babak lagu Kuch Kuch Hota Hai di Port Dickson.
“Malah, dalam drama itu pun ada babak saya berkahwin dengan Mahmud Ali Bashah. Rentetan daripada pihak kru memuat naik gambar itu di laman sosial dan keluar pula cerita saya sudah sudah menamatkan zaman bujang. Tak kurang juga timbul cerita saya sudah bertunang. Macam-macam,” kata Rozita sambil ketawa kecil sekali gus menafikan percintaan dengan Beego.
Dengan melihat apa yang acap kali diharungi Rozita terutamanya gosip mengaitkannya dengan lelaki, jelas di satu sudut yang positif ramai sebenarnya yang mahu melihat dia menamatkan zaman solo termasuk seperti merancang perkahwinannya. Apakah jalan terbaik untuk menamatkan gosip ini hanya boleh berakhir jika Rozita berkahwin?
Kenyataan Rozita sebelum ini yang secara terbuka berminat memilih ‘pucuk muda’ juga disalah erti hingga dia dicop tak sedar diri. Hakikatnya, Rozita lebih rela memilih lelaki yang lebih muda daripada berbanding dilabel sebagai perampas suami orang.
Ironinya juga, setiap artis muda yang dikaitkan dengannya berdepan dengan badi apabila kerjaya seni mereka tidak berkembang. Rozita sendiri bagaikan menyedari situasi demikian tetapi tidak melihat ia sebagai perkara serius kerana semuanya berbalik kepada soal rezeki.
Reda kalau belum ada jodoh
“SAYA tidak mahu terburu-buru mencari pasangan hidup disebabkan gosip. Jika saya nak kahwin, takkan ada langsung sebab yang seakan mendesak dan membuat keputusan drastik. Hal kahwin bukan perkara mainan dan saya sendiri pernah melalui kegagalan dengan perkahwinan pertama.
“Saya sendiri tak dapat menduga sampai bila saya harus berdepan dengan cerita sebegini. Hal kahwin pun tak pernah memberi tekanan kepada saya. Saya sudah biasa dan selagi saya tidak mengganggu sesiapa termasuk rumah tangga orang, itu sudah memadai.
“Saya selesa dan reda kalau belum bertemu jodoh. Tetapi tipulah jika saya tidak langsung mengharapkan cinta sejati untuk hadir suatu masa nanti.
“Saya juga tak perlu susah hati mengenang hal tak kahwin lagi kerana kerjaya seni dan keluarga sudah cukup menyokong,” katanya yang tanpa berselindung masih berhubungan dengan Zain sebagai kawan.
Diaju dengan persoalan tidakkah Rozita sepi termasuk hal membabitkan tuntutan batin, Rozita tidak pernah langsung memikirkan hal itu. Sebaliknya dengan cara menyibukkan diri mencari rezeki dengan berlakon, Rozita larut dengan dunianya sendiri.
“Ikutkan memang penat jadi pelakon. Tapi mahu atau tidak, saya harus kuat kerana inilah punca rezeki. Balik rumah saja saya sudah cari bilik tidur. Luculah pada satu malam, anak saya Aniq mengajak saya menemaninya menonton perlawanan bola sepak EURO 2012 dan saya bersetuju. Tetapi selepas masuk bilik tidur, sampai ke sudah saya tidak keluar bilik disebabkan kepenatan,” katanya yang kini turut beraksi dalam drama Cinta Luar Biasa disiarkan menerusi TV2.
Dalam perkembangan lain, Rozita juga tetap mengambil tahu mengenai perniagaan butik tudung perkongsian keluarga dipanggil Padusi yang beroperasi di 17-1, Jalan USJ 10/1F, UEP Subang Jaya, 47630 Selangor. Ia beroperasi setiap hari waktu pejabat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: