KUALA LUMPUR: Lebih daripada 15 selebriti bakal memeriahkan program #TwtUpKami yang akan berlangsung pada 9 Jun ini di perkarangan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil.
Acara yang dianjurkan oleh Twitter Jaya, komuniti Twitter di negara ini, membawakan selebriti seperti Bunkface, Estranged, Noh Hujan, OAG, Flop Poppy dan Rosevelt.
Menurut wakil penganjurnya, Fadzmel Fadzil, tujuan pihaknya mengajak para selebriti menyertai program tersebut adalah untuk mengumpulkan peminat-peminat mereka serta masyarakat umum yang aktif dalam penggunaan Twitter.
"Pihak kami mengambil inisiatif menganjurkan #TwtUpKami bagi menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini dan pada masa sama mereka dapat bertemu dengan artis kegemaran masing-masing.
"Malah artis-artis yang hadir ini akan membuat persembahan dan lebih menarik lagi, kami turut membawakan kumpulan-kumpulan 'underground' yang semestinya memiliki golongan peminat yang tersendiri," katanya.
Tambah Fadzmel, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan bermula dari pukul 9 pagi hingga 7 malam dan antaranya melibatkan acara seperti pertandingan sukan futsal yang dipanggil sebagai #TJFutsal2.
"Lebih menarik lagi acara tersebut akan turut menyaksikan penampilan istimewa daripada skuad futsal kebangsaan.
"Pertandingan bola keranjang iaitu #YbsCanJump juga dianjurkan dengan menampilkan kemunculan istimewa daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu serta Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan yang akan menunjukkan bakat mereka dalam sukan tersebut," tambah Fadzmel lagi.
Dalam pada itu, beberapa gerai menjual pelbagai barangan dan pakaian akan turut dibuka seperti Sooq Bazar serta Glam Bazar.
Mengenai #TwtUpKami, nama tersebut diambil daripada penggunaan #TwitUp yang bermaksud 'Twitter Meet Up' manakala 'Kami' pula membawa simbol sebuah perhimpunan yang melibatkan pengguna-pengguna Twitter.
"Di Malaysia sendiri, budaya #TwtUp tidak asing di kalangan masyarakat negara ini malah ia sangat popular terutama daripada kalangan generasi muda yang sering kali melibatkan diri dalam penganjuran program seumpama ini," ujarnya.
Untuk itu, orang ramai dijemput hadir ke #TwtUpKami dan maklumat lanjut boleh di dapati menerusi laman Twitter @TwtUpKami selain mendapat informasi daripada stesen radio FlyFM, HotFM dan OneFM.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: