Wednesday, February 29, 2012

Liyana Jasmay Bakal Bertunang Dengan Jiran

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay, 23, telah membuat pengakuan akan bertunang dengan jirannya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan bernama Fathuddin Mazlan pada bulan depan.

Menurut laporan akhbar Berita Harian, Liyana berkata dia sudah pun menerima cincin merisik daripada bakal tunangnya yang berusia 28 tahun itu.

"Dia menghantar rombongan merisik pada minggu lalu dan jika tiada aral melintang, kami akan bertunangan pada bulan depan.

"Tarikhnya terpaksa dirahsiakan. Insya-Allah tahun depan kami akan berkahwin," katanya.

Sebelum ini, Liyana yang popular dengan lagu Aku Tak Percaya Cinta itu pernah digosipkan bercinta dengan pengarah muda, Shamsul Yusof dan penyanyi Aizat Amdan.

"Selama ini pun saya tidak pernah mengatakan yang saya bercinta dengan orang itu atau ini. Semuanya berlaku dengan cukup pantas, itulah yang dinamakan kuasa jodoh.

"Saya sendiri tidak tahu bila masanya rasa cinta itu datang? Cuma apa yang saya sedar, perasaan itu tiba-tiba hadir dalam diri. Kita hanya boleh tahu perasaan itu apabila kita sendiri mengalaminya," tuturnya.

Tambah Liyana, dia sendiri tidak menyangka bahawa lelaki yang dicari-cari selama ini rupa-rupanya tinggal berdekatan dengannya.

Dia juga bersyukur kerana walaupun lelaki pilihannya itu buka daripada kalangan orang seni, dia faham dengan alunan cara kerja Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM) ini.

Telefon pintar mampu milik


TELEFON pintar M3 Communicator buatan tempatan yang disokong sistem operasi Android bakal ditawarkan pada harga pasaran di bawah RM500.


KEBANYAKAN produk telefon bimbit pintar yang terdapat di pasaran hari ini dijual pada harga tidak kurang daripada RM1,500.

Dengan kos yang boleh dikategorikan sebagai tinggi itu, hanya individu yang mampu sahaja boleh memiliki dan menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang tawarkan.

Membuka peluang yang sama kepada semua rakyat negara ini, sebuah syarikat telekomunikasi tempatan, DMD Mobile Sdn. Bhd. memperkenalkan telefon pintar mampu milik dikenali M3 Communicator.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohammed M. Daud, pelancaran produk itu bagi memberi peluang kepada ahli masyarakat untuk berkomunikasi dan berhubung secara lebih mudah dengan kos yang minimum.

''Kami memberi fokus kepada apa yang diperlukan oleh pelanggan. Telefon ini menawarkan perkhidmatan dan aplikasi terbaik sama seperti telefon pintar yang lain,'' katanya pada pelancaran model itu di ibu negara baru-baru ini.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.

Peranti komunikasi pertama keluaran syarikat tersebut dipacu oleh sistem operasi Android dengan sokongan kuasa pemproses 650 MHz.

Ia hadir bersama skrin sentuh QVGA bersaiz 2.6 inci, memori SRAM 256 megabit (MB) dan memori binaan luar sehingga 32 gigabit (GB) menggunakan kad microSD.

Spesifikasi lainnya, ia disokong oleh capaian rangkaian WCDMA 3.75 HSPA, akses Wi-fi, sistem penentu kedudukan global (GPS), Bluetooth 4.0 dan menyokong teknologi Near Field Communication (NFC).

Menerusi NFC, pengguna boleh berkongsi pelbagai kandungan multimedia seperti muzik, foto dan kontak bersama peranti yang mempunyai teknologi sama di samping membuat transaksi pembayaran secara maya.

Sesuatu yang menarik mengenai M3 Communicator, ia dibangun dan dipasang sepenuhnya di negara ini.

Produk yang bakal memasuki pasaran tempatan menjelang April ini didatangkan secara pakej bersama perkhidmatan data DMD Mobile untuk pengguna prabayar serendah RM10 sebulan.

Kemudahan itu bakal membolehkan pengguna untuk mengakses pelbagai perkhidmatan Internet seperti pelayaran web, capaian laman sosial, e-mel dan berborak secara dalam talian (IM).

Dengan segala kelebihan tersebut, M3 Communicator bakal dijual dengan harga tidak melebihi RM500.

Maklumat dan spesifikasi lengkap mengenainya boleh diperolehi daripada laman web www.dmdmobile.net.

Rumah Nabil (Raja Lawak) Dimasuki Perompak

Nabil

SEREMBAN: Kediaman pelawak dan pelakon terkenal, Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nabil (Raja Lawak) dipecah masuk perompak dalam satu kejadian di Kampung Masjid, Mambau, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 pagi ini, perompak berkenaan bertindak memecah masuk rumah itu melalui sebuah daripada bilik rumah yang kini didiami keluarga bapa saudaranya.

Menurut bapa saudara pelakon itu, Rahmat Abdul Latiff, 55, kejadian disedarinya sebaik pulang ke rumah berkenaan selepas menghantar anak perempuannya ke tempat kerja di sebuah pusat beli belah berhampiran.

Katanya setelah diperiksa, penjenayah berkenaan didapati melarikan komputer riba milik anaknya yang berharga RM3,000.

"Kejadian ini yang pertama berlaku dan saya baru sahaja menetap dua bulan di rumah ini selepas Nabil bersama ahli keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Perniagaan mudah bersama MC2100




LEBIH kompak dan 'rugged' menjadikan siri MC2100 antara peralatan yang amat diperlukan oleh pengusaha, pengilang juga mana-mana syarikat untuk memperbaiki keberkesanan operasi perniagaan mereka.

Menerusi syarikatnya, Motorola Solution, Inc. (Motorola) kemunculan MC2100 sebagai sebuah komputer bergerak bagi memudahkan perjalanan rantaian perniagaan.

Menggabungkan semua kelebihan dan aplikasi kompak di samping reka bentuk yang lebih ergonomik, siri MC2100 menawarkan aplikasi komputer bergerak yang berprestasi tinggi.

Ia pada asasnya dibina bagi menyelesaikan masalah serta keperluan yang dihadapi oleh pengusaha kecil yang kini sedang berkembang pesat di rantau Asia.

Kelebihan siri MC2100 adalah ia memiliki lima jenis konfigurasi termasuk tiga enjin pengimbas yang berbeza, pilihan untuk sambungan WLAN dan beberapa aksesori vertikal yang spesifik.

Biarpun ringan, MC2100 juga didatangkan bersama pemproses yang berkuasa, papan kekunci numerik dan skrin sesentuh bagi memudahkan penggunaannya.

Kelebihan tersebut memudahkan tugas-tugas mengimbas seperti pengurusan inventori, penyediaan pengisian semula, penandaan harga, dan proses melabel.

Pastinya dengan kehadiran MC2100 mampu melancarkan urusan perniagaan anda, untuk maklumat lanjut layari laman web Motorola www.motorolasolutions.com.

Bagaimana mengkaji permintaan pasaran




Ramai orang tahu internet menyediakan peluang untuk memasarkan pelbagai bentuk produk dan perkhidmatan ke seluruh dunia tanpa batas sempadan.

Justeru ramai yang berminat untuk menceburi perniagaan menerusi Internet tetapi malangnya tidak pasti apakah bidang yang ingin mereka libatkan diri mempunyai permintaan pasaran yang kuat.

Membuat sedikit kajian tentang bidang yang ingin diceburi adalah satu faktor penting agar kita tidak serkap jarang, terlanggar dinding atau sesat di alam siber yang akhirnya membuat kita kecundang di pertengahan jalan.

Untuk mengelak daripada keadaan itu, anda perlu tahu serba sedikit tentang bagaimana untuk menentukan produk atau perkhidmatan yang dikehendaki oleh para pengguna.

Biasanya dalam perniagaan tradisional kajian mudah ini boleh dilakukan dengan melihat kepada persekitaran contohnya berdasarkan barangan apa yang paling laku dijual di pasar raya atau pasar malam.

Firma penyelidikan

Syarikat-syarikat besar menentukan penawaran produk atau perkhidmatan mereka berdasarkan kajian-kajian yang lebih bersifat komersial yang dijalankan oleh firma-firma penyelidikan profesional.

Biasanya laporan-laporan yang disediakan oleh firma seperti itu adalah berkualiti dan tentulah ada harga yang tinggi perlu dibayar.

Namun kadang-kadang ada sebahagian daripada laporan itu yang diterbitkan secara percuma oleh media tradisional seperti akhbar dan majalah, dan seringkali juga anda boleh mencari ringkasan-ringkasan kepada hasil penyelidikan ini menerusi internet.

Contohnya JupiterResearch.com yang menyediakan analisis pasaran untuk membantu vendor-vendor teknologi untuk memahami peluang pasaran semasa.

Sebuah lagi firma penyelidikan, comScore juga menyediakan laporan berdasarkan kaji selidik. Kajian mereka adalah berdasarkan lebih dua juta pengguna yang memberi kebenaran kepada comScore untuk melihat tabiat mereka melayari dan melakukan transaksi di internet serta di dunia luar.

Sebagai usahawan yang kreatif, sebenarnya ada banyak lagi saluran percuma yang kita boleh gunakan untuk membuat penyelidikan ini secara sendiri untuk setiap bidang yang kita inginkan.

Google AdWords

Salah satu alatan atau aplikasi kesukaan saya untuk membuat kajian permintaan pengguna ialah Google AdWords Keyword Tool yang boleh diakses di https://adwords.google.com/select/KeywordToolExternal.

Aplikasi ini membolehkan kita membuat kajian tentang permintaan ke atas sesuatu produk atau perkhidmatan berdasarkan jumlah carian bagi kata kunci yang berkaitan. Anda cuma perlu masukkan kata kunci atau frasa kata untuk melihat jumlah carian yang dilakukan oleh pengguna di seluruh dunia.

Contohnya jika saya membuat kajian tentang remote control car, Keyword Tool ini memaparkan bahawa terdapat 673,000 carian pada setiap bulan di seluruh dunia mengenai tajuk tersebut manakala di Malaysia pula terdapat 9,900 carian untuk tajuk yang sama.

Selain jumlah carian global dan carian tempatan berdasarkan negara yang kita pilih, ia juga akan memaparkan Competition iaitu persaingan bagi iklan AdWords untuk topik berkenaan, yang boleh memberikan gambaran kepada kita tentang tahap penawaran untuk topik itu juga.

Keyword Tool turut memaparkan idea- idea kata kunci yang berkaitan dengan apa yang kita cari tadi, termasuk variasi ejaan dan carian bagi topik yang sama.

Contohnya jika saya menguji topik remote control car, Google juga akan paparkan topik yang berkaitan seperti radio control car dengan hasil carian global sebanyak 246,000, atau yang lebih popular ialah rc cars dengan 1 juta hasil carian.

Ini memberikan AdWords Keyword Tool satu lagi kelebihan kerana ia akan menjana lebih banyak idea yang berkaitan kepada kita, mungkin sesuatu yang kita tidak terfikir pun!

eBay Pulse

Satu lagi lokasi untuk melihat apakah barangan yang sedang panas di pasaran ialah dengan melayari laman pulse.ebay.com dan pulse.ebay.com.my untuk melihat trend jualan terkini masing-masing di laman eBay antarabangsa dan eBay Malaysia.

Laman ini memaparkan carian popular, kedai maya terbesar, barangan yang paling banyak dilihat oleh pengunjung, pilihan-pilihan utama, serta barangan-barangan menarik, yang berubah-ubah mengikut keadaan semasa pada setiap hari.

Ini akan memberikan anda idea yang jelas tentang produk-produk yang sedang laris di pasaran pada ketika itu.

Ruangan carian popular akan memberi indikasi tentang kata kunci atau bidang carian umum, sementara ruangan barangan yang paling banyak dilihat adalah indikator populariti kepada sesuatu jenama atau model barangan secara spesifik.

Di samping itu anda juga boleh meninjau kedai-kedai maya di dalam ruangan Largest Stores, sekaligus mencontohi teknik-teknik yang mereka gunakan.

Klik pada pautan See more eBay Pulse Categories untuk lihat pecahan kategori yang lebih mengkhusus dan terperinci.

Amazon Best Sellers

Amazon boleh dikategorikan sebagai pasar raya besar online dengan berpuluh juta produk disenaraikan dalam pelbagai kategori.

Daripada pangkalan data yang besar, agak mudah bagi Amazon menentukan produk-produk apakah yang paling laris dijual di dalam laman webnya dan anda boleh mengakses maklumat tersebut menerusi URL http://www.amazon.com/gp/bestsellers.

Amazon menyenaraikan hingga 100 produk paling banyak terjual dalam setiap kategori.

Setiap produk itu juga dinyatakan jumlah hari ia telah berada dalam carta top 100 serta sama ada popularitinya sedang menaik, menurun atau stabil.

Selain jumlah jualan yang tertinggi, Amazon juga memaparkan produk-produk yang diberi rating paling tinggi oleh para pengguna atau pembeli.

Rating ini menjadi indikator kepada tahap kepuasan pelanggan bagi setiap produk berkenaan.

Manakala produk-produk yang baru tiba di pasaran dan terus mendapat perhatian, dipaparkan dalam bahagian Hot New Releases. Ia menyenaraikan barangan baru yang pantas mendapat tempat di hati pembeli.

Selain produk-produk yang menjadi perhatian ramai, Amazon juga menyenaraikan produk-produk yang tiba-tiba naik atau jatuh dengan mendadak dalam tempoh 24 jam yang lalu menerusi ruangan Moves 7 Shakers. Kategori ini boleh memberikan idea tentang trend-trend pelik pembeli masa kini.

Selain menjual produk, Amazon juga telah lama mempopularkan konsep hadiah yang mana pembeli akan membelikan sesuatu barangan untuk dikirimkan sebagai hadiah kepada seseorang yang lain dan Amazon akan menghantarkan barangan berkenaan terus kepada si penerima. Produk-produk yang popular dijadikan hadiah ini disenaraikan dalam ruangan Gift Ideas.

Satu ruangan lagi yang menarik ialah "Most Wished For yang menyenaraikan produk-produk yang paling diinginkan oleh pengguna atau pembeli. Senarai ini memberi gambaran tentang apakah produk-produk yang sangat berpotensi untuk dijual.

Walaupun data Amazon lebih cenderung kepada para pengguna di Amerika Syarikat atau di peringkat global, namun ia masih berguna dalam mencetuskan idea-idea menarik untuk perniagaan kita sendiri.

Laman-laman web lain

Selain laman-laman web yang dibincangkan ini, anda juga boleh menggunakan Google Trends dan Google Insight untuk melihat perkembangan dan trend pasaran terhadap sesuatu topik secara umum atau berdasarkan geografi.

Kebanyakan laman web atau blog juga ada memaparkan topik hangat atau topik popular mereka sendiri dan boleh anda gunakan sebagai panduan dan untuk menjana idea.

Khidmat iklan melalui Facebook juga boleh digunakan untuk menentukan saiz pasaran dalam komuniti Facebook untuk sesuatu kata kunci yang diinginkan.

Layari blog hasanihassan.com untuk perbincangan serta rujukan tentang laman-laman web yang dinyatakan serta laman-laman yang berkaitan.

Jangan lupa juga untuk ikuti video saya di Utusan Online (http://xtive.utusan.com.my/video.php) yang membincangkan tentang bidang-bidang jualan yang popular di Internet, mulai Jumaat 2 Mac 2012.

Untung tanam cendawan


Spesies tiram kelabu merupakan cendawan yang paling popular ditanam di negara ini.


SALAH satu perusahaan yang boleh dijalankan oleh petani dan pengusaha pertanian ialah penanaman cendawan disebabkan beberapa faktor.

Faktor utama adalah keuntungan yang tinggi yang boleh diperoleh dalam jangkamasa pendek di samping kos pengeluaran yang rendah dimana bahan-bahan sampingan pertanian boleh digunakan.

Potensi dari segi pemasaran dan kandungan nutrien pemakanan yang tinggi juga menyumbang kepada minat petani untuk menceburi bidang perusahaan ini.

Penanaman cendawan

tiram kelabu

Penyediaan bahan

- Bahan yang digunakan untuk menyediakan media cendawan ini ialah habuk kayu getah, dedak padi, kapur pertanian dengan nisbah (100:10:1) dan kelembapan air 75 peratus.

- Sebagai contoh, untuk menyediakan 200 beg media, campuran yang diperluaskan adalah 100 kilogram (kg) habuk kayu getah, 10 kilogram (kg) dedak padi dan 1 kg kapur pertanian dan dicampurkan dengan air agar kelembapan campuran tersebut adalah 75 peratus.

Pembungkusan dan pengukusan

- Campuran media yang telah disediakan akan dimasukan ke dalam beg plastik polypropylene (PP) yang berukuran 30 sentimeter (sm) x 10sm x 10 sm dan dipadatkan.

- Penapis udara dipasang dengan menggunakan gelang leher dan penutup (cap) beserta dengan span.

- Beg PP ini perlu dikukus selama antara empat dan enam jam pada suhu 1,000 darjah C dan kemudian disejukkan pada suhu bilik selama 28 jam (dua hari).

Penyuntikan benih dan pemeraman

- Sebelum kerja penyuntikan dijalankan, langkah kebersihan perlu dijalankan iaitu kebersihan diri, bilik suntikan dan pastikan tiada kotoran atau habuk serta membuat semburan larutan basmi kuman seperti Dettol, Lysol dan Jeypine.

- Peralatan suntikan adalah spatula/dawai.

- Penyuntik, spirit,lampu, pemetik api dan pelindung pernafasan.

- Tangan perlu dicuci dengan larutan basmi kuman dan pakai pelindung pernafasan.

- Celupkan dawai penyuntik ke dalam larutan spirit dan bakar.

- Panaskan mulut botol benih dan leraikan benih dengan dawai penyuntik.

- Suntikan lima hingga lapan gram benih cendawan bagi setiap beg PP dan tutup beg PP dengan penutup dan disusun di bilik pemeraman.

Pemeraman

- Proses pemeraman dijalankan dalam bilik biasa yang mana micelium akan dibiarkan merebak hingga memenuhi keseluruhan media substrat.

- Proses ini pada kebiasaannya mengambil masa 50 -60 hari dimana beg PP yang rosak atau tercemar akan diasingkan dan beg PP yang elok akan dipindahkan ke bilik penghasilan.

Penghasilan

- Selepas empat hingga lima hari penutup pengudaraan dibuka, putik cendawan akan kelihatan.

- Selepas cendawan tumbuh dan hasil cendawan tersebut dikutip, hasil cendawan tersebut bolehlah dibungkus mengikut kesesuaian.

- Selepas cendawan dipetik, beg PP direhatkan selama tujuh hingga 10 hari dengan menutup semula permukaan beg PP dan dibuka selepas itu untuk kutipan hasil kedua dan seterusnya dengan cara yang sama hingga enam atau lapan kali kutipan.

- Suhu optimum dalam bilik penghasilan adalah 250 darjah C dengan kelembapan di antara 80 dan 95 peratus.

- Untuk mendapatkan keadaan sedemikian penyiraman perlu dijalankan dua kali sehari pada waktu pagi dan petang.

- Cahaya yang sesuai adalah adalah dalam keadaan yang mana seseorang boleh membaca tulisan akhbar di dalam bilik berkenaan.

Musuh dan penyakit

- Perosak utama adalah tikus, lalat, lipas, hama dan nematoda.

- ulat lain yang biasa menyerang media substrat adalah seperti Penicillium, Aspergillus dan Trichoderma.

- Pengawalan adalah dengan menjaga kebersihan rumah cendawan dan rak-rak dengan menggunakan bahan kimia basmi kuman seperti Dettol dan Lysol setiap kali habis musim penanaman.

MARDI terajui penanaman sayuran lestari


Tanaman sayur dengan teknologi tanpa tanah kelihatan subur.


CUBA bayangkan anda memetik sendiri sayur yang ditanam di sekeliling rumah. Untuk mencari pendapatan lebih, sayur itu dijual kepada jiran di kawasan anda dan mereka juga boleh memetiknya sendiri.

Senario sedemikian biasa berlaku di kampung-kampung. Tetapi ia biasanya diberikan percuma kerana menjadi adat resam, memberi sesuatu kepada tetangga merupakan satu terjemahan berbudi bahasa.

Orang akan bertanya, bagaimanakah senario tersebut boleh berlaku di kawasan perumahan bandar?

Tidak mungkin terdapat kawasan perumahan yang menanam sayur-sayuran kerana kawasan yang begitu terhad.

Namun bagi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), teknologi boleh memberi jawapan bagaimana untuk merealisasikan impian tersebut.

Hanya yang penting dan menjadi persoalan ialah sejauh mana teknologi tersebut mampu dikuasai oleh mereka di kawasan bandar yang berhasrat mahu menanam sayuran di kawasan rumah.

MARDI berpegang kepada kata kunci Pemimpin Agroteknologi dan Bridging knowledge and communities dan inilah yang menggerakkan inisiatif agensi tersebut untuk membawa teknologi pertanian kepada masyarakat.

Agensi tersebut memiliki ratusan teknologi mencakupi pelbagai bidang pertanian dan ia sewajarnya dinikmati oleh masyarakat.

Sebagai contoh mudah, Stesen Penyelidikan MARDI di Cameron Highlands mewujudkan satu Taman Agroteknologi yang menghimpunkan pelbagai teknologi penanaman sayur tanpa tanah yang realistik dan mudah dilaksanakan.

Penggunaan teknologi tersebut mungkin menimbulkan persepsi bahawa ia memerlukan kos tinggi, renyah dan perlu mempelajari kemahiran teknikal yang sukar.

Bagi Pegawai Penyelidik Agronomi MARDI Cameron Highlands, Mohammad Abid Ahmad, ramai yang mungkin memandang sinis teknologi tersebut apath lagi ia telah diperkenalkan di negara ini beberapa dekad yang lepas.

''Ada yang mungkin berkata, sistem tersebut sudah lama ,tak perlulah kita sebutkan lagi dan sudah mencubanya tetapi susah (untuk dilaksanakan)," ujarnya.

Mohammad Abid berkata, segelintir mereka yang beranggapan demikian mungkin menyalahkan teknologi tersebut kerana gagal memanfaatkannya sedangkan mereka sewajarnya menguasainya terlebih dahulu.

Sebab itu kata beliau, MARDI berusaha untuk mengadaptasi teknologi sedia ada supaya mudah difahami dan dikuasai. Pada masa yang sama, pihaknya juga cuba mengubahsuai daripada segi penggunaan dan bahan yang digunakan supaya murah dan mudah diperoleh.

Beliau memberi contoh , antara cara mudah dalam teknologi hidroponik yang menggunakan platform high impact polikarcarbonate pada harga RM160 satu meter persegi sedangkan ia boleh digantikan dengan papan lapis.

Penggunaan papan lapis sebagai contoh untuk tiangnya boleh digunakan dengan kayu berbanding penggunaan besi pada masa ini akan dapat menjimatkan kos serta tidak menjejaskan fungsi dan seterusnya pengeluaran hasil.

Sebenarnya kata Mohammad Abid, pendekatan MARDI bagi menjadikan teknologi tanaman sayur tanpa tanah lebih mesra pengguna menjadi satu amalan yang diperkenalkan selama ini.

Ia sejajar dengan tag line MARDI Cameron Higlands sebagai Pusat pertanian lestari tanah tinggi.

''Pertamanya, kami memperkenalkan teknologi yang ada kepada masyarakat dan golongan sasar dan kedua, mencetuskan idea untuk berinovasi dengan teknologi tersebut iaitu mengubahsuainya mengikut kemampuan.

''Ketiga, kami menganjurkan latihan dan kursus kepada mereka yang berminat untuk mempelajari teknologi berkenaan," ujar beliau.

Beliau memberitahu, terdapat lebih dari sepuluh jenis teknologi penanaman sayuran tanpa tanah yang ada dan sebahagiannya diperkenalkan di taman tersebut.

Antara teknologi tersebut ialah sistem hidroponik teknik banjir, surut dan alir, teknik aliran nipis (NFT), sistem hidroponik teknik pengairan titis bertingkat, dan teknik aliran dalam (DFT).

Pelbagai lagi sistem dan teknik sedang dan dalam perancangan untuk dibangunkan bagi menambahkan variasi dalam teknik hidroponik

Pihaknya sebelum ini telah dua kali mengadakan kursus kepada penggemar perkebunan di rumah (home gardener) atau mereka yang berminat untuk menanam sayur di kawasan rumah.

Teknologi tersebut katanya tidaklah rumit seperti yang digembar-gemburkan, dengan syarat mereka mempunyai minat dan menguasai ilmu teknologi berkenaan.

''Teknologi tersebut boleh digunakan di belakang dapur dengan skala kecil untuk kegunaan sendiri.

''Setakat 20 puluh atau 30 pokok, mereka tidak perlu risau sebab baja dan air disalurkan ke tanaman secara automatik," ujarnya.

Teknologi berkenaan mengamalkan pengurusan mudah sebab penggunaan sistem automatik tanpa penggunaan racun dan amalan agronomi yang baik dengan kerja-kerja penyelenggaraan yang minimum.

Penanam juga boleh bekerja dalam keadaan bersih dan paling penting, sistem tersebut dapat mengelakkan penyakit bawaan tanah.

Hasil pengeluaran pula lebih tinggi sehingga tiga kali ganda dan kos infrastruktur yang murah dan efektif hanya untuk sekali sahaja.

Setakat ini katanya, teknologi tersebut boleh diguna pakai untuk sayuran jenis daun seperti sawi, kubis, kangkung, salad, kailan manakala jenis berbuah seperti tomato dan timun memerlukan sokongan lain yang memungkinkan kos tambahan.

''Satu lagi, teknologi ini sesuai untuk tanaman jangka pendek dan intensif dengan hasil tuaian yang cepat antara sebulan hingaa dua bulan," katanya.

Pada masa sama, meskipun penggunaan struktur pelindung hujan tidak menjadi syarat, ia lebih baik untuk mengelakkan ancaman penyakit dan air berlebihan dan hasil mungkin lebih rendah.

Jutawan Ananda mahu jual Measat

Ananda Krishnan,

SINGAPURA - Orang kedua paling kaya di Malaysia, Ananda Krishnan, merancang menjual kepentingannya dalam syarikat operator satelit, Measat Global Bhd, langkah yang diambil beberapa hari selepas beliau mula menjual aset tenaga bernilai AS$3 bilion (RM9.05 bilion).

Akhbar tempatan, The Straits Times melaporkan bahawa aset tenaga dan satelit berkenaan bernilai hampir AS$3.5 bilion, yang menunjukkan Measat mungkin bernilai sekitar AS$500 juta.

Sambil memetik sumber perbankan, akhbar itu melaporkan cakap-cakap mengenai jualan itu bermula pada lewat 2011, dan firma satelit Arab Saudi, Arabsat, mungkin menjadi pemegang strategik atau kepentingan majoriti dalam firma satelit
Malaysia itu.

Jutawan itu baru-baru ini menjual keseluruhan portfolionya dengan melantik Standard Chartered untuk mengurus transaksi, membabitkan kira-kira sedozen loji tenaga.

Beliau melakukan beberapa urus janji korporat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menyenaraikan sebahagian daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi Maxis Bhd yang merupakan tawaran awam pemulaan terbesar di Asia Tenggara pada 2009.

Tahun lepas, pasukannya menyenaraikan semula syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas Malaysia Bumi Armada Bhd.

Beliau juga menjadikan syarikat monopoli TV berbayar Malaysia, Astro All Asia Networks Plc, sebagai syarikat persendirian, selepas peluasannya ke Indonesia dan India mencatat kerugian dan menjejaskan kewangan syarikat.

The Straits Times melaporkan pemilikan kawalan Measat oleh Arabsat mungkin sukar memandangkan Malaysia mengenakan sekatan penguasaan 40 peratus pemilikan asing ke atas aset strategik domestik.

Isi badan terlerai, di letakkan rumah khas

Isi badan terlerai
Isi badan terlerai

BALING - Pendedahan Sinar Harian mengenai penderitaan seorang lelaki yang menghidap penyakit kulit di Kampung Bukit Kuala Kuang, Baling dan terpaksa tidur beralaskan daun pisang sebelum ini kini menemui seorang lagi penduduk di Kampung Ketemba Kememeh berhadapan masalah sama.

Abdul Roni Awang Kecik, 49, menderita penyakit kulit ini sejak lahir mengakibatkan keseluruhan badannya menjadi hitam, kering dan gatal sehingga beberapa bahagian isi badannya terlerai.

Penderitaan itu mengakibatkan Abdul Roni mengalami tekanan jiwa sejak 10 tahun lalu seterusnya menjejaskan ingatannya terhadap ahli keluarga mahupun jiran-jiran.

Mentalnya yang semakin terganggu membuatkan Abdul Roni terpaksa diletakkan di dalam rumah khas bersebelahan rumah kakaknya untuk mengelakkan sebarang kemungkinan.

Kini, Abdul Roni dijaga sepenuhnya kakaknya, Khatijah Awang Kecik, 58, yang bertanggungjawab menjaga kebajikannya.

Tempatkan di rumah khas

Khaitjah berkata, penyakit adiknya merupakan antara yang teruk pernah dilihatnya.

“Saya sering melihat penyakit kulit di akhbar tempatan mahupun media elektronik, namun, tiada lagi penyakit yang seteruk adik saya.

“Dulu, Abdul Roni masih boleh menoreh getah dan meneruskan kehidupannya seperti biasa. Namun, selepas dia mengalami tekanan jiwa, tindakannya di luar jangkaan. Tenaganya begitu kuat. Dia boleh menumbangkan tiga orang lelaki dewasa,” katanya.

Menurutnya, berikutan keadaan itu, keluarganya berbincang dan bersetuju menempatkan Abdul Roni di rumah yang dibina khas untuknya.

“Keadaan ini tidak bermakna kami memulaukannya, tetapi khuatir sekiranya Abdul Roni bertindak di luar jangkaan. Namun begitu, makan minumnya tidak pernah terabai,” katanya.
Banyak rawatan dilakukan

Ditanya mengenai tindakannya untuk mengubati Abdul Roni, Khatijah berkata, telah banyak rawatan yang dilakukannya termasuk rawatan moden mahupun tradisional.

“Puluhan ribu ringgit terpaksa dikorbankan semata-mata untuk mengubati penyakitnya. Namun, semuanya tidak berhasil. Keadaan kulitnya bertambah teruk sehingga ke hari ini.

“Walaupun begitu, saya dan keluarga lain sentiasa berusaha untuk mendapatkan rawatan yang terbaik untuk kebaikan dirinya. Hati mana tidak tersentuh, melihat adik sendiri dalam keadaan begini. Setiap malam, saya berdoa supaya tuhan memulihkan penderitaannya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sering mengerang kesakitan

Khaitjah berkata, adik ketiganya itu sering mengerang kesakitan apabila tidak dapat menahan bisa gatal yang memakan setiap bahagian isinya.

“Tiada apa yang dapat dilakukan melainkan meletakkan krim di badannya untuk mengurangkan sedikit bisa kesakitannya. Walaupun krim ini tidak dapat bertahan lama, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan sedikit kesakitan ini.

“Krim ini akan disapukan setiap hari di badan adik. Namun, dalam jumlah yang tidak banyak kerana kos krim ini agal mahal. Krim ini hanya mampu bertahan seminggu sahaja. Namun begitu, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 sebulan dapat juga mengurangkan bebanan ini,” katanya.

Khatijah berkata, dia memohon kepada mana-mana individu dapat membantu merawat penyakit kulit dan juga masalah mental adiknya itu.

“Kalau boleh, biarlah dia kenal siapa saya dan adik beradiknya yang lain. Saya berharap ada pihak yang sudi membantu termasuk kewangan mahupun kepakaran untuk mengubati penyakit adiknya itu,” katanya.

Umno Baling akan bantu

Biro Kebajikan Umno Bahagian Baling, Noor Azman Ramli berkata, pihaknya akan memanjangkan masalah dialami Abdul Roni kepada Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membolehkan Abdul Roni berjumpa dengan pakar kulit dan menerima rawatan terbaik.

“Setakat ini, Umno Bahagian Baling membawa lebih dari 20 pesakit terlantar termasuk yang mengalami penyakit kulit dan barah untuk mendapatkan rawatan pakar di Kuala Lumpur
“Semua pesakit sembuh dari penyakit mereka dan kita akan berusaha sebaik mungkin untuk kebaikan Abdul Roni,” katanya.

Bantuan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank anak saudara Abdul Roni, Mohd Khairul Asyraf (152040277246) ataupun menghubungi Khatijah di talian 019-4312791.

Perigi empat abad kekal asli

Perigi empat abad kekal asli

KAMPUNG BALAISAH – Perigi lama berusia 400 tahun masih digunakan penduduk di sini untuk mendapatkan bekalan air kerana airnya tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau panjang melanda.

Ia dibina daripada bata tanah yang disusun padat dan kemas dengan ketinggian kira–kira 10 meter.

Uniknya, sehingga ke hari ini ciri–ciri seni bina warisan lama masih terpelihara kerana perigi tersebut tidak pernah ‘diusik’ untuk penambahbaikan dan sesuai dijadikan produk pelancongan.

Imam Masjid Al–Ula, Abdul Razak Sulaiman berkata, sehingga ke hari ini, air dari telaga tersebut masih digunakan penduduk kampung di sini terutamanya untuk berwuduk.

“Mana-mana jemaah yang bersolat di Madrasah Al–Ula Kampung Balaisah, Pasir Pekan akan berwuduk dengan air dari telaga tersebut.

“Airnya jernih dan untuk mendapatkan air dari telaga ini masih boleh menggunakan timba untuk mencedoknya.

“Bagaimana pun dek arus pemodenan, disediakan pam air bagi mempercepatkan proses mengambil air dari telaga tersebut,” katanya.

Seusia dengan perigi itu juga adalah madrasah Al–Ula Kampung Balaisah, Pasir Pekan atau lebih dikenali sebagai balaisah tua, satu satunya balaisah terawal wujud di kampung tersebut yang diasaskan tokoh agama terkemuka di Pasir Pekan iaitu Tok Awang Bahar, berasal dari Minangkabau.

Di zaman Tok Awang Bahar, Kampung Balaisah merupakan pusat pengajian pondok dan ramai pelajar dari seluruh pelosok kampung menuntut agama dengannya.

Malah nama Kampung Balaisah diambil sempena nama balaisah tersebut.

Abdul Razak yang merupakan generasi ketujuh keturunan Tok Awang Bahar berkata, ada tercatat di tangga madrasah Al–Ula Kampung Balaisah mengatakan madrasah tersebut siap dibina pada tahun 1245 Masihi.

“Kalau balaisah itu dibina 400 tahun lalu, bererti perigi tersebut pun digali 400 tahun yang lalu juga.

“Perigi tersebut tidak pernah dibaiki, cuma balaisah itu sudah dua tiga kali ia ditambahbaikkan,” katanya.

Keputusan batal Konsert Erykah disokong Kabinet

Erykah Badu

KUALA LUMPUR - Tindakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan membatalkan konsert penyanyi wanita Amerika Syarikat, Erykah Badu, yang sepatutnya berlangsungnya malam ini, mendapat sokongan Jemaah Menteri.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau telah membentangkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini berhubung pembatalan konsert daripada segi keselamatan dan kepentingan untuk menghormati agama, bangsa dan budaya sosial yang wujud di Malaysia.

"Sekiranya konsert ini diadakan juga, menurut Polis Diraja Malaysia, berkemungkinan berlaku pelbagai perkembangan yang boleh mencetuskan keghairahan sosial, dan perkelahian mungkin berlaku disebabkan hal-hal yang berhubung dengan agama seperti di tempat lain di dunia yang mencetuskan keghairahan di luar dugaan atau tidak dapat dikawal.

"Alasan yang teguh dari segi maruah agama, bangsa dan maruah kerajaan sendiri terpaksa diambil kira selain daripada perkara yang berkaitan dengan keselamatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Rais mengumumkan Agensi Pusat Penggambaraan Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) membatalkan konsert Erykah yang didapati telah melanggar garis panduan Puspal dan syarat-syarat kelulusan iaitu menyentuh sensitiviti agama, bangsa serta nilai budaya masyarakat Malaysia.

Katanya, perbuatan artis itu yang meletakkan kalimah "Allah" di badan tanpa baju adalah satu penghinaan kepada agama Islam dan merupakan kesalahan yang serius.

Mawi, Ekin dapat anak perempuan

Mawi, Ekin dapat anak perempuan

Impian penyanyi Mawi dan isterinya, Ekin atau nama sebenarnya Nora’Asikin Rahmat menimang cahaya mata akhirnya termakbul, apabila Ekin selamat melahirkan seorang bayi perempuan jam 4 pagi, semalam.

Bayi sulung seberat 2.8 kilogram (kg) itu dilahirkan secara normal di Hospital Pakar An-Nur Hasanah, Bangi dekat sini dan belum diberikan nama dan perkara itu disahkan oleh pengurus Mawi, menerusi sebuah portal berita.

Bagaimanapun, Mawi dan Ekin masih tidak dapat dihubungi (ketika berita ini ditulis). Pasangan yang bernikah pada 21 Disember ini, pernah kecewa setelah Ekin mengalami dua kali keguguran.

Bahagia Marion sebagai ibu



BERTEMU dengan pengacara jelita Marion Caunter pada majlis persandingan Lisa Surihani dan Yusry baru-baru ini, Marion masih kelihatan kekal jelita. Tubuh badannya kelihatan masih kurus, seperti belum melahirkan seorang anak, sedangkan hakikatnya, dia baru sahaja melahirkan anak sulungnya yang diberi nama Leia Rose Caunter SM Nasaruddin pada 16 Disember lalu.

Hadir bersama suaminya, SM Nasaruddin pada majlis tersebut, mereka kelihatan sungguh secocok dan mencuri tumpuan hadirin ketika melangkah masuk ke dalam dewan. Itu merupakan kemunculan pertama Marion selepas melahirkan anak.

Meskipun majlis masih belum selesai, Marion dan suami dilihat tergesa-gesa meninggalkan majlis sebelum mereka disambar pihak media di luar pintu masuk.

Kata Marion, dia harus pulang untuk menyusukan anaknya, Leia yang akan berusia tiga bulan pada 16 Mac ini.

"Saya kena pulang segera bukan tidak mahu berada lama di majlis ini, tetapi anak saya memerlukan saya kerana dia menyusu badan," tuturnya lembut.

Marion dan suami bagaimanapun tetap meluangkan sedikit masa bersama pihak media yang ingin mengetahui tentang perkembangan terkininya.

Disoal bagaimana perubahan hidupnya selepas bergelar seorang ibu, sambil memandang wajah suaminya dengan senyuman, dia memberitahu: "Semua okey, anak saya tidak banyak meragam cuma jika ada masa dia manja, setiap jam dia akan minta susu.

"Biasanya dua jam sekali. Jadi sekarang memang saya hanya duduk di rumah sahaja menjaga Leia. Saya hampir tidak keluar ke mana-mana sebab anak menyusu badan."

Meskipun Marion akan kembali bekerja sebagai pengacara E! News Asia yang menjalani penggambaran di Singapura setiap minggu, jelasnya, dia belum terfikir untuk menghentikan penyusuan badan buat Leia. Malah akuinya, memberi susu tepung sebagai alternatif buat Leia akan difikirkan apabila tiba saatnya. Namun buat masa ini, dia mahu memberi penyusuan badan secara eksklusif selama yang mungkin.

"Memang saya sibuk, tetapi saya rasa lebih baik memberi susu badan berbanding susu tepung kerana anak lebih sihat. Memang saya ada terfikir untuk berikan dia susu tepung, tetapi bila melihat wajahnya tidak sampai hati pula," katanya.

Tambah Marion lagi, sebagai persediaan untuk dia kembali bertugas pada minggu hadapan, dia akan memerah susu dan menyimpan di dalam botol sebagai bekalan Leia saat dia berpergian ke Singapura.


MARION meletakkan gambar dia sedang memeluk Leia yang tertidur lena dalam dakapannya sebagai gambar pengenalannya di akaun Twitter miliknya.


"Saya akan mula bekerja pada minggu depan, jadi caranya adalah saya akan menyimpan susu di dalam botol banyak-banyak sebelum saya terbang ke Singapura. Selain itu, saya akan pastikan yang saya pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama juga sebab itu saya terpaksa tolak jika ada yang menawarkan kerja pengacaraan di Singapura. Anak kini nombor satu," balasnya sambil tersenyum manis.

Tambahnya lagi sejak melahirkan Leia, dia harus berfikir dua kali sebelum membuat keputusan untuk bercuti atau berjalan ke mana-mana.

"Pergerakan saya lebih terhad sekarang, kalau sebelum ada Leia, rasa ingin bercuti, terus pergi tanpa berfikir panjang sekarang tidak boleh macam itu lagi.

"Kalau kerja pun tidak boleh terlalu lama tinggalkan Leia, nanti saya rindu dia. Saya sekarang hak eksklusif Leia, bila penat bekerja atau tertekan, lihat wajahnya terus hilang semua penat. Bagi saya apa yang berlaku merupakan satu perubahan baik buat kami berdua," ujarnya yang cukup bahagia melewati fasa baharu kehidupannya ini.

Restu kerja - SM Nasaruddin

Suami Marion yang lebih banyak berdiam di sisi isterinya sesekali mencelah dan berkata cabaran terbesar buat Marion adalah membahagikan masa antara kerjaya dan anaknya.

"Cabaran utama Marion adalah membahagikan masa kerja dan anak. Tetapi setakat ini Alhamdulillah, dia lebih selesa menjaga anak kami sendiri daripada menyerahkan tanggungjawab itu kepada pembantu rumah," katanya.

Marion pula berkata dirinya terlalu beruntung dan tidak boleh banyak merungut kerana dia dikurniakan suami yang pandai menjaga anak kecil mereka.

"Suami saya banyak membantu. Dia boleh menjaga Leia dengan baik. Kami bergilir-gilir menjaganya, lebih selesa begitu. Memang sangat seronok ada anak," kata Marion lagi.

Walaupun memiliki anak kecil, suami Marion tidak pernah menghalangnya untuk meneruskan kerjayanya kerana sedar bidang penyiaran merupakan minat utama isteri tercinta.

Malah, dia cukup kagum dengan komitmen kerja yang diberikan oleh isterinya itu.

"Dia memang sangat minat dengan apa yang dilakukan dan saya tidak pernah menghalang dia untuk terus bekerja. Apa yang diperoleh hari ini (kerjaya) hasil daripada usaha kerasnya selama ini," kata Nasaruddin yang selalu menjadi tulang bekalang Marion.

Ditanya tentang dirinya yang berkahwin dengan seorang selebriti terkenal seperti Marion, Nasaruddin memberitahu tidak mengalami perbezaan yang ketara seperti pasangan lain.


SAMA cantik sama padan. Marion dan suaminya. SM Nasaruddin berkongsi kebahagiaan bergelar ibu dan bapa kepada anak sulung mereka, Leia Rose Caunter SM Nasaruddin ketika diserbu pihak media sewaktu ditemui pada majlis resepsi Yusry dan Lisa Surihani baru-baru ini.


"Memiliki seorang isteri selebriti, tidak ada bezanya seperti orang lain. Kami berdua bekerja, selain keluarga, dia juga mempunyai komitmen lain seperti saya, cuma kini anak sangat diutamakan daripada segala hal," jawabnya.

Pantang cara Melayu

Tidak dinafikan ramai yang terkejut melihat tubuh badan Marion yang langsing sama seperti sebelum dia melahirkan anak.

Ditanya apakah rahsianya, jawab Marion, dia berpantang selama sebulan di rumah ibu mertuanya mengikut cara tradisional Melayu.

"Saya tidak ikut sangat sebab ibu mertua juga orang yang agak moden, jadi ada campuran antara moden dan tradisional.

"Ibu mertua lebih menitikberatkan pemakanan secara sihat dan elakkan makanan yang tidak sihat. Saya memang rindu untuk dapat semula badan sebelum lahirkan anak, jadi saya mengikut diet sihat dengan ketat," terangnya.

Ujarnya lagi, meskipun tubuh badannya kembali langsing, dia harus berusaha untuk mendapatkan tubuh asalnya semula.

"Siapa kata saya kurus? Baju saya hari ini ada bantuan ala-ala gaun kembang membantu menutup bahagian yang berlemak (ketawa). Saya masih berdiet cuma saya belum mula bersenam," tuturnya sebelum meminta izin untuk mengundur diri.

Ditanya tentang perancangan menambah ahli keluarga lagi, segera dijawab pasangan ini, mereka mahu memberi tumpuan terhadap Leia terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang mempunyai anak lagi.

Protege Ella harus unik


SEORANG calon sedang mencuba nasib dan meniru gaya yang dikehendaki Ella.


DIA khabarnya memiliki sikap mudah kasihan dan manja. Namun ratu rock, Ella membuktikan di sebalik sikapnya itu dia juga seorang yang tegas.

Ella mengakui dirinya begitu selektif memilih protegenya. Malah, terpaksa melalui masa pemilihan protegenya sehingga pukul 1 pagi untuk mencari seorang peserta yang mempunyai pesona dan keunikan selain mampu menghayati dan mempersembahkan semua jenis lagu dengan baik.

"Peserta-peserta yang datang memang boleh menyanyi tetapi tonasi suara mereka kebanyakannya serupa dengan penyanyi yang sedia ada. Saya memerlukan peserta yang mempunyai pesona. Apa yang paling penting dia mesti mempunyai keunikan. Calon itu juga perlu tegas dalam menentukan muzik yang hendak diperjuangkan apabila bergelar penyanyi profesional kelak," ujarnya ketika ditemui pada sesi uji bakat program Mentor yang berlangsung di Sri Pentas, TV3, Petaling Jaya, Selangor.

Ditebak soalan sama ada dia memilih calon yang mampu menyanyikan lagu rock dengan baik seperti dirinya sebagai protege, tutur pemilik nama sebenar Norzila Aminuddin, 45, ini, calon protege pilihannya tidak semestinya berpenampilan rock dan ranggi. Katanya, dia perlu mengetahui hala tuju dan konsep muzik yang akan diperjuangkan apabila bergelar penyanyi profesional kelak.

Ella juga memberitahu, dia tidak menetapkan kriteria tertentu untuk calon protegenya.

Malah, pengalamannya dalam industri muzik selama 30 tahun membantu dirinya memilih protege yang bagus selain mampu membimbing protegenya dari segi penampilan, hala tuju dan konsep muzik yang akan diperjuangkan kelak.


BAGI Ella yang telah 30 tahun menjadi anak seni, setiap bakat baharu harus mempunyai sifat profesional yang tinggi.


"Kalau protege itu ada rupa, ia dikira bonus dan bagus untuk perkembangan kariernya," ujarnya lagi.

Ditanya mengenai teknik bimbingannya terhadap protege itu kelak, ungkap Ella yang tidak memilih jantina calon protege miliknya nanti, dia akan menggunakan pendekatan tersendiri apabila sesi pembelajaran mereka bermula.

"Saya pun tidak tahu apa teknik yang akan digunakan tetapi ia adalah cara saya sendiri. Harap dia faham, dengar dan tahu apa yang diajar nanti.

"Insya-Allah, saya yakin protege itu akan dapat menyesuaikan dan memahami bimbingan dan tunjuk ajar saya," katanya yang turut menyediakan pasukan untuk mengubah imej protege miliknya itu.

Selain Ella, antara selebriti lain yang menggalas tanggungjawab sebagai mentor untuk musim ini adalah Faizal Tahir, Ferhad, Ogy Ahmad Daud, Ramlah Ram dan Adam (AF).

Nadia serap jiwa Zaiton Sameon


NADIA mahu maju dalam karier seninya tanpa bantuan kontroversi.


NADIA AQILAH BAJURI atau dahulunya dikenali Nadia Luscious Aqilah selepas menyertai program realiti Gangstarz bagai diam membisu selepas tampil dalam beberapa drama bersiri seperti Tari Tirana, Emil Emelda, Sindarella dan Merah Putih.

Bakat Nadia bukan hanya tertumpu dalam bidang lakonan di layar kaca semata-mata, dia juga pernah terlibat dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical pada tahun 2005 dan P. Ramlee The Musical pada tahun 2008.

Menghilang atau merajuk kerana bakatnya boleh dikatakan kurang dihargai berbanding aktres lain? Namun kata Nadia Aqilah, 26, dia selesa dengan progres kariernya kini yang menunjukkan kemajuan tetapi bukan kerana kontroversi.

Kesempatan bersua dengan Nadia Aqilah sewaktu sidang akhbar Broadway Bites di Duta Nusantara, Sri Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini turut diajukan beberapa pertanyaan mengenai peranannya memegang watak utama dalam filem biografi penyanyi terkenal era 1980-an, Zaiton Sameon yang berjudul Zaiton Ceritaku.

Kosmo!: Nadia perlahan-lahan menyepi daripada industri, ke mana menghilang?

NADIA: Mana ada menghilang. Saya masih dalam industri dan sekarang sedang sibuk dengan penggambaran sebuah program bersiri di 8TV. Sementara hari minggu pula terlibat dengan latihan untuk Broadway Bites yang bakal dipentaskan pada 14 hingga 18 Mac ini di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.

Nadia pernah tampil dalam beberapa naskhah drama televisyen dan kini kelibat Nadia amat jarang penonton lihat. Apa sebabnya?

Saya seorang yang cerewet dan suka pilih karakter sebab saya tak nak dicop dengan hanya satu jenis watak saja. Selalu berlakon orang akan terus fikir saya akan pegang watak perempuan jahat. Sebab itu muka saya jarang keluar televisyen sekarang.

Nadia pernah menganggotai kumpulan Luscious untuk menyertai Gangstarz beberapa tahun dulu, ke mana pula perginya kumpulan itu setelah keluar daripada Gangstarz?

Saya mula menyanyi pada umur 14 tahun lagi dan pernah menubuhkan kumpulan hip hop suatu masa dulu dan kemudiannya ditukarkan kepada Luscious seterusnya menyertai Gangstarz pada tahun 2007. Saya, Eenaz (Nur Shafinaz Mokhtar) dan Ruzana (Ruzana Ibrahim), Alhamdulillah masih berkawan rapat dan kalau ada rezeki kami akan kembali ke dalam industri.

Bagaimana Nadia boleh terpilih untuk menyandang watak Zaiton untuk filem biografi penuh kontroversi, Zaiton Sameon?

Sebelum saya terpilih pun saya dapat tahu sudah dua pelakon disunting untuk menjayakan peranan itu. Syukur Alhamdulillah rezeki saya, selepas tamat pementasan Secret Life Of Nora, abang Esma Daniel mempelawa saya untuk berlakon dalam naskhah yang saya fikir sangat berat dan menuntut saya banyak belajar.

Bagaimana Nadia memandang karakter Zaiton?

Paling berat dan paling memberikan tekanan! Harap saya berjaya memberikan apa yang pengarah dan penonton mahukan.

Ceritakan peranan Nadia dalam filem itu?

Saya membawakan watak Zaiton Sameon sejak dia berusia 20 tahun hingga 50 tahun dan sememangnya pengalaman ini sangat luar biasa. Dengan mekap yang sangat menakjubkan, saya kagumi produksi filem ini. Tempoh penggambaran kami selama sebulan kebanyakannya di Tanjung Malim, Perak dan Kuala Selangor.

Memandangkan watak yang diberikan sangat berat dan mencabar, apa yang Nadia lakukan sebagai homework?

Research sudah tentu dan setiap hari saya mendengar lagu Zaiton Sameon. Sampaikan abang saya takut tengok keadaan saya yang sudah seperti bukan diri saya sebenar. Katanya perubahan yang berlaku ke atas diri saya sangat drastik, adakalanya saya pun tak kenal diri saya sendiri.

Pernah berjumpa dengan Zaiton Sameon?

Banyak kali! Kadangkala dia akan datang ke set penggambaran untuk tengok progres dan menariknya dia pula yang akan menyerap karakter setiap kali kita usik.

Nadia selesa dengan perjalanan karier sekarang? Pernahkah Nadia terfikir bahawa Nadia perlukan kontroversi atau isu sensasi untuk mudah naik?

Saya selesa dengan perkembangan dan perjalanan kerjaya sekarang. Saya mahu orang hargai saya berdasarkan bakat yang saya ada bukan naik disebabkan kontroversi. Saya juga akui populariti itu penting bagi seseorang artis tapi sebolehnya biar populariti itu datang bersama bakat yang saya miliki.

Shruti akui bedah hidung


SHRUTI HASSAN


TIDAK ramai selebriti Bollywood mengakui melakukan pembedahan kosmetik, tetapi berlainan dengan aktres seksi, Shruti Hassan. Dia tanpa berselindung baru-baru ini mengakui telah melakukan pembedahan hidung. Malah, aktres yang baru muncul dengan filem sulungnya, Luck itu pelik kenapa isu tersebut dihebohkan pihak media.

Ujar Shruti kepada akhbar South: "Saya mengakui ada melakukan pembedahan hidung tetapi saya melakukannya bukan kerana hidung saya tak cantik. Saya bedah hidung atas sebab kesihatan."

Tambah Shruti, hidungnya sebelum ini didakwa mengalami simpton septoplasty, iaitu menyebabkan dia menghadapi masalah ketika bernafas.

"Saya melakukan pembedahan hidung di Amerika Syarikat sebab mengalami simpton septoplasty. Ia menyebabkan saya sukar bernafas."

Apa yang menarik, pembedahan hidung sebab kesihatan seperti yang didakwanya itu telah memberikan Shruti hidung baharu yang lebih cantik dan menawan.

Pencuri 100 kenderaan dicekup


MOHMAD (kanan) menunjukkan kereta Toyota Fortuner yang dirampas daripada tiga lelaki pada sidang akhbar di Brickfields, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kegiatan jahat tiga lelaki bergelar Geng Wong Sifoo yang telah mencuri 100 kenderaan untuk diseludup ke negara jiran sejak awal tahun lalu terbongkar apabila kesemuanya ditahan dalam dua operasi di sekitar ibu negara bermula Khamis lepas.

Suspek-suspek dari Seremban, Negeri Sembilan dan Simpang Renggam, Johor berusia di antara 27 dan 33 tahun itu dikatakan menyasarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) dan pikap terutamanya jenis Toyota Hilux untuk dijual pada harga di antara RM8,000 dan RM20,000 bergantung kepada keadaan kereta.

Penahanan mereka dilakukan selepas polis menjalankan siasatan terhadap kes kehilangan sebuah kenderaan Toyota Hilux di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 19 Februari lalu.

Empat hari kemudian, polis dapat menahan seorang lelaki di Bandar Sunway sebelum menangkap dua lagi rakannya di sebuah pub di Jalan Loke Yew, Cheras dua hari selepas itu.

Bank perlu lebih bertimbang rasa


PERODUA mencatat jualan yang rendah sejak penguatkuasaan garis panduan pembiayaan baharu BNM pada 1 Januari lalu.


KUALA LUMPUR - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menyarankan bank-bank tempatan lebih bertimbang rasa dalam melaksanakan garis panduan baharu pembiayaan Bank Negara Malaysia (BNM) agar ia tidak terlalu 'menyakitkan' peserta industri automotif dan juga pengguna.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, pematuhan dalam melaksanakan garis panduan baharu itu juga perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat seiring dengan amalan yang berhemah, bertanggungjawab dan telus.

Dalam masa yang sama, tambah beliau, institusi kewangan perlu mengambil kira hasrat kerajaan untuk menyaksikan pertumbuhan dalam industri automotif melalui peningkatan daya saing dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih baik.

"Kami komited dalam menyokong inisiatif kerajaan, khususnya dalam menangani hutang isi rumah yang semakin meningkat, tetapi kami juga berterima kasih jika kerajaan dan badan kawal selia berunding dengan peserta industri terlebih dahulu untuk memahami dengan lebih baik lagi tentang impaknya terhadap industri, sebelum melaksanakan mana-mana inisiatif atau langkah baharu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Bayi atas alas kaki anak sendiri


GADIS yang direman pada Jumaat lalu menunjukkan alas kaki tempat seorang bayi ditemui di Kampung Beladau, Kepong, Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU – Tanda tanya bayi siapa yang ditinggalkan atas alas kaki di depan pintu sebuah rumah di Kampung Beladau, Kepong dekat sini pada Jumaat lalu terungkai apabila bayi itu sebenarnya anak kepada wanita yang membuat laporan polis mendakwa menemui bayi itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, K. Manoharan berkata, tembelang pekerja sebuah kedai makan berusia 23 tahun itu terbongkar selepas polis menemui beberapa bukti mengaitkan kelahiran bayi berkenaan di salah sebuah bilik di rumah yang didiami wanita terbabit.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati wanita itu baru melahirkan bayi berkenaan secara bersendirian sebelum suspek membuat laporan polis pada Jumaat lalu mendakwa bayi itu diserahkan oleh seorang warga emas.

“Siasatan mendapati sebaik bersalin, wanita itu terus menyerahkan bayinya kepada seorang kakak angkatnya untuk dijaga beberapa hari.

“Selepas itu, kakak angkat wanita terbabit memulangkan semula bayi itu kepada si ibu,” kata Manoharan ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Lelaki tua kemaruk seks dijel


YUSOFF dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Angkara nafsu tidak bertempat, seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah atas dakwaan memperdagangkan seorang wanita Indonesia sebagai hamba memuaskan nafsu seksnya.

Tertuduh, Yusoff Mat Rani, 61, yang bekerja sebagai pengutip kotak dituduh memperdagangkan mangsa yang berusia 24 tahun dengan cara melindunginya bagi maksud eksploitasi seks dalam tempoh enam bulan pada Jun hingga Disember 2011.

Mengikut fakta kes, wanita terbabit datang ke negara ini pada Jun 2011 dan bekerja sebagai pembantu rumah di Wakaf Bharu dekat sini tetapi melarikan diri daripada majikannya atas alasan tidak tahan bekerja.

Wanita itu kemudian dihantar oleh orang awam ke Jabatan Imigresen kerana dia tiada pas perjalanan. Bagaimanapun, ketika sampai ke Jabatan Imigresen, pejabat itu sudah ditutup kerana tamat waktu bekerja.

Mangsa kemudian bertemu tertuduh sebelum tertuduh mengajak wanita terbabit ke rumahnya di Kampung Limau Manis di sini.

Wanita pertama Pakistan menang Oscar

SHARMEEN Obaid-Chinoy memegang anugerah Oscar bersama dengan Daniel Junge di Hollywood pada Ahad lalu.


ISLAMABAD, Pakistan – Akhbar-akhbar di sini semalam memuji seorang pengarah wanita muda negara ini, Sharmeen Obaid-Chinoy apabila menjadi warga Pakistan pertama memenangi Anugerah Academy bagi kategori dokumentari pendek terbaik menerusi filem Saving Face.

Gambar-gambar Sharmeen, 33, ketika menerima patung Oscar dalam anugerah itu di Hollywood disiarkan di muka depan akhbar-akhbar Pakistan.

Filem Saving Face mengisahkan tentang mangsa-mangsa serangan asid dan pakar bedah plastik kacukan Inggeris, Mohammad Jawad yang kembali ke Pakistan untuk membantu memulihkan wajah dan kehidupan mereka.

Dokumentari itu diarahkan Sharmeen bersama dengan Daniel Junge.

Akhbar berbahasa Inggeris tertua Pakistan, Dawn, menyatakan kemenangan Sharmeen dialu-alukan kerana liputan media asing terhadap negara ini kerap tertumpu kepada Al-Qaeda, Taliban, kemiskinan, rasuah dan senjata nuklear.

Gaun Jolie, Lopez jadi isu di Twitter


GAUN yang dipakai oleh Jennifer Lopez pada Anugerah Academy di Hollywood pada Ahad lalu.


LOS ANGELES - Dua aktres terkenal, Angelina Jolie dan Jennifer Lopez mendapat perhatian di laman sosial Twitter kelmarin berhubung pakaian mereka pada Anugerah Academy kali ke-84 di Hollywood.

Pada anugerah itu, Jolie, 36, memakai gaun labuh yang mempunyai belahan dan berwarna hitam.

Jolie juga kerap mendedahkan paha dan kaki kanannya semasa dia berjalan dan berdiri.

Lopez, 42, yang juga dikenali sebagai JLo mengenakan gaun putih hampir menampakkan keseluruhan payudara kirinya ketika dia dan Jolie menaiki ke pentas bagi menyampaikan anugerah Oscar pada Ahad lalu.

Dalam tempoh kurang satu jam, seorang pengguna telah mewujudkan satu akaun Twitter @AngiesRightLeg berhubung dengan kaki kanan Jolie.

Ia mempunyai lebih 15,500 pengikut pada Isnin lalu.

"Lihatlah saya!," kata mesej di Twitter tersebut selepas 45 minit Jolie naik ke pentas bagi menyampaikan anugerah dengan gayanya yang menggoda tanpa rasa malu ketika mendedahkan kaki kanannya.

Sementara itu, akaun Twitter tentang payudara Lopez, @JLosNipple diwujudkan lebih awal daripada @AngiesRightLeg.

"Bukan salah JLo, Saya tidak boleh bernafas," kata salah satu mesej di Twitter.

Namun, menurut laman akhbar Los Angeles Times, akaun Twitter @JLosNipple tidak begitu popular seperti @AngiesRightLeg kerana ia hanya diikuti kira-kira 2,500 pengikut pada Isnin lalu.

Kelas seni menghias haiwan yang diawet


SEORANG pelajar meletakkan gitar mainan di celah kaki seekor tikus yang telah diawet.


BROOKLYN, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah kelas seni yang mengajar menghias haiwan yang telah diawet dibuka kepada orang ramai di kawasan kejiranan Gowanus di sini.

Kelas selama empat jam itu mengajar pelajar cara untuk menghias haiwan yang telah diawet dengan memakaikan pakaian.

Para pelajar juga diajar cara untuk menjadikan tikus yang telah diawet duduk dan membuat gaya seperti manusia.

Seni itu amat popular semasa zaman pemerintahan Ratu Victoria di Britain.

Kelas itu diajar oleh seorang artis tatu, Susan Jeiven.

Cipta pesawat di atas bumbung rumah


PESAWAT buatan sendiri yang dicipta oleh Li Jungchun dilihat berada di atas bumbung
rumahnya di Kampung Xiahe semalam.


KAMPUNG XIAHE, China - Seorang petani berusia 58 tahun, Li Jingchun mencipta pesawat buatan sendiri di atas bumbung rumahnya di sini.

Dia menyembur cat pada badan pesawat itu yang sepanjang 5 meter (m) dan lebar 1.5m.

Kebanyakan badan pesawat itu diperbuat daripada barang kitar semula dengan kos lebih 40,000 yuan (RM19,136).

Jawi bawa Kyoung Seok ke Malaysia dalami jawi



SEJAK bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) empat tahun lalu, Prof. Dr. Kang Kyoung Seok mengakui beliau begitu berminat untuk mempelajari tulisan jawi.

Menurut Kyoung Seok, 57, beliau banyak mendengar pelbagai cerita tentang keunikan tulisan jawi daripada salah salah seorang pensyarahnya di Universiti Hankook, Korea Selatan.

Pada masa itu, beliau mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang bahasa Melayu dan Indonesia di universiti berkenaan pada tahun 1974.

Namun, apa yang meruntun jiwanya apabila pensyarah terbabit tidak mengetahui mengenai tulisan jawi secara mendalam.

Malah pada masa itu, beliau juga tidak boleh mencari maklumat mengenai tulisan tersebut memandangkan di negaranya tiada bahan rujukan mengenai tulisan jawi.

Namun, rasa ingin tahu itu tidak terhenti di situ sahaja. Pada tahun 1982 beliau bertemu seorang pendakwah, Abdul Ghani dari Thailand di Pusan.

Anak jati Seoul, Korea ini mula mengenali huruf-huruf jawi dengan bantuan Abdul Ghani. Pada tahun 1984 beliau membuat keputusan berhijrah ke Malaysia untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Bahkan Kyoung Seok tahu, tulisan jawi merupakan seni penulisan yang berakar umbi di negara ini.

Surat tulisan jawi

"Bukan mudah untuk saya masuk ke sini (Malaysia) kerana saya telah memohon beberapa kali untuk melanjutkan pengajian sehinggalah suatu hari itu saya menggunakan tulisan jawi untuk membuat permohonan itu.

"Seingat saya, sebelum ini semua surat permohonan ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi saya kecewa kerana tidak menerima sebarang jawapan sehinggalah suatu hari itu terlintas di fikiran untuk menulisnya menggunakan tulisan jawi," katanya yang fasih berbahasa Melayu.


TULISAN jawi merupakan sebahagian daripada khazanah yang perlu dipelihara.


Tanpa diduga, dalam beberapa hari sahaja beliau menerima jawapan daripada kerajaan Malaysia. Bapa kepada dua anak ini memberitahu, beliau terkejut apabila membaca isi kandungan surat terbabit kerana kerajaan negara ini memberinya peluang untuk ke sini.

Sepanjang pertemuan dengan lelaki separuh abad yang beruban dan berkaca mata itu, semangatnya tentang tulisan jawi cukup membara. Buktinya, di atas meja beliau penuh dengan bahan-bahan kajian mengenai tulisan jawi. Penampilannya juga sedikit berbeza. Kemeja putih lengan panjang yang dipakainya dipadankan dengan skaf di leher seakan-akan tali leher.

Temu bual yang berlangsung selama hampir dua jam di UPSI itu, jelas mempamerkan keramahan dan kepakarannya dalam tulisan jawi.

Kyoung Seok menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan memperoleh Ijazah Sarjana yang kedua dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1987. Lima tahun kemudian, beliau memperoleh doktor falsafah dari universiti yang sama.

Terbitkan buku

Menyentuh mengenai kajiannya, Kyoung Seok memberitahu, beliau pernah menjalankan beberapa kajian mengenai sistem tulisan jawi, transliterasi manuskrip jawi, seni khat Jawi, pengajaran bahasa Korea dengan tulisan jawi, pola ayat bahasa Melayu-Indonesia, dan Batu Bersurat Terengganu.

Setakat ini, beliau juga telah menerbitkan beberapa buah buku yang bertajuk, Perkembangan Tulisan Jawi Dalam Masyarakat Melayu, Bahasa Melayu Dalam Empat Minggu, Malay Tulisan Jawi, Bahasa Indonesia-Malaysia patternzip, dan Gaya Bahasa Sejarah Melayu.

Ghairah berbicara mengenai kajian dan buku tulisan jawi, beliau mengakui tulisan tersebut mempunyai satu tarikan dan keunikan istimewa terutama dalam al-Quran.


MANUSKRIP kamus tulisan jawi yang kini dalam pembikinan Kyoung Seok.


"Saya acap kali tertanya-tanya bagaimana tulisan jawi dalam al-Quran boleh menghasilkan kaedah bacaan dalam pelbagai intonasi yang berbeza,"akuinya setiap kali mendengar bacaan al-Quran beliau berasa tenang.

Dalam keghairahan beliau menceritakan keunikan tulisan estetik itu, secara tiba-tiba nada percakapannya bertukar sayu ketika dilemparkan soalan nasib tulisan itu di negara ini.

Beliau menyuarakan kekesalan terhadap sikap golongan muda yang tidak endah dengan tulisan jawi.

Kyoung Seok berpendapat, jika keadaan itu berterusan, tulisan jawi bermungkinan terkubur suatu hari nanti. Lagipun, ramai pakar jawi yang dikenalinya telah bersara.

Justeru, beliau berharap pihak media, kerajaan termasuk Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi terus terpelihara.

Menurut Kyoung Seok, sejak kebelakangan ini nilai tulisan jawi yang berteraskan al-Quran tidak dijulang dan usaha-usaha yang dilakukan dilihat kurang berjaya.

Memartabat khazanah

Menurutnya, di Korea, bahasa dan tulisan Korea adalah jati diri mereka. Beliau berharap rakyat di negara ini mempelajari tulisan jawi agar khazanah kebudayaan nasional itu tidak terus ditelan arus pemodenan.




"Khazanah ini perlu diangkat semula kerana ia sebahagian daripada warisan sejarah Melayu. Sudah tiba masanya, pelbagai langkah perlu diambil supaya generasi muda tidak melupakan asal usul yang membentuk jati diri orang Melayu,"ujarnya.

Sehubungan itu, Kyoung Seok mencadangkan supaya sistem ejaan jawi yang digunakan sekarang perlu diganti kepada sistem ejaan jawi Za'ba kerana ia ringkas dan mudah dipelajari.

Malah, jika rakyat Malaysia mempelajari ejaan jawi Za'ba, mereka lebih mudah memahami sistem ejaan jawi yang lebih kuno sekali gus boleh memahami manuskrip jawi berusia ratusan tahun memandangkan ejaan jawi Za'ba menggunakan asas yang sama dengan tulisan jawi kuno yang berasal daripada tulisan al-Quran," ujarnya yang kini sibuk menyiapkan sebuah kamus mengenai langkah perkembangan tulisan jawi. Kamus itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi.

Ekspo dedah trend perkahwinan

PELAMIN merupakan kelengkapan perkahwinan yang kerap mengalami revolusi dari segi bentuk dan hiasan.


ZAIDI OSMAN sudah sedekad terlibat dalam perniagaan berasaskan kelengkapan perkahwinan. Bermula dengan menjual kraf tangan untuk hadiah perkahwinan, kini dia sudah mempunyai sebuah butik yang terletak di Puchong, Selangor.

Lelaki yang berusia 40 tahun itu berpendapat dengan menyertai sesebuah ekspo, ia merupakan jalan paling mudah untuk melihat perkembangan terbaharu sesuatu bidang yang diceburi.

Walaupun majlis perkahwinan dianggap sebagai satu upacara suci dan sering bersifat tradisional, perubahan dari segi pakaian serta gubahan pelamin sering mengalami revolusi.

Setiap tahun, pasti berlaku perubahan pada pakaian pengantin, gubahan hantaran malah, cenderamata untuk tetamu turut mengikut trend.

Jika dahulu tetamu yang hadir hanya dapat membawa pulang telur rebus, kini hadirin boleh menikmati manisan atau hadiah comel seperti tuala dan gelas kecil.

Dalam sesebuah ekspo kata Zaidi, peserta boleh melihat trend terkini pakaian pengantin dan hiasan pelamin terutama pempamer yang terdiri daripada syarikat besar.

“Ekspo pameran juga boleh menjadi platform kepada mereka yang terlibat dalam bidang ini untuk memperkenalkan perkhidmatan mereka,” katanya ketika ditemui di ibu pejabatnya yang terletak di Puchong, Selangor.

Disebabkan kebanyakan ekspo sering mendapat perhatian media, mereka yang bernasib baik boleh memperkenalkan busana pakaian terbaharu sekali gus boleh menjadi trendsetter dunia perkahwinan.

Tambah Zaidi lagi, dengan menyertai ekspo, para peserta mampu mendapatkan kontrak kerja kahwin sekurang-kurangnya untuk tiga hingga empat bulan mendatang.

Jelas lelaki dari Pulau Pinang itu, pengunjung yang hadir ke ekspo itu sudah tentunya individu yang berminat untuk membeli kelengkapan perkahwinan.

“Mereka (pengunjung) adalah pelanggan yang akan membeli pakej perkahwinan atau pelanggan yang mempunyai prospek,” katanya lagi.

Ekspo perkahwinan

Justeru itu, pada 23 hingga 25 Mac ini, Zaidi melalui anak syarikatnya, Dios Printing & Advertising Sdn. Bhd. bakal mengelolakan Ekspo Perkahwinan dan Fesyen di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.


PESERTA ekspo dapat melihat dan membandingkan trend terkini majlis perkahwinan terutama fesyen dan rekaan pakaian pengantin.


Berbeza dengan ekspo-ekspo perkahwinan lain, ekspo itu turut memberi penekanan terhadap fesyen pengantin.

Untuk tujuan itu, lebih 15 slot pertunjukan fesyen disediakan bagi memberi ruang kepada pempamer memperaga pakaian. Dalam bidang fesyen, pertunjukan fesyen menjadi kayu pengukur sesuatu busana itu.

Dengan pakej berharga RM2,000 untuk satu slot, para peserta boleh memperaga enam pasang pakaian wanita dan tiga pasang pakaian lelaki. Pereka juga dapat muncul pada bahagian akhir peragaan.

Dengan jurusolek dan model disediakan oleh pihak penganjur, peserta hanya perlu menyediakan pakaian untuk sesi peragaan selama 30 minit.

“Bagi saya, ini adalah peluang keemasan. Saya pernah membuat pertunjukan fesyen sebelum ini dan minimum kos kira-kira RM8,000 untuk tempoh masa yang sama,” ujar Zaidi berkongsi pengalaman.

Kata Zaidi, pecahan kos paling mahal adalah bayaran untuk model iaitu paling rendah berharga RM500 seorang.

Ekspo selama tiga hari itu nanti bakal menjadi pameran barang-barang perkahwinan setanding dengan Jakarta Wedding Fair yang diadakan setiap tahun pada bulan Mei atau Jun.

Jakarta Wedding Fair yang diadakan di Pusat Persidangan Jakarta di Indonesia itu sering menjadi medan pemain industri mempromosi pakej-pakej dan trend terbaharu yang dimiliki mereka.

Zaidi yang sering bertandang ke situ saban tahun berkata, pempamer ekspo di Jakarta bersaing sesama sendiri melalui ruang pameran yang dibuat paling cantik selain barisan busana baharu.

Selain gerai dan pertunjukan fesyen, turut diadakan persembahan artis, pertandingan solekan dan membuat gubahan.

Malah, para peserta ekspo digalakkan untuk mengadakan demonstrasi solekan dan gubahan di ruang pentas bagi memeriahkan acara dan mempromosi produk serta pakej perkahwinan.

PLKN lahir bakal pemimpin negara


1MALAYSIA... Para pelatih di Kem PLKN Junaco Park di Sibu melaungkan 1Malaysia ketika menerima lawatan Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.


TANPA persediaan rapi dan mantap, kemakmuran dan kesejahteraan yang dikecapi negara selama ini akan hilang dan sudah pasti merugikan rakyatnya.

Sehubungan itu, generasi muda harus menerima hakikat bahawa mereka bakal menjadi pelapis menerajui negara suatu hari nanti kerana pemimpin sedia ada tidak akan kekal selama-lamanya.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang sudah memasuki tahun kesembilan sejak dilancarkan pada 2004 bertanggungjawab membantu generasi muda melengkapkan diri untuk menjadi pemimpin masa depan.

Melaluinya, remaja dilengkapkan dengan semangat patriotisme, daya kepimpinan berkualiti, pembentukan sikap bertoleransi, memiliki jati diri dan menanamkan sifat positif dalam menerajui kemajuan negara suatu masa nanti.

Sehingga kini, lebih 600,000 remaja daripada pelbagai kaum dan agama telah mengikuti latihan itu dengan jayanya.

Melalui program itu juga, ciri-ciri masyarakat majmuk Malaysia diterapkan dalam pembelajaran supaya generasi muda dapat terus mengekalkan sikap toleransi antara satu sama lain.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara yang mempunyai modal insan terbaik akan pasti berjaya walaupun negara itu kekurangan sumber asli seperti Singapura, Luxembourg dan Taiwan.

''Negara berkenaan yang tidak banyak hasil buminya tetap muncul sebagai pemegang kuasa terbesar ekonomi dunia,'' katanya ketika berucap merasmikan PLKN Kumpulan 1 Siri 9/2012 di Kem PLKN Junaco Park, Sibu, Sarawak baru-baru ini.

Justeru katanya, tindakan kerajaan mewujudkan PLKN yang dibentuk mengikut acuan sendiri merupakan satu langkah tepat ke arah melahirkan modal insan yang memiliki nilai keperibadian tinggi, berdisiplin, bertanggungjawab dan bertoleransi untuk meneruskan agenda negara di samping dapat bersaing di persada antarabangsa.

Beliau percaya banyak lagi cabaran dan dugaan yang akan ditempuh Kementerian Pertahanan, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), pengurusan Kem PLKN serta agensi lain yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam program itu.

Katanya, peserta PLKN tlah berjaya membuktikan bahawa mereka adalah bunga-bunga bangsa yang cinta kepada masa depan negara.

Kejayaannya pada hari ini dilakar dengan megah melalui perubahan yang ditunjukkan bekas pelatih serta bukti-bukti kajian dan penilaian yang diberikan oleh ibubapa. Majikan serta masyarakat umum turut memberikan maklum balas positif terhadap keberkesanan PLKN mendidik generasi muda lepasan sekolah itu.

Beberapa modul diperkenalkan dalam PLKN untuk membentuk peserta menjadi modal insan yang seimbang, mempunyai nilai-nilai positif, bertoleransi, berpatriotisme dan jati diri yang tinggi.

"Saya yakin dengan adanya latihan seumpama ini masalah gejala sosial seperti merempit, melepak, penyalahgunaan dadah, HIV dan jenayah yang kian meningkat kalangan remaja dapat dibendung di samping hala tuju generasi muda dapat difokuskan ke arah pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat," tegasnya.

Dalam usaha menentukan peserta menjalani latihan yang baik dan berfaedah, PLKN sentiasa melakukan pelbagai perubahan dan penambahbaikan antaranya sub-modul Budaya Kerja yang bertujuan memberi pendedahan awal kalangan remaja mengenai kepentingan nilai murni dan etika kerja yang harus ditampilkan dalam apa jua kerjaya mereka kelak.

Selain itu satu sub-modul baru juga telah diperkenalkan mulai siri lepas iaitu Program Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang dibangunkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi memberi pengetahuan dan kemahiran kepada remaja yang mudah terdedah dengan gejala tidak sihat.

Pendekatan pelaksanaan Modul PKRS adalah secara holistik dan menyeluruh serta merangkumi aspek biologikal, sosio-budaya, psikologikal serta kerohanian yang memberi penekanan kepada pembinaan kemahiran untuk menghindari tingkahlaku berisiko tinggi, membuat pilihan bijak dan tepat berhubung kesihatan reproduktif serta sosial mereka.

Ahmad Zahid juga berkata, satu program khas turut dimulakan pada siri yang lepas iaitu Literasi Membaca dan Menulis atau dipanggil 'I-SMART' bagi membantu pelatih yang mempunyai masalah menulis dan membaca dengan 30 jam masa program diperuntukkan untuk tujuan itu.

''Sejumlah 80 peratus daripada jumlah pelatih yang mengikuti program itu menunjukkan peningkatan yang memberansangkan apabila mereka boleh menguasai pada tahap minimum kemahiran membaca dan menulis,'' katanya.

Ahmad Zahid memberitahu, setakat ini hampir 320,000 remaja lelaki dan 280,000 remaja perempuan menyertai PLKN dan jumlah tersebut akan terus meningkat.

''Bermula dari 85,000 orang pada 2004, ia meningkat kepada 140,000 orang pada tahun ini,'' katanya.

Bagi memastikan objektif perpaduan kaum dan integrasi nasional tersebut dapat dicapai merentasi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, maka Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara telah mengusulkan agar dua puluh peratus pelatih dari Sabah dan Sarawak diberikan penempatan di kem-kem PLKN di Semenanjung Malaysia.

Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) kemudiannya telah bersetuju dengan usul tersebut dengan 20 peratus pelatih Sabah dan Sarawak telah ditempatkan di kem PLKN di Selangor manakala kekosongan di Sabah dan Sarawak tersebut diisi oleh pelatih dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pelaksanaan polisi penempatan itu menjadikan hampir 15,000 pelatih daripada sejumlah 84,522 pelatih kelahiran Sabah dan 17,000 pelatih daripada sejumlah 96,047 pelatih kelahiran Sarawak telah diberi penempatan di kem-kem PLKN di Semenanjung sejak 2004.

Nor Omar terima pengiktirafan FBI


Nor Omar Sappi sedang berbincang mengenai tugas bersama pegawai-pegawai unit ATIP.


Bukan semua orang mampu meraih kejayaan dan pengiktirafan dalam kehidupan peribadi atau kerjaya sekali gus namun manusia boleh berusaha dan berdoa untuk mengubah nasib dan masa depannya.

Namun bagi anak seorang nelayan ini, meskipun lahir di kawasan pedalaman Sandakan, Sabah, beliau telah membuktikan perkara itu tidak mustahil untuk dicapai.

Permulaan yang sukar menjadi kekuatan dan inspirasi bagi personaliti gaya polis minggu ini, Deputi Supritendan Nor Omar Sappi, 37.

Beliau berkhidmat sebagai Ketua Unit Anti Pemerdagangan (ATIP), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Sebagai pegawai unit itu, visi utamanya adalah untuk memperkasakan ATIP dalam membanteras kegiatan pemerdagangan manusia seterusnya menjadikan negara ini bebas daripada dijadikan transit atau pusat operasi.

Pemegang Sarjana Muda Perniagaan dari Universiti Malaysia Sarawak dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia itu membuktikan tiada yang mustahil dicapai walau apa pun latar belakang seseorang itu.

Meniti kehidupan sebagai anak nelayan, Nor Omar menceritakan dia terpaksa bekerja sambilan di perpustakaan universiti dengan bayaran RM4 sejam.

Kegigihannya telah membuahkan hasil selepas dia satu-satunya anak Melayu ketika itu memperoleh Anugerah Dekan ketika melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Perniagaan.

Sejurus tamat pengajian, Nor Omar mengikuti Program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pada 1999, namun kerana minat yang mendalam dalam kepolisan, dia mengubah layar hidupnya.

Katanya, minat itu timbul sejak kecil lagi ketika beliau menjadi pengikut setia drama bersiri yang disiarkan menerusi televisyen, berjudul Chip’ s (California Highway Petrol).

“Drama itu mengisahkan tugas dan cabaran polis-polis peronda ketika menjalankan aktiviti pencegahan dan membanteras jenayah.

“Dari situ lahir keinginan yang mendalam untuk menyarung uniform kebanggaan negara dan saya terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi,” jelasnya.

Bermula dengan mengikuti latihan asas kadet Asisten Supritendan di Pusat Latihan Asas Polis, Jalan Semarak, Nor Omar kemudian telah ditugaskan selama empat tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, tiga tahun di Interpol, tiga bulan di Bahagian Risikan/Operasi (D4), dua tahun di Aseanapol sebelum ditukarkan ke JSJ, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sehingga hari ini.

Namanya mudah dikenali dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana sering mewakili sukan bola tampar dari peringkat daerah hingga kontinjen.

Ketika Nor Omar mewakili Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, pasukannya berjaya mengalahkan juara bertahan sukan bola tampar dari Cawangan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Keserasian Kamal-Mikha


MIKHA Tambayong tidak kekok berpasangan dengan Kamal Adli demi merealisasikan Gerimis Mengundang.


SEPANJANG sesi foto yang diadakan di Istana Budaya baru-baru ini, dapat dilihat kemesraan antara pelakon Kamal Adli dan Mikha Tambayong. Di kalangan penonton tempatan yang menggemari sinetron Nada Cinta, pasti jatuh cinta dengan watak Nada yang dibawa oleh Mikha.

Meskipun ia adalah gandingan pertama artis dari Indonesia itu dengan Kamal sempena pementasan teater Gerimis Mengundang, Mikha mengakui dia tidak kekok.

“Kamal seorang yang mesra dan aku senang bekerjasama dengan dia. Malah aku dapat rasakan yang antara kami ada keserasian.

“Aku teruja untuk berlakon Gerimis Mengundang kerana ia adalah pementasan muzikal, di mana aku boleh berlakon dan menyanyi. Mungkin dari segi tarian itu, aku perlu belajar lebih,” katanya yang berpasangan dengan Randy Pangalila dalam Nada Cinta.

Teater Gerimis Mengundang, arahan Ahmad Idham Ahmad Nazri akan dipentaskan di Istana Budaya, pada 27 Mac hingga 8 April ini.

Kata Mikha, untuk teater satu jam lebih itu, dia tidak menghadapi masalah kerana dia menjadi dirinya sendiri.

“Aku memegang watak Mikha, gadis Indonesia, jadi tidak ada masalah dalam pertuturan. Kalau aku perlu bertutur bahasa Melayu, baru ia masalah kepada aku,” katanya terus terang.

Gadis berusia 18 tahun yang mula berlakon pada 2008 berkata, dia bersedia berlakon pementasan itu kerana baru sahaja selesai penggambaran sinetron Ashiteru bersama Randy.

Katanya, sejak mula berlakon, dia tidak ada masa dan sinetron pertama lakonannya, Kepompong, mengambil masa selama setahun untuk penggambaran.

“Aku memang tidak punya waktu untuk berlibur kerana jadual penggambaran padat kerana sinetron itu beratus episod. Sejak berlakon, aku sering sambut malam Krismas atau tahun baru bersama teman di lokasi.

“Habis Kepompong, aku berehat daripada berlakon kerana memberi tumpuan pada seni suara. Single pertama aku berjudul Cinta Pertama merupakan lagu tema sinetron Kepompong, dihasilkan pada 2009.

“Pada 2010 aku keluarkan album pertama, Bekas Pacar dan selepas itu terikat dengan penggambaran Nada Cinta selama setahun,” ceritanya mesra.

Tambah Mikha, dalam waktu terdekat ini, dia juga akan melancarkan novel pertama yang dihasil berkisar tentang pengalaman dirinya yang merupakan seorang anak tunggal.

Jehan Miskin rahsiakan hubungan cinta


SEMAKIN sibuk dengan kerja-kerja di belakang tabir.


BUKAN niatnya untuk berahsia, namun jejaka bertubuh sasa ini lebih selesa tidak menggembar-gemburkan kisah percintaannya.

Menurut empunya diri, ini kerana episod cinta lalu banyak mengajarnya untuk lebih menghargai hubungan istimewanya kini dengan cara yang lebih berbeza.

Walaupun tidak banyak yang mahu diceritakan Jehan Miskin kepada Hits pada pertemuan di Skybar, Traders Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, aktor itu tidak lokek berkongsi kenapa dia lebih senang merahsiakan hubungannya kali ini.

Tidak mengelak untuk berbicara soal hati malah berterus terang mengakui sudah mempunyai pilihan, namun tegas Jehan, dia dan pasangannya lebih selesa untuk menjalinkan hubungan tanpa sebarang publisiti.

Malah pelakon kacak itu turut menyifatkan hubungan tanpa pengetahuan umum lebih mudah dan selesa untuk diri dan pasangannya.

"Saya akui dahulu saya agak terbuka untuk bercerita tentang kisah cinta saya lebih-lebih lagi kerana bekas kekasih saya dahulu juga seorang artis.

"Oleh itu adalah tidak mungkin untuk kami berdua merahsiakan hubungan tersebut.

"Namun kekasih saya kini bukan lagi seseorang yang terlibat dalam industri dan bagi menghormati hubungan ini kami berdua juga mengambil keputusan untuk tidak menceritakan hubungan ini secara terbuka kepada umum.

"Secara jujurnya ia lebih mudah untuk menguruskan hubungan ini," jelasnya.

Ditanya sama ada dia tidak berasa bersalah kerana merahsiakan hubungan cintanya daripada pengetahuan para peminatnya, Jehan atau nama sebenarnya Mohd. Jehan Miskin, 32, percaya peminat hari ini lebih terbuka dan memahami keputusannya itu.

"Tiada apa yang mahu diceritakan kepada mereka kerana saya hanya menjalinkan hubungan sahaja dan saya percaya peminat saya faham.

"Tetapi saya berjanji jika ada berita baik daripada kami berdua, tentunya kami tidak akan membelakangi peminat serta pihak media," katanya sambil tersenyum.

Yana Shamsudin tunggu keputusan


MAHU membutikan sesuatu buat dirinya dan keluarga.


NAMANYA mungkin baru dalam dunia lakonan. Namun tiada siapa yang dapat menyangkal aura yang dibawa gadis ini.

Sementelah namanya juga kian melonjak sebaris dengan pelakon wanita popular lain tanah air.

Memiliki wajah comel dan ilmu lakonan yang mantap, Yana Shamsudin kini bukan calang-calang pelakon apabila sering menjadi dambaan peminat filem Melayu.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini keupayaan pelakon muda itu mula menimbulkan kesangsian apabila bakat lakonannya dikatakan kurang menyerlah.

Isu itu timbul apabila watak dalam filem atau drama lakonannya dikatakan tidak menonjolkan bakat sebenarnya.

Bagi Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 28, dia langsung tidak terkilan dengan tanggapan itu yang baginya hanya pendapat sesetengah pihak.

Menurut Yana, biarpun pengalamannya dalam industri itu sudah menjangkau sembilan tahun, namun dunia lakonannya hanya bermula sejak tiga tahun lalu.

“Umur pengalaman saya di dalam dunia lakonan baru sahaja mencecah tiga tahun. Manakala lagi lima tahun itu saya banyak bekerja di sebalik tabir.

“Untuk itu rasanya masih terlalu jauh untuk saya mengatakan saya sudah puas dengan tahap lakonan saya.

“Sebenarnya 2012, merupakan tahun penting buat saya kerana kebanyakan filem-filem lakonan saya akan muncul pada tahun ini.

“Malah mungkin ia juga bakal menjadi penentu kepada kerjaya lakonan saya,” katanya ketika di temui di majlis pratonton Adnan Sempit 2 di Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.

Mula dikenali sebagai pengarah sebelum bergelar pelakon, Yana mengakui ada kalanya dia berasa sangat rindu untuk kembali mengarah.

Namun kekangan jadual sebagai pelakon memaksanya lebih menumpukan kepada lakonan sahaja.

“Saya memang suka bekerja di belakang tabir. Malah saya sudah melakukannya sejak dari belajar lagi.

“Bagaimanapun saya jenis yang suka kesempurnaan. Oleh itu amat sukar untuk saya menumpukan banyak perkara dalam satu-satu masa. Buat masa ini saya hanya mahu menumpukan perhatian dalam bidang lakonan sahaja,” ujarnya.

Malah Yana juga menegaskan, dia mahu melihat sejauh mana bidang lakonan akan membawa namanya sebelum membuat keputusan sama ada menumpukan perhatian kepada dunia lakonan semata-mata

atau kembali dalam dunia pengarahan.

“Saya masih lagi berada dalam program Skim Pengarah Muda. Setakat ini saya baru mengarah sebuah filem iaitu Selamat Pagi Cinta.

“Saya masih berhutang sembilan filem lagi dan mungkin pada bila-bila masa sahaja saya akan kembali mengarah.

“Bagaimanapun buat masa ini saya mahu memantapkan dahulu lakonan saya.

“Tetapi jika suatu hari nanti dunia lakonan lebih cerah dari dunia pengarahan, mungkin saya akan membuat keputusan untuk hanya meneruskan karier sebagai pelakon sahaja,” jelasnya.

Ditanya antara watak idaman yang mahu dicubanya, menurut Yana, setelah tiga tahun meneroka diri sebagai pelakon, dia bertuah kerana banyak diberi peluang untuk mencuba pelbagai watak.

“Rasanya sudah pelbagai watak yang berbeza saya bawakan dalam setiap filem yang saya terlibat.

“Namun mungkin suatu hari nanti saya mahu melakonkan watak superhero dengan kostum tersendiri,” katanya.