PASIR GUDANG – “Walaupun saya tahu bakal isteri saya menghidap kanser, tetapi saya tetap ingin berkahwin dengannya kerana berasa teramat bahagia dan gembira berada di sampingnya,” luahan ikhlas suami kepada pesakit kanser hidung tahap empat, Norhayati Rohani, 26, dengan linangan air mata.
Abd Anip Rusdi, 26, berkata, perkenalan bersama Norhayati ketika sama-sama bekerja di sebuah kilang sekitar bandar raya ini menimbulkan bibit-bibit cinta yang terlalu indah.
Bagaimanapun, menurutnya, harapannya untuk melihat isterinya sembuh selepas berkahwin dua tahun lepas musnah apabila penyakit kanser yang dihidapi isteri sejak 2008 semakin serius.
“Isteri saya kerap mengalami sakit kepala dan sangkakan biji di lehernya hanya biji angin, tetapi selepas beberapa kali menerima rawatan di hospital barulah disahkan kanser hidung.
“Walaupun saya tahu dia sakit, tetapi saya nekad ingin memperisterikan dia dengan harapan penyakitnya sembuh, tetapi selepas melahirkan anak tunggal kami, penyakitnya semakin serius,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.
Abd Anip berkata, pada Disember 2011 sehingga Februari lalu, Norhayati hanya terlantar, tetapi sedikit pulih selepas beberapa kali menjalani rawatan kemoterapi.
Menurutnya, kini keadaan Norhayati semakin parah apabila kanser berkenaan mula merebak ke bahagian mata sehingga sebelah matanya sudah tidak nampak dan kulit di bahagian dahi menggelembung pecah.
“Walaupun saya bakal kehilangan dia selepas doktor sahkan isteri saya hanya menunggu masa dan tiada harapan lagi untuk sembuh, tetapi saya perlu tabah demi masa depan anak tunggal kami.
“Berat sebenarnya ujian yang ALLAH beri ini, tetapi cinta dan sayang saya kepada dia tidak pernah berubah. Saya berjanji akan bahagiakan dia sehingga ke akhir hayat dia,” katanya.
Katanya, dia kini hilang punca pendapatan kerana terpaksa berulang-alik menghantar Norhayati membuat rawatan di hospital dan hanya mengharapkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Harapan saya kalau boleh ingin melihat dia sihat, tetapi saya tahu itu perkara yang mustahil. Bagaimanapun saya tetap berdoa agar ada keajaiban daripada ALLAH SWT untuk memulihkan kembali isteri saya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Jasa Pasir Gudang, Norwati Abd Manaf berkata, pihaknya akan berurusan dengan pihak Hospital Sultan Ismail untuk mendapat pengecualian semua bayaran rawatan Norhayati.
“Kita akan turut membantu dari segi keperluan lain untuk meringankan beban yang ditanggung, selain selalu memberikan semangat kepada Abd Anip agar tabah dengan ujian ini.
“Kita bersimpati dan berdoa agar Norhayati kembali sembuh,” katanya yang membuat lawatan ke rumah pesakit kronik di Taman Cendana bersama dengan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang, di sini, kelmarin.
Tuesday, June 5, 2012
Cinta sampai hujung nyawa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: