BERJAYA...Che Aminah (kanan) bersama trofi kemenangan di samping Johan Qari dari Kelantan, Muhamad Anuar Ghazali.
BELIAU menjadikan kitab suci al-Quran sebagai teman setia di kala hatinya gundah-gulana, berada dalam kesedihan atau runsing berhadapan sebarang masalah atau cabaran hidup.
Malah mukjizat yang ditinggalkan kepada umat Islam itu turut menjadi bahagian penting dalam kehidupan Awatif Abd Majid, 19, yang diamalkannya setiap hari demi mendapat keberkatan hidup.
Beliau muncul sebagai qariah termuda yang juga mewakili Pulau Pinang dalam pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 bertempat di Johor Baharu yang diadakan 8 Jun lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
Pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kelantan, berkata, bukan sekadar untuk pertandingan, membaca al-Quran sudah menjadi darah dagingnya dan diamalkan setiap hari sejak usianya dua tahun.
Katanya, al-Quran bukan sekadar sebagai bahan bacaan kosong, tapi ia memberi kesan mendalam dan beliau akan berasa tenang setiap kali mengalunkan ayat suci.
“Saya mengamalkan membaca al-Quran setiap hari selepas solat Subuh, Maghrib dan Isyak. Setiap kali saya berasa sedih atau tidak keruan, saya akan mendapatkan al-Quran dan membacanya.
“Sebaik membaca ayat-ayat al-Quran, saya terasa seperti semua masalah hilang begitu saja dan hati menjadi tenang. Ia adalah ubat kepada segala penyakit dan begitulah hebatnya mukjizat al-Quran,” katanya ketika dihubungi.
Awatif berkata, sejak usianya dua tahun, beliau mula belajar membaca al-Quran ketika tinggal bersama neneknya dan kesyahduannya membaca kitab suci itu mendapat perhatian keluarga seterusnya dibawa bertemu ustaz dan ustazah untuk belajar dengan lebih mendalam lagi bagi mengembangkan bakat membacanya.
Selain sokongan kuat daripada keluarga serta kedua ibu bapanya, Abd Majid Mohd Isa, 57, dan Farizah Bakar, 53, beliau juga mendapat galakan guru mengaji yang mengajarnya untuk memasuki pertandingan tilawah.
“Saya belajar dengan ramai tok guru untuk mahir membaca dan selagi saya masih muda dan diberi peluang serta kesihatan, saya mahu mengaut semua ilmu mengenai bacaan al-Quran,” katanya.
Katanya yang bercita-cita menjadi guru mengajar mengaji, walaupun tidak mendapat didikan di sekolah agama, minat dan kecenderungannya ke arah menguasai bacaan al-Quran, membawanya pergi jauh dalam bidang itu.
Beliau sering menyertai pertandingan tilawah peringkat sekolah dan kebangsaan, pernah menjuarai tilawah peringkat kebangsaan antara sekolah seluruh negara yang diadakan di Terengganu pada 2010.
“Pada mulanya saya tidak yakin untuk menyertai pertandingan tilawah besar seperti peringkat negeri tetapi atas galakan tok guru yang mengajar, saya menguatkan semangat.
“Walaupun tidak menang pada pertandingan peringkat negeri baru-baru ini, ia tidak mematahkan semangat sebaliknya dijadikan sebagai satu pengalaman serta pendedahan yang baik untuk saya bagi penyertaan pada masa depan.
“Sekurang-kurangnya saya sudah merasai sendiri perasaan gementar apabila duduk di atas pentas bagi menyampaikan bacaan dan ia akan menjadi ilmu yang membantu saya untuk mengkaji semula dan memperbaiki kelemahan pada masa depan,” katanya.
Menurut Awatif, antara rahsia supaya dapat membaca al-Quran dengan baik ialah ia perlu diamalkan setiap hari, kerana sekiranya ia tidak diamalkan, seseorang mudah lupa bacaannya.
Katanya, beliau akan membaca al-Quran setiap hari dengan tujuh taranum bagi memantapkan bacaannya dan meluangkan masa lebih panjang memperbaiki bacaannya antara waktu selepas Maghrib dan Isyak.
“Apabila kita sentiasa membaca al-Quran, Allah akan melindungi kita dan ia menjadi ubat kepada hati. Daripada kita buat perkara tidak berfaedah atau membuang masa, lebih baik kita membaca dan mendalami al-Quran kerana banyak kebaikannya, bukan saja dapat keberkatan hidup, malah dapat pahala dan hati pula menjadi lebih tenang,” katanya.
Sementara itu, Johan Qariah dari Wilayah Persekutuan, Che Aminah Che Awang, 57, berkata minat terhadap membaca al-Quran sudah bercambah sejak sekolah lagi dan diamalkan setiap kali selesai bersolat.
Beliau berkata, sokongan padu daripada suami, Ariffin Daud, 64, yang tidak jemu menemaninya dan sanggup membawanya ke rumah guru di Pasir Mas, Kelantan, hampir setiap minggu
untuk belajar mengaji, menguatkan lagi keinginannya untuk terus menguasai bacaan al-Quran.
Ibu kepada empat anak itu berkata, beliau sering menyertai pertandingan tilawah dan tidak pernah berputus asa biarpun pernah kalah kerana baginya kalah menang tidak penting, sebaliknya pengalaman yang dikutip sepanjang menyertai acara berkenaan memberi kelebihan untuk terus berjaya.
“Saya memang tidak menyangka akan menang bagi penyertaan kali ini kerana persaingan sengit tetapi bersyukur dan terharu dengan kemenangan ini.
“Jika dulu anak-anak tidak berapa minat menyertai tilawah tetapi selepas melihat kejayaan saya, ada yang sudah menunjukkan minat dan saya akan bantu mendidik mereka.
“Membaca al-Quran sudah menjadi sebahagian hidup saya dan selepas ini saya akan menumpu perhatian mengajar anak murid yang berminat,” katanya.
Che Aminah berkata, beliau akan memberi peluang kepada orang lain pula untuk memenangi pertandingan berkenaan selepas ini dan menumpukan perhatiannya bagi melatih pelapis baru.
Pada masa sama, beliau menasihatkan mereka yang berminat menyertai pertandingan tilawah supaya tidak cepat berputus asa sebaliknya terus berusaha untuk berjaya.
“Sekiranya gagal, kita tidak boleh putus asa kerana mengaji al-Quran ini adalah kerana Allah bukan kerana pertandingan, sebaliknya kita perlu mengkaji kelemahan bacaan dan memperbaikinya.
“Apa saja perkara yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa pasti akan membuahkan kejayaan yang manis,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: