Sunday, January 15, 2012

Zahiril pandang tinggi


BOLEH dikategorikan sebagai aktor masa depan, Zahiril Adzim sedang dinantikan kemunculannya dalam Bunohan, Mac ini.


LELAKI ini tidaklah tinggi fizikal, namun cita-citanya menggunung. Ungkapan kecil-kecil cili padi boleh menjadi penterjemah mengenai siapakah jejaka yang berketinggian 168 sentimeter (sm) ini.

Mohd. Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar memiliki wajah remaja biarpun dia sudah berumur 28 tahun dan bergelar suami kepada pelakon, Shera Aiyob, 25.

Bukan sahaja bergelar seorang pelakon, portfolio jejaka yang popular dengan nama Zahiril Adzim ini terisi dengan kebolehan menulis. Selain aktif meluahkan rasa di laman blog, Zahiril juga sudah menghasilkan sebuah buku, Bogel Menuju Tuhan.

Namanya mula melonjak selepas filem Kami The Movie. Seterusnya naskhah-naskhah layar lebar seperti Gadoh, Karaoke, Senjakala dan Tolong Awek Aku Pontianak turut dihiasi wajahnya.

Biarpun dari sisi fizikal ramai aktor lain yang meninggalkan Zahiril di belakang, namun usaha keras anak kelahiran Taiping, Perak itu membuahkan hasil.

Namanya seakan menjadi sebutan, apatah lagi selepas drama bersiri di TV3, Juvana yang turut dibintanginya menjadi fenomena.

"Selepas Juvana disiarkan di televisyen, kini versi filem pula akan muncul. Saya sekarang sedang sibuk dengan penggambaran filem Juvana The Movie.

"Selepas berkahwin pada November lalu, saya mengurangkan sedikit kerja-kerja lakonan dan kini baru sahaja kembali sibuk," terangnya yang akan tampil menerusi filem Bunohan pada Mac nanti.

Terkini, Zahiril sekali lagi diberi kepercayaan untuk bekerja dalam produk seram. Digandingkan bersama Eina, Sara Ali dan Shera Aiyob, filem Sesuatu Yang Tertinggal sedang berada di panggung sejak 5 Januari lalu.

Sesuatu Yang Tertinggal mengisahkan mengenai kehidupan mereka di rumah anak-anak yatim yang melalui pengalaman menakutkan ketika menetap di sebuah rumah lama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: