|
MEMILIKI butik pengantin dan salun D Ratu Sehari yang teletak di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor, Nur Amy Eika Daud, 46, atau lebih senang disapa dengan panggilan Eika Haizan, ceria memulakan tugas harian seawal jam 10 pagi.
Menurut Eika Haizan, butik miliknya bukan hanya menyediakan busana serta dandanan kepada pengantin, malah beliau turut menawarkan segala keperluan untuk perkahwinan termasuk katering dan perkhidmatan kanopi.
Menyingkap kembali latar belakang kehidupan Eika Haizan, sebelum bergelar usahawan butik pengantin dan salun, aktiviti menjahit dan mendandan rambut sememangnya sudah sebati dengan dirinya sejak zaman kanak-kanak lagi.
Anak jati Kampung Parit Raja, Batu Pahat, Johor itu kemudian mempelajari teknik mendandan serta menggunting rambut secara profesional di Akademi Salun Thomas Guy di Johor Bahru pada tahun 1989.
Menurutnya, setelah kematian ibunda tercinta, beliau nekad untuk berhijrah keluar dari kampung bagi mengubah nasib hidupnya.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang agak susah. Setelah kematian ibu, saya kehilangan tempat bergantung. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berhijrah ke bandar,” katanya.
Berbekalkan sijil yang diperoleh di akademi tersebut, beliau berhijrah ke ibu negara untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan minatnya pada tahun 1993.
“Setelah berhijrah ke ibu kota, pada awalnya saya bekerja di sebuah salun di Bangi. Di situ, saya menggunakan segala kemahiran ketika belajar.
“Semasa bekerja di situ juga saya berusaha mengumpul sedikit simpanan bagi merealisasikan impian memiliki sebuah butik sendiri,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.
Setelah mengumpul modal RM800, beliau telah berjaya membuka sebuah salun di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi pada tahun 1998.
|
|
“Saya mula menjalankan perniagaan tersebut dengan hanya membawa sebilah gunting. Dalam masa yang sama, saya juga mula mencuba menjahit baju pengantin," katanya lagi.
Sepanjang 14 tahun beliau mengusahakan butik itu, terdapat pelbagai cabaran yang harus ditempuhinya. Menurutnya, cabaran yang paling perit yang dihadapinya adalah untuk berperang dengan hasad dengki manusia.
Ketika ditanya ke mana hala tuju perniagaan butik pengantin, salun dan katering miliknya dalam jangka masa 10 tahun lagi, beliau ingin melebarkan perniagaannya dengan membuka cawangan di tempat lain.
“Buat masa sekarang, saya hanya menguruskan sebuah butik sahaja. Jika dimurahkan rezeki, saya akan membuka cawangan di sekitar ibu negara,” katanya.
Kini, Eika Haizan tidak lagi menoleh ke belakang dalam mengorak langkah menuju kejayaan. Butik miliknya turut menaja beberapa perkahwinan beberapa orang artis tempatan.
Pelakon tanah air, Fauzi Nawawi dan Lisdawati antara selebriti yang pernah menerima tajaan butik berkenaan sempena hari bahagia mereka. Paling terbaharu, dua penyanyi kumpulan Elite, Azza dan Watie turut memilih busana serta dandanan butiknya sempena perkahwinan mereka pada 1 Mei lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: